Dubuk-dubuk sering kelihatan berkeliaran di sebuah bandar bertembok di timur Ethiopia dipanggil Harar. Setiap malam, kumpulan dubuk ini akan keluar mencari cebisan daging dan sisa organik untuk dibawa pulang ke tempat tinggal mereka di gua-gua berhampiran.
Harar yang terletak di kawasan Pergunungan Chercher telah dianugerahkan Hadiah Bandar Keamanan UNESCO pada tahun 2003 kerana hubungan yang sangat harmoni dan bertoleransi antara penduduk tempatan yang menganut agama Islam, Ethiopia Ortodoks dan Katolik. Sebagaimana mereka hidup bermuafakat sesama manusia, begitu jugalah hubungan mereka dengan dubuk-dubuk ini.
BESARKAN TEKS A- A+
Dubuk, atau hyena, merupakan haiwan pemangsa darat kedua terbesar di Afrika selepas singa. Kebiasaannya, haiwan ini sering ditakuti kerana mampu menyerang manusia dan membaham kanak-kanak.
Walaupun begitu, penduduk Harar tidak pernah gentar dengan kehadiran kumpulan dubuk ini di kampung mereka. Selama hampir 500 tahun lamanya, masyarakat di sini telah mengamalkan tradisi memberi makan kepada dubuk-dubuk yang datang.
Dilaporkan kisah hubungan baik antara manusia dan dubuk ini bermula ketika zaman kebuluran di sana. Kumpulan dubuk dari savana di sekeliling Harar bertindak menjadi agresif terhadap ternakan dan penduduk tempatan akibat kelaparan.
Akhirnya, pemimpin-pemimpin bandar bermesyuarat dan mengambil keputusan untuk meninggalkan makanan berupa bubur di luar rumah untuk dubuk yang datang, dengan harapan mereka akan kenyang, tidak mengganggu penduduk dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Memandangkan dubuk merupakan pebangkai oportunistik, perlahan-lahan aspek yang menguntungkan kedua-dua belah pihak itu menjadi semakin jelas dan difahami.
Lama-kelamaan, tradisi itu hampir lenyap. Namun, bermula tahun 1960-an, seorang lelaki yang dikenali sebagai "hyena man" pertama mula memberi makan kepada dubuk untuk menghalau mereka daripada mengganggu ternakan. Selama 30 tahun berikutnya, Yusuf Mume Saleh mencipta hubungan unik dengan kumpulan haiwan pemangsa itu atas dasar hormat-menghormati. Kini, Yusuf dan anaknya, Abbas membuat pertunjukan dengan memberi makan dubuk pada waktu malam untuk pelawat yang datang ke kawasan itu.
Perlu diingatkan bahawa walaupun kumpulan dubuk yang datang itu sudah biasa dengan manusia, namun ia masih spesies haiwan liar yang hidup dalam persekitaran habitat asal. Setiap kali waktu makan, sekitar 10-30 ekor dubuk akan datang mengelilingi mereka menanti hidangan daging. Mereka melayan dubuk-dubuk ini seolah-olah mereka adalah haiwan yang sangat jinak. Dibiarkan sahaja seluruh tubuh mereka dijilat, digigit manja dan dipanjat. Selain itu, Abbas juga lebih senang memberi makan kepada dubuk ini menggunakan tangan dan mulutnya sendiri.
Menurut Abbas, dubuk-dubuk ini tidak pernah lagi menyerang penduduk Harar sejak ayahnya mula memberi mereka makan. Spesies haiwan yang sering disalah erti ini hanya akan bersikap agresif apabila mana-mana manusia cuba mengganggu anak dubuk yang masih kecil. Tambah Abbas lagi, dia mempunyai seekor anak dubuk di dalam rumah yang tidur bersamanya namun dia tidak takut langsung digigit ketika tidur.
Yusuf dan Abbas menamakan setiap dubuk mengikut karakter dan sifat individu mereka. Misalnya "Dabbassoo" (berbulu lebat), "Tuqan Dilii" (pemalas) dan "Qallaa" (kurus).
Bandar Harar yang mempunyai penduduk seramai lebih kurang 240,000 orang merupakan sebuah pusat kebudayaan Islam yang diasaskan sejak kurun ke-7 lagi. Pada kurun ke-16, Emir Nur Ibn Mujahid telah membina dinding tembok setinggi empat meter untuk melindungi bandar ini daripada anasir luar.
Selain mempunyai hubungan akrab dengan kumpulan dubuk ini, penduduk Harar juga percaya bahawa haiwan ini mampu menghalau jin dan syaitan. Jika ada dubuk yang mati dilanggar, mereka akan cepat-cepat menguliti bahagian kepala dan kening bangkai tersebut untuk dibuat tangkal sebagai penghalau jin. Ada juga bomoh dari luar yang menyarankan supaya pesakit yang terkena gangguan datang ke Harar untuk memberi makan dubuk supaya jin akan keluar dari badan.
Dubuk juga dipercayai dapat meramal nasib dan masa depan bandar tersebut. "Waraba nasib" yang bermaksud "nasib dubuk" disambut pada hari yang sama dengan Hari Asyura, iaitu pada 10 Muharram setiap tahun. Penduduk akan berkumpul beramai-ramai di Gunung Hakim untuk menyediakan bubur yang dicampur ghee dan daging kambing untuk dihidangkan kepada Raja Dubuk. Ramalan akan dibaca selepas Raja Dubuk dan ahli kumpulannya selesai memakan bubur.
Jika dubuk enggan memakan hidangan itu, mereka percaya yang bandar dan negara itu akan ditimpa nasib malang.
Rujukan:
1. Marcus Baynes-Rock, Macquarie University (1, 2)
3. Reuters