Walau parti mana sekalipun yang disokong, janganlah kita berbalah di antara satu sama lain kerana kita masih masyarakat serumpun yang tinggal dengan harmoni di sebuah negara yang berbilang kaum. Jika ia tidak dikekalkan, maka hilanglah keistimewaan yang dimiliki oleh Malaysia, yang mana tak akan boleh dijumpai di mana-mana negara lain.
Dan disebabkan itu, iluminasi.com ingin berkongsi dengan anda biodata ringkas atau latar belakang salah seorang calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu (Sabah) yang menarik perhatian umum dan diberi gelaran "beauty with brain".
BESARKAN TEKS A- A+
Kehidupan peribadi dan keluarga
Lahir pada 24 Mac 1989 di Kota Kinabalu, gadis yang diberi nama Jo-Anna Sue Henley Rampas berasal dari sebuah perkampungan kecil yang terletak tidak jauh dari Kota Kinabalu, iaitu Kiulu.
Jo-Anna mempunyai darah kacukan di mana bapanya adalah orang Inggeris manakala ibunya dari suku kaum Kadazan. Jika dilihatkan pada wajahnya yang jelita, pastinya ramai yang terpikat namun beliau bukan sahaja cantik malah berpendidikan tinggi serta sangat berwibawa.
Merupakan anak sulung daripada 3 orang adik beradik membuatkan Jo-Anna menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab. Salah seorang daripada adiknya merupakan individu autistik, yang menjadi pembakar semangat dalam kehidupan beliau setiap kali Jo-Anna berhadapan dengan masalah hidup.
Ketika berusia 18 tahun, Jo-Anna telah menyertai pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau yang merupakan penyertaan pertama dan terakhir beliau.
Walaupun tidak yakin untuk memenangi pertandingan ini disebabkan berat badannya yang mencecah 60 kilogram yang mana adalah yang terberat di antara peserta-peserta lain, namun rezeki memihak kepada Jo-Anna apabila ditabalkan sebagai Ratu Cantik Unduk Ngadau 2007.
Jo-Anna Sue Henley Rampas telah menamatkan zaman bujangnya dan melangsung perkahwinannya putera impian, Dr. Devindran Singh pada tahun 2016.
Melanjutkan pelajaran di United Kingdom
Jo-Anna kemudiannya melanjutkan pelajaran di United Kingdom dalam jurusan undang-undang dan merupakan seorang yang sangat aktif. Jo-Anna adalah seorang yang cintakan kecergasan dan memperoleh sijil yang diperakui sebagai pelatih kecergasan, dalam usahanya menjana pendapatan sampingan.
Selain itu, beliau juga bekerja dengan sebuah syarikat pengiklanan yang menguruskan pengstiman muzik Samsung, Milk Music, untuk Malaysia dan Indonesia.
Jo-Anna menamatkan ijazah sarjana muda Undang-Undang dari University of London dan juga sarjana Undang-undang Antarabangsa Dan Tanggungjawab Sosial Korporat dari University of the West of England.
Setelah menamatkan pengajian, Jo-Anna memutuskan untuk pulang ke tanah air pada tahun 2016.
Penglibatan politik
Keterlibatan Jo-Anna dalam kancah politik bukanlah sesuatu yang mengejutkan baginya. Ibunya, Sullah Rampas adalah calon Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR) pada tahun 1994 manakala bapa saudaranya pula, Datuk Louis Rampas pernah menjadi ADUN Kiulu selama tiga penggal.
Malah, datuknya merupakan ketua suku kaum yang merupakan antara mereka yang menemui kawasan Kiulu.
Menurut Jo-Anna yang mewakili Parti Warisan bagi DUN Kiulu dalam PRU ke-14 ini, beliau hanya mengetahui mengenai parti ini daripada seorang pekerja yang mengubahsuai rumahnya. Beliau kemudiannya membuat carian di Google dan mendapat tahu bahawa kenalannya, Darell Leiking merupakan ahli parti baru ini.
Ketika itu Parti Warisan sedang mencari ikon belia untuk Gen Y dan Z di Sabah, yang mana merupakan peluang keemasan baginya untuk menceburkan diri dalam bidang politik.
Menurut Jo-Anna, apa yang menarik yang diketahuinya melalui jelajah terbaru adalah generasi muda di kawasan bandar kurang minat terhadap politik berbanding mereka dari kawasan luar bandar.
Golongan muda bandar mungkin bercakap mengenai isu politik di media sosial namun tidak melakukan sebarang tindakan, berbanding golongan luar bandar yang lebih mengambil berat terhadap masalah politik.
"Ia lebih mudah untuk bercakap mengenai keperluan politik dengan golongan belia luar bandar. Mereka lebih peka dengan apa yang berlaku dan mengenali pemimpin mereka. Mungkin belia bandar sibuk dan lebih prihatin terhadap pekerjaan mereka," jelas Jo-Anna.
Cabaran politik
Bukan mudah untuk gadis ini meneruskan perjuangannya dalam bidang politik. Jo-Anna menerima kritikan daripada penduduk tempatan yang mengatakan bahawa beliau hanya berada di Kiulu kerana pilihan raya yang bakal tiba.
Namun beliau menjelaskan bahawa beliau sentiasa ingin pulang ke kampung dan masih mempunyai saudara mara di Kiulu, tempat di mana beliau membesar di rumah keluarganya di tepi sungai.
"Untuk mengatakan saya hanya pulang ke kampung disebabkan pilihanraya adalah salah," kata Jo-Annna.
Harapan Jo-Anna
Jo-Anna tidak mahu orang ramai berfikiran bahawa beliau hanya ingin "memasarkan" dirinya, sebaliknya beliau benar-benar ingin melakukan perubahan.
"Kadang-kadang orang hanya beranggapan bahawa saya menggunakan wajah saya untuk memancing undi. Saya tak mahu orang berfikir sedemikian kerana kebenarannya adala saya menyertai politik kerana saya mahu melakukan beberapa perubahan dalam komuniti saya terutamanya Kiulu," jelas Jo-Anna.
Jo-Anna Sue Henley Rampas akan berhadapan dengan penyandang kerusi Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai yang mewakili Parti Bersatu Sabah.
Apa-apa pun kami di iluminasi.com ingin mengucapkan semoga berjaya kepada calon yang bertanding dan diharapkan supaya dapat membawa perubahan baik yang mampu memberi manfaat kepada rakyat.
Rujukan:
1. The Star
2. Malaysia
3. Malay Mail
4. AA