Oleh pada 08 Oct 2019 kategori

Persoalan mengapa ikan paus sering naik dan terdampar di pantai-pantai seluruh dunia masih menjadi spekulasi dan belum menemui jawapan yang jelas. Sebenarnya, kejadian seperti ini bukanlah sesuatu yang baru. Rekod sejarah menunjukkan bahawa ikan paus telah naik ke pantai secara misteri sekurang-kurangnya sejak tahun 300 SM lagi.

Kini, saintis mendapati kejadian itu semakin kerap berlaku dan ia melibatkan jumlah yang lebih besar berbanding sebelumnya. Keadaan ini telah menimbulkan kebimbangan di kalangan ahli biologi marin, aktivis hidupan laut dan pencinta ikan paus. Berikut adalah beberapa kemungkinan mengapa ikan paus "membunuh diri".

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Cedera akibat pengangkutan laut

Bagi memenuhi permintaan pasaran dagangan global yang semakin tinggi, banyak bot dan kapal digunakan sebagai salah satu kaedah pengangkutan yang efektif.

lukisan paus terdampar di pantai

Keadaan ini juga akan meningkatkan peluang untuk ikan paus mengalami kecederaan akibat pelanggaran dengan bot, kapal dan mesin akuatik buatan manusia. Apabila cedera, ikan paus yang sakit mungkin secara tidak sengaja akan berenang dan terdampar di pantai.

2. Pencemaran

Ikan paus juga boleh menjadi sakit dan keracunan akibat pencemaran bahan kimia seperti gas dan asid daripada pengumpulan sampah harian yang dihasilkan oleh kehidupan sehari-harian manusia. Ikan yang sakit mungkin hilang pertimbangan dan berenang naik ke pesisir pantai.

3. Sonar buatan manusia

gangguan sistem sonar

Sesetengah ahli biologi dan saintis membuat spekulasi bahawa ikan paus boleh menjadi tidak terurus, sakit dan keliru akibat penggunaan sonar buatan manusia. Sonar ini dipercayai boleh mengganggu gelombang otak ikan paus.

Ikan paus diketahui menggunakan echolocationataugema lokasi (proses mengesan objek dengan cara mendengar dan mengenal pasti arah pantulan bunyi). Jika proses ini terganggu, ia boleh menyebabkan ikan paus menjadi hilang arah.

4. Penyakit semula jadi

Sama seperti manusia yang mengalami masalah kesihatan, mamalia akuatik ini juga menderita penyakit semula jadi dan ia berlaku di luar kawalan mereka atau kita. Masalah kesihatan mungkin boleh mengganggu fungsi dan deria ikan paus sehingga ia terdampar di pantai.

5. Diserang jerung atau mamalia laut lain

jerung serang paus

Pengkaji juga percaya bahawa ikan paus boleh terdampar di pantai disebabkan usaha mereka untuk melarikan diri atau mendapat perlindungan daripada serangan pemangsa seperti jerung atau mamalia laut lain seperti Paus Pembunuh.

6. Racun daripada pelbagai spesies akuatik

Walaupun sukar untuk mencari maklumat yang mencukupi tentang kejadian ikan paus diracuni oleh spesies akuatik lain, pengkaji tidak menolak bahawa ikan paus mungkin boleh diracuni dan menjadi celaru. Ia sekaligus menjadi penyebab mereka berenang naik ke pantai.

7. Perubahan medan magnetik bumi

perubahan medan magnetik laut

Sebahagian ahli biologi percaya bahawa perubahan atau kejadian tidak normal dalam medan magnetik bumi boleh mengganggu navigasi biologi (pandu arah semula jadi) ikan paus, menyebabkannya hilang arah.

8. Pneumonia (radang paru-paru)

Sama seperti manusia, ikan paus juga mengalami masalah radang paru-paru yang menyebabkan kesukaran bernafas kerana sebahagian daripada paru-paru berisi cecair. Terdapat beberapa kes yang direkodkan di mana ikan paus berenang ke pesisir pantai disebabkan penyakit ini.

9. Cedera akibat elemen semula jadi laut

ikan paus terdampar di new zealand

Walaupun secara dasarnya ikan paus mempunyai deria rasa yang baik dan merupakan perenang hebat tetapi terdapat beberapa contoh di mana ikan paus telah bertembung dengan elemen semula jadi seperti (batu besar, gua bawah laut dan sebagainya).

Apabila cedera, ikan paus akan mudah menjadi celaru dan gagal menentukan arah tujuan dengan baik.

10. Perubahan cuaca dan laut disebabkan pemanasan global

paus terdampar

Isu pemanasan global dan kesannya kepada Bumi merupakan topik biasa yang dibincangkan pada hari ini. Perubahan keadaan pasang surut air laut atau bongkah ais yang semakin mencair mungkin menyebabkan gangguan kepada sistem makanan akuatik.

Ia juga boleh memaksa ikan paus untuk mengembara demi mencari makanan dan menyebabkan mereka berenang ke perairan cetek, sekaligus meningkatkan risiko mamalia laut itu terdampar di pesisiran pantai.

11. Mengikut kawanan

Ikan paus adalah makhluk bersosial dan sering mengembara dalam kumpulan yang besar. Dalam sesetengah kes terpencil, sekumpulan paus mungkin mengikuti ikan paus yang sakit atau sesat dan berenang ke perairan cetek di mana akhirnya mereka terdampar di pantai secara tidak sengaja.

12. Ikan paus itu sebenarnya telah mati

bangkai ikan paus

Dalam sesetengah kes, ikan paus yang ditemui sebenarnya telah mati lebih awal dan bangkainya dihanyutkan sehingga ke pesisir pantai.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, beberapa teori ini sukar dibuktikan dengan jelas. Namun, kemungkinan ini adalah penting dan perlu diambil berat kerana ia mungkin boleh menyelesaikan masalah mengapa ikan paus "membunuh diri" dengan berenang ke pantai terutamanya jika ia disebabkan oleh faktor manusia itu sendiri.

Rujukan :

1.Gangguan sonar penyebab paus berenang naik ke pantai

2.Sebab ikan paus "bunuh diri"

3.Kenapa ikan paus berenang ke pesisir pantai




Hakcipta iluminasi.com (2017)