Tak kisahlah apa jenis sukan pun, kebanyakan daripada kita akan bersatu menyokong pasukan atau atlet yang kita gemari.
Dan setiap sukan mempunyai peraturan dan ciri-ciri masing-masing yang membuatkannya menjadi sangat menarik. Namun, terdapat perkara yang diketahui oleh atlet sendiri yang mana tidak diketahui oleh orang biasa.
iluminasi.com kongsikan 10 persoalan paling popular tentang sukan yang ramai tak tahu.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Adakah perenang berirama mendengar muzik ketika membuat persembahan?
Salah satu sifat utama dalam sukan renang berirama adalah pembesar suara bawah air. Perenang tidak akan dapat beraksi di bawah air jika mereka tidak dapat mendengar lagu yang dimainkan.
Walau bagaimanapun, kerana perbezaan pada rintangan air dan udara, terdapat kekacauan dalam muzik apabila dimainkan di bawah air.
Inilah sebabnya mengapa di dalam kolam ini, sistem audio khas digunakan yang boleh memainkan lagu sama seperti yang ia sepatunya kedengaran.
2. Mengapa pemain tenis "mengerang" ketika perlawanan?
Jika anda pernah melihat pemain tenis profesional di gelanggang, anda pasti mendengar bunyi mengerang yang mereka lakukan ketika mereka memukul bola.
Ini berlaku kerana mereka memukul bola semasa menghembus nafas. Semakin kuat mereka memukul bola, semakin kuat mereka menghembuskan nafas dan kadang-kala bunyi ini kedengaran seperti mereka menjerit.
Dalam sukan tenis, Maria Sharapova adalah pemain yang paling bising di dunia dengan mengeluarkan bunyi 101 desibel, lebih kuat daripada kereta api bawah tanah yang mengeluarkan bunyi 100 desibel.
3. Mengapa pemain hoki ais tidak mendapatkan implan gigi?
Peralatan pemain hoki ais termasuklah pelindung mulut iaitu penutup plastik yang diletakkan pada gigi untuk melindunginya.
Menurut para atlet, walaupun mereka memakai pelindung ini, tiada jaminan bahawa mereka akan mengakhiri permainan dengan mempunyai senyuman yang sama seperti sebelumnya.
Kejadian seperti ini yang paling terkenal berlaku pada tahun 2010 apabila pemain hoki Chicago, Duncan Keith, kehilangan 7 batang gigi sekaligus selepas dia dipukul dengan bola hoki.
Dan insiden ini agak kerap berlaku. Sebelum akhir kerjaya mereka, beberapa pemain memutuskan untuk mendapatkan implan gigi namun jika rahang mereka tercedera, kerosakan ini akan menjadi lebih sukar untuk diperbaiki jika mempunyai implan.
4. Adakah ping-pong dan "table tennis" sukan yang sama?
Bagi kita, kedua-dua ini mungkin berbeza dari segi bahasa sahaja, namun sebenarnya ia lebih daripada itu.
Menurut juara sukan ini, David Zhuang, ping-pong adalah permainan yang anda mainkan di rumah manakala table tennis (tenis meja) pula adalah satu sukan.
Pemain amatur menganggap "ping-pong" sebagai hobi tetapi pemain yang serius memanggilnya sebagai tenis meja secara eksklusif dan menganggapnya sebagai sukan.
Untuk tempoh yang sangat lama, kedua-dua nama ini digunakan untuk sukan yang sama.
Namun kini, table tennis adalah sejenis sukan Olimpik, dengan peraturan yang ketat yang sering diabaikan oleh pemain ping-pong seperti kelenturan permukaan raket.
5. Mengapa padang bola sepak ada jalur?
Jika anda perhatikan, padang bola sepak mempunyai jalur dengan warna berbeza.
Untuk memotong rumput padang bola sepak, anda memerlukan pengetahuan dan kemahiran khas kerana setiap beberapa kaki, warna rumput harus berbeza iaitu gelap dan terang.
Kesan ini diperolehi kerana pemotongan rumput dalam arah yang berbeza. Perbezaan warna ini penting kepada para pengadil untuk mengesan pemain dan menentukan offsides.
6. Bolehkah anda menjadi atlet profesional dengan hanya menonton video dari Youtube?
Menjadi seorang atlet profesional hanya dengan menonton video-video dari Youtube adalah sangat sukar, namun ia tidak mustahil.
Hanya terdapat satu kes sahaja dalam dunia ini di mana seorang atlet tidak mempunyai jurulatih dan masih mampu menjadi seorang profesional.
Malah, beliau telah memenangi kejohanan dunia dan merangkul pingat perak di sukan Olimpik. Nama wira tersebut adalah Julius Yego dari Kenya yang beraksi dalam sukan rejam lembing.
Dalam beberapa tahun pertama, Julius mempelajari teknik merejam lembing dengan hanya menonton video-video di YouTube.
Beliau hanya mencari mentor selepas memenangi kejohanan sukan di Afrika.
7. Mengapa meja snuker dibalut dengan warna hijau?
Sukan ini dipercayai berasal dari sukan kroket, yang menjadi sebab mengapa kebanyakan mejanya dilitupi dengan kain hijau yang sama seperti rumput dalam sukan kroket.
Terdapat versi yang berbeza sebelum 1871, di mana kain itu kebanyakannya berwarna oren. Namun, apabila cahaya tidak mencukupi, pergerakan bola di atas meja sukar untuk dilihat.
Dan hal ini sering menjadi punca pertengkaran di antara para pemain. Kain hijau menyelesaikan masalah ini kerana bola merah dan putih sangat jelas berlatar belakangkan warna semula jadi ini.
8. Mengapa urat ahli bina badan besar dan menonjol?
Untuk memahami perkara ini, anda perlu mengetahui terlebih dahulu bagaimana ia berfungsi.
Arteri membawa darah dari jantung ke tisu-tisu dan urat-urat (saluran darah) pula membawa darah kembali ke jantung.
Menurut para doktor, atlet bina badan mempunyai saluran darah yang sangat menonjol seperti ini kerana darah dalam saluran darah mereka mengalir lebih lambat daripada darah di arteri mereka, sekaligus menyebabkan tekanan tinggi dalam urat.
9. Mengapa bola golf mempunyai lekuk?
Lekuk atau juga dikenali sebagai "lesung pipit" pada bola golf sebenarnya mempengaruhi kelajuan dan lintasan bola itu sendiri.
Tanpa lekuk-lekuk ini, bola-bola ini hanya akan terbang 50% daripada jarak yang boleh dicapai bola yang mempunyai lekuk.
Namun, apa yang penting di sini adalah ketepatan di mana sekecil-kecil perbezaan daripada saiz standard (kedalaman lekuk-lekuk ini sekitar 0.010 inci) sahaja sudah mampu untuk mengubah ciri-ciri bola.
Kebanyakan bola golf mempunyai di antara 300 dan 500 lekuk.
10. Mengapa atlet berlari melawan arah jam di stadium?
Terdapat beberapa teori mengenai mengapa hal ini berlaku. Sesetengah orang percaya bahawa tradisi ini berasal dari Romani Purba di mana orang pada ketika itu memilih arah untuk berlari berdasasrkan keadaan infrastruktur.
Manakala yang lain pula percaya bahawa kebanyakan atlet mempunyai kaki kanan yang lebih kuat dan apabila berlari melawan arah jam, penggunaan kaki kanan adalah lebih berbanding kaki kiri.
Inilah sebabnya mengapa para komander tentera lebih suka (jika boleh) untuk mengelilingi musuh mereka dengan arah lawan jam.
Rujukan:
1. Telegraph
2. NHL
3. CNN