Sebagai ibu bapa, kita seharusnya mendidik dan menggalakkan anak belajar untuk menguruskan perbelanjaan dari kecil agar mereka tidak membesar menjadi seorang yang boros dan tidak tahu menghargai wang. Tabiat kewangan yang baik seharusnya dipupuk oleh ibu bapa itu sendiri dengan menjadi role model terhebat di mata anak-anak.
Sekiranya anak sudah mula pandai memberi arahan kepada anda agar membelikan mereka apa sahaja yang dikehendaki atau mereka mahukan sesuatu yang mereka nampak diiklankan di kaca TV, mungkin sudah tiba masanya anda ajar mereka nilai sebenar wang.
BESARKAN TEKS A- A+
#1 Bawa mereka ke bank dan buka akaun simpanan
Banyak bank di Malaysia yang menawarkan akaun Junior bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun. Kebanyakan bank ini juga menawarkan hadiah percuma dan promosi-promosi menarik sekiranya anda membuka akaun dengan mereka.
Anak akan lebih bersemangat apabila mereka tengok sendiri buku bank dicatat dengan nama mereka dan ada berapa baki di dalamnya. Selain itu, anak juga gembira sebab dapat free gifts comel-comel.
Anda juga boleh daftarkan mereka untuk mengikuti program-program anjuran Bank Negara Malaysia untuk mendalami ilmu pengurusan wang dan belajar tentang mata wang seluruh dunia.
#2 Berikan mereka wang saku dan ajar cara menguruskan perbelanjaan
Ini merupakan 'pendapatan' pertama mereka. Ajar mereka untuk berbelanja secara berhemah. Sekiranya mereka bawa bekal ke sekolah, maka beritahu bahawa mereka boleh menyimpan lebih banyak wang dengan cepat.
#3 Belikan tabung. Lagi afdal kalau tabung itu lutsinar.
Terdapat pelbagai jenis tabung yang dijual di pasaran. Ikutlah yang mana anak anda berkenan. Kalau boleh, carikan mereka tabung yang transparent (lutsinar) supaya mereka dapat lihat sendiri hasil simpanan yang menjadi semakin banyak.
Elakkan menukar duit tabungan mereka menjadi wang kertas nilai tinggi. BIarkan saja wang-wang nilai kecil di dalam tabung tu sampai penuh. Ini akan membuatkan mereka lebih gigih menyimpan. Dah penuh nanti baru bawa ke bank untuk ditukar atau disimpan ke dalam akaun.
#4 Jika mereka mahukan wang lebih banyak, berusahalah
Beritahu mereka, sekiranya mereka inginkan wang bertambah dengan lebih cepat, maka mereka bolehlah memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. Bantu mereka untuk menyediakan 'booth jualan' di depan rumah atau di padang permainan. Tanya mereka apa yang ingin dijual dan pastikan produk jualan anda tidak memanaskan hati ibu bapa lain. :P
Anda juga boleh beri cadangan untuk menjual makanan seperti muffins, sandwic ataupun menjual minuman. Selain menambah wang, anak anda juga seronok dapat pengalaman berniaga bersama kawan-kawan. Mereka juga akan faham tentang penat lelah 'mencari' wang.
#5 Minta mereka buat sasaran untuk simpanan
Tanya mereka apa yang mereka teringin sangat nak dibeli. Contohnya anak lelaki nak beli Playstation 4 ataupun patung Barbie bagi yang perempuan. Bawa mereka ke kedai dan dapatkan harga barangan tersebut. Biarkan mereka berangan terlebih dahulu.
#6 Buat carta atau timeline untuk mereka
Setelah mendapat tahu harga barang yang ingin dibeli, bantu mereka buat kiraan berapa lama masa yang diperlukan untuk mendapat jumlah yang diinginkan. Contoh: kalau setiap hari Farah simpan RM2, Farah boleh beli mainan berharga RM120 tu dalam masa lebih kurang 3 bulan dari sekarang.
#7 Didik mereka supaya berbelanja mengikut kemampuan
Ajar mereka supaya jangan sesekali berlagak seperti orang kaya dan sentiasa merancang perbelanjaan walaupun ketika berada di sekolah. Mereka hanya dibenarkan membeli barang dengan nilai wang saku yang diberi oleh ibu bapa dan tidak boleh meminjam duit daripada kawan-kawan.
#8 Berikan hadiah kecil sebagai reward
Sekiranya mereka kurang berbelanja atau tidak membelanjakan wang saku, anda bolehlah memberi galakan yang lebih dengan menghadiahkan reward. Reward ini biarlah yang kecil-kecil saja namun bergantung kepada anda nak beri hadiah yang bagaimana. Mungkin anda boleh masakkan makanan kegemaran mereka, belikan mereka sebuah buku ataupun belanja makan aiskrim.
#9 Main game bersama
Board game seperti Monopoli mengajar anak tentang konsep kewangan serta cara menguruskan wang dengan berhemah. Selain itu, terdapat juga permainan online yang mengajar anak tentang kemahiran ini seperti Rich Kid Smart Kid.
#10 Konsep sumbangan padanan
Untuk menggalakkan anak anda menyimpan dengan lebih banyak, anda boleh guna konsep "savings match" dengan memberitahu mereka bahawa simpanan terakhir akan digandakan oleh ibu dan ayah. Sebagai contoh, jika Daniel dapat simpan RM100 pada hujung tahun ini, ayah akan tambah lagi RM100. Maka, jumlah simpanan Daniel akan menjadi RM200.
Apa-apapun, semuanya bermula dengan anda. Ibu bapa tidak boleh mengharapkan anak menjadi seorang yang bertanggungjawab dalam pengurusan kewangan sekiranya ibu bapa sendiri mengamalkan gaya kehidupan yang boros dan sia-sia. Sesungguhnya anak-anak hanya akan mengikut jejak langkah 'idola' yang mereka nampak setiap hari di rumah. Oleh itu, janganlah menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus ya.
Selamat menabung!