Istilah "jersi" sinonim disebut untuk merujuk kepada pakaian sukan dan juga nama salah sebuah negeri di Amerika Syarikat, iaitu New Jersey.

Adakah kedua-duanya saling berkait? Asal usul istilah jersi pada awalnya jauh daripada terkait dengan sebarang bentuk permainan dan sukan.Sejarah istilah jersi bermula di sebuah pulau kecil di kawasan kepulauan terletak di Britain yang dinamakan sebagai Kepulauan Channel.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apa yang telah berjaya dihasilkan di sanaberkembang mengikut peredaran zaman, akhirnya menjadi antara ukuran standard antarabangsa seiring dengan kemajuan sukan dan teknologi.

Bagaimana 'jersi' bermula

pulau jersey pengeluar baju panas

Pulau Jersey merupakan salah sebuah kawasan yang corak pentadbirannya unik, ditadbir terus sistem monarki Britain dan tidak tertakluk di bawah kuasa United Kingdom.

Merupakan pulau terbesar dalam sistem Kepulauan Channel, penduduk pulau ini sekitar abad ke 16 terkenal dengan kemahiran mengait mereka, menghasilkan baju panas yang diperbuat daripada bulu haiwan yang kemas penghasilannya, sangat dihargai masyarakat terdahulu kerana tenunan mampu memanaskan badan dalam cuaca sejuk.

Baju panas ini pada mulanya digunakan sebagai baju lapisan dalam biasanya dipakai kelasi kapal. Popularitinya sebagai penebat haba yang efektif menyumbang kepada peningkatan permintaan oleh orang-orang biasa.

Sambutan 'hangat' ini membawa kepada perubahan kaedah pemakaian. Secara beransur-ansur baju ini yang dikenali sebagai sweater di kalangan peminatnya, berkembang menjadi pakaian luaran - tidak lagi hanya dipakai sebagai pakaian dalaman.

'Jersey' mula berkembang ke serata Eropah

baju pemanas badan kelasi sejarah jersi

Daripada aspek bahasa, istilah nama Pulau Jersey itu dikatakan berasal daripada korupsi bahasa terhadap nama asal pulau itu iaitu Caesarea, yang diberikan ketika zaman pemerintahan Rom di sana.

Disebabkan aktiviti perdagangan berkembang pesat akhir abad ke-17 dan awal abad ke-18, baju panas dari Pulau Jersey ini tersebar ke serata United Kingdom dan Eropah utara.

Popularitinya menyebabkan nama "Jersey" yang menjadi lokasi pembuatannya, menjadi sinonim dengan baju-baju tersebut di negara-negara luar. Barangan eksport penduduk Pulau Jersey yang jelas berkualiti tinggi itu akhirnya dirujuk sebagai 'Jersey' sahaja.

Situasi ini menjadikan wujud dua kaedah berbeza produk keluaran produk Pulau Jersey dirujuk. Mereka yang lebih awal mengamalkan pemakaiannya menggelarkannya 'sweater' dan mereka yang baru menemuinya konsisten menggelarkan pakaian yang cukup selesa itu sebagai 'jersey.'

Amerika Syarikat mempopularkan penggunaan jersi ke seluruh dunia

kenapa baju sukan digelar baju jersi

Walaupun bermula di sebuah kepulauan di Britain, pengaruh industri yang dibawa Amerika Syarikat dikatakan menjadi faktor terbesar menyumbang populariti pemakaian jersi ke seluruh dunia.

Bagi membantu memastikan pemain ragbi Amerika berada di tahap kemuncak dalam setiap perlawanan, pemain memerlukan pakaian seragam yang kuat dan kukuh serta mampu menghangatkan tubuh pemain.

Pakaian "Jersey" yang diperbuat daripada bulu dipilih kerana kesesuaiannya. Ekoran daripada itulah 'jersey' mula menjadi pakaian pemain sukan lain seperti pelumba basikal, pemain golf dan atlet lain.

sejarah penciptaan jersi baju kelasi

Ketika berlangsungnya era industri di Amerika Syarikat yang dikenali sebagai The Gilded Age pada tempoh tahun 1877 sehingga 1900, "jersey" sukan mula berubah menjadi lebih ringan tanpa hilang keupayaan menebat haba, tidak lagi menyerupai rupa 'jersi-jersi' terdahulu yang besar dan berat.

Secara rasminya baju uniform sukan besbol yang ringan dirujuk sebagai "jersey" oleh media dalam tempoh ini walaupun diperbuat dari kain flanel, mempunyai lengan pendek, butang, dan kolar.

Pada era inilah jersi mula sinonim dikategorikan sebagai "pakaian seragam sukan".

Teknologi moden memacu penghasilan jersi

jersi sukan moden

Kini pengeluaran jersi sudah melibatkan teknologi canggih.

Bahan bulu haiwan telah digantikan bahan sintetik seperti poliester yang ringan, tahan lama dan mampu menyerap peluh. Jersi moden juga kini telah dijahitkan dengan panel mesh, bertindak sebagai ruang udara dan ventilasi.

Potongannya juga kini direka sesuai dengan bentuk badan untuk mengurangkan rintangan. Malahan ada jersi yang hadir dengan bahan anti-mikrob bagi membantu mengawal bau peluh yang terhasil semasa bertanding atau bersukan.

Setiap tahun ada saja gimik baru cuba diperkenalkan syarikat-syarikat gergasi pengeluar jersi, bagi memastikan angka jualan tinggi dapat dicapai - dibantu populariti ahli atau kelab sukan yang diraikan ramai peminat.

Semuanya harus kita ingat, bermula sebagai sebuah perusahaan tempatan di Pulau Jersey; penambahbaikan kepada apa yang mereka bangunkan di sana membawa kepada pakaian jersi yang kita pakai hari ini.

Masyarakat di sana juga sudah berubah eksport utama mereka, kini lebih terkenal sebagai pengeluar ubi kentang di bawah label Jersey Royal New Potato dan susu lembu Jersey Milk.




Hakcipta iluminasi.com (2017)