Oleh pada 20 Dec 2018 kategori

Sejak negara ini pertama kali muncul dalam sejarah Cina purba, Jepun dilihatkan sebagai sebuah negara yang sangat menarik.

Walaupun hampir semua orang mengetahui tentang bagaimana pencerobohan Mongol terhadap Jepun digagalkan oleh tsunami atau bagaimana ia terasing dari seluruh dunia semasa zaman Edo, masih terdapat banyak kisah aneh dan mengejutkan dalam sejarah Jepun.

BESARKAN TEKS     A-  A+

iluminasi.com kongsikan 10 kisah sejarah menarik Jepun yang ramai tak tahu.

10. Pengharaman memakan daging satu ketika dahulu

daging haram dimakan di jepun satu ketika dahulu

Bermula pada pertengahan abad ketujuh, kerajaan Jepun meletakkan larangan terhadap memakan daging yang bertahan selama lebih dari 1,200 tahun.

Mungkin dipengaruhi oleh ajaran Buddha yang melarang membunuh makhluk hidup, Maharaja Tenmu mengeluarkan perintah pada tahun 675 yang mengharamkan daripada memakan daging lembu, monyet dan binatang peliharaan di bawah hukuman mati.

Undang-undang asal hanya dimaksudkan untuk dilaksanakan di antara April dan September, tetapi undang-undang kemudian dan amalan agama pada dasarnya membuatkan kebanyakan daging, terutama daging lembu, haram atau tabu.

Hubungan dengan mubaligh Kristian mula mempopularkan budaya makan daging semula pada abad ke-16.

Walaupun larangan lain diisytiharkan pada tahun 1687, sesetengah orang Jepun terus memakan daging.

Pada 1872, pihak berkuasa Jepun telah secara rasmi mengangkat larangan itu bahkan maharaja juga telah menjadi pemakan daging.

9. Kabuki dicipta oleh seorang wanita "crossdressing"

kabuki

Kabuki, salah satu ikon kebudayaan paling terkenal di Jepun, adalah bentuk teater yang berwarna-warni di mana watak lelaki dan perempuan dimainkan secara eksklusif oleh lelaki.

Walau bagaimanapun, dalam peringkat terawal, Kabuki adalah sangat bertentangan di mana watak-watak itu dimainkan oleh wanita.

Pengasas Kabuki adalah Izumo no Okuni, seorang pendeta wanita yang terkenal kerana tarian dan sketsa komedi dengan berpakaian sebagai seorang lelaki.

Rutin ghairan dan bersemangat Izumo mendapat sambutan hangat dan pelacur lain menggunapakai gayanya dengan meniru persembahannya dalam rombongan semua wanita.

Mereka dikenali seabgai "wanita Kabuki," dan sangat popular sehingga diundang oleh daimyo ("tuan-tuan feudal") untuk mempersembahkan persembahan peribadi di istana mereka.

Namun, ketika semua orang menikmati bentuk seni yang baru ini, kerajaan gembira dengan situasi yang berlaku.

Pada tahun 1629, selepas rusuhan meletus di pertunjukan Kabuki di Kyoto, wanita dilarang daripada berada di atas pentas.

Pelakon lelaki mengambil alih peranan wanita dan Kabuki seperti yang kita tahu hari ini terhasil.

8. Penyerahan kalah Jepun hampir-hampir tak berlaku

jepun menyerah kalah ww2

Pada 15 Ogos 1945, Maharaja Hirohito mengumumkan penyerahan kalah tanpa syarat Jepun kepada kuasa Sekutu dalam siaran radio seluruh negara yang dikenali sebagai "Jewel Voice Broadcast."

Siaran ini bukan secara langsung tetapi telah dirakamkan pada malam sebelumnya. Ia juga hampir tidak dihebahkan keluar dari Istana Imperial.

Pada malam yang sama di mana Maharaja Hirohito merakamkan mesejnya, satu kumpulan dalam tentera Jepun yang enggan menyerah kalah telah melancarkan rampasan kuasa.

Major Kenji Hatanaka, pemimpin rampasan kuasa, menduduki Istana Imperial bersama pasukannya selama beberapa jam.

Kenji mahu rakaman Penyiaran Suara Jewel dimusnahkan. Walaupun tenteranya mencari di seluruh istana, ia tidak dapat ditemui.

Walaupun semua yang meninggalkan istana telah diperiksa, namun rakaman itu berjaya diseludup keluar dengan cara disembunyi dalam bakul dobi.

Kenji tidak bersedia menyerah. Dia meninggalkan istana dan merayap ke stesen radio berdekatan dengan basikalnya.

Kenji Hatanaka mahu menyiarkan satu mesej, tetapi stesen itu tidak akan membenarkannya kerana isu-isu teknikal.

Tidak berdaya melakukan apa-apa lagi, pemimpin pemberontak itu kembali ke istana dan menembak dirinya.

7. Samurai menguji pedang dengan menyerang pejalan kaki 

tsujigiri

Di zaman pertengahan Jepun, ia dianggap sebagai sesuatu yang hina jika pedang samurai tidak dapat memotong badan pihak lawan dalam satu hayunan.

Ia penting bagi seorang samurai untuk mengetahui tentang kualiti senjatanya dan setiap pedang baru yang diterima harus diuji sebelum ia membawanya ke medan pertempuran.

Samurai biasanya mengamalkan keratan pada badan penjenayah dan mayat.

Tetapi terdapat satu lagi kaedah yang dipanggil tsujigiri ("persimpangan jalan membunuh") di mana sasaran adalah orang biasa secara rawak yang ditemui berjalan di persimpangan jalan pada waktu malam.

Insiden tsujigiri jarang berlaku. Tetapi ia akhirnya menjadi satu masalah yang dirasakan oleh pihak berkuasa bahawa mereka perlu untuk mengharamkannya pada tahun 1602.

Satu laporan dari era Edo (1603-1868), menggambarkan tahun-tahun awal masa itu, mendakwa bahawa orang-orang dibunuh dengan cara tsujigiri setiap malam di persimpangan tertentu di kawasan Tokyo moden.

6. Tentera Jepun potong telinga dan hidung sebagai trofi perang

monumen trofi perang hidung dan telinga jepun

Di bawah pemimpin legenda Toyotomi Hideyoshi, Jepun menyerang Korea sebanyak dua kali antara 1592 dan 1598.

Walaupun Jepun akhirnya menarik balik tenteranya dari negara ini, serangan itu sangat kejam dengan jumlah kematian yang mungkin mencecah sejuta orang Korea.

Pada ketika itu, adalah menjadi perkara biasa bagi pahlawan Jepun untuk mengambil kepala musuh mereka sebagai trofi perang. Namun begitu, penghantaran kepala dalam jumlah yang terlalu banyak ke Jepun adalah sukar, jadi askar-askar mengambil telinga dan hidung sahaja.

Setibanya di Jepun, monumen ditubuhkan untuk trofi-trofi yang terkenal yang dikenali sebagai "makam telinga" dan "makam hidung".

Satu makam seperti di Kyoto, Mimizuka, mengandungi puluhan ribu trofi. Satu lagi di Okayama mempunyai 20,000 hidung, tetapi ia akhirnya dikembalikan ke Korea pada tahun 1992.

5. Bapa Kamikaze laksanakan Seppuku sebagai penebusan

kamikaze

Menjelang Oktober 1944, Naib Laksamana Takijiro Onishi percaya bahawa satu-satunya jalan bagi Jepun untuk memenangi Perang Dunia II adalah melalui operasi kamikaze, serangan bunuh diri di mana juruterbang Jepun akan membenamkan pesawat mereka ke kapal Allied.

Takijiro berharap kejutan serangan itu akan melemahkan Amerika Syarikat, membuatkan mereka untuk berputus asa dengan perang tersebut.

Dia sangat terdesak, malah, dia mengatakan bahawa dia sanggup mengorbankan 20 juta nyawa Jepun untuk menang.

Selepas mendengar berita Maharaja Hirohito menyerah kalah pada bulan Ogos 1945, Onishi menjadi terganggu dengan beribu-ribu juruterbang kamikaze yang telah dikorbankannya.

Dia berfikir bahawa satu-satunya penebusan yang patut dilakukannya adalah membunuh diri dan melakukan seppuku pada 16 Ogos.

Dalam nota bunuh diri, dia memohon maaf kepada "jiwa-jiwa orang-orang yang mati terbunuh dan keluarga-keluarga mereka yang hilang" dan memohon kepada anak-anak muda Jepun untuk berusaha menuju kedamaian dunia.

4. Orang Jepun pertama peluk Kristian ketika lari daripada undang-undang 

orang jepun pertama peluk kristian

Pada tahun 1546, samurai Anjiro yang berumur 35 tahun lari daripada undang-undang.

Dikehendaki kerana membunuh seorang lelaki dalam pertarungan, dia bersembunyi di pelabuhan perdagangan Kagoshima untuk mengelak daripada ditangkap.

Semasa bersembunyi, Anjiro bertemu dengan beberapa orang Portugis, yang berasa kasihan kepadanya dan menghantarnya ke Melaka.

Semasa tempoh dia berada di luar negara, Anjiro belajar bahasa Portugis dan dibaptis dengan nama Paulo de Santa Fe, menjadi orang Jepun pertama memeluk agama Kristian.

Dia juga bertemu dengan Francis Xavier, seorang imam Jesuit yang mengembara bersama Anjiro untuk melancarkan misi Kristian di Jepun pada musim panas 1549.

Misi ini berakhir dengan buruk, dengan Anjiro dan Francis terpisah. Walaupun misi Jepun oleh Francis Xavier mungkin tidak berlangsung seperti yang diharapkan, dia akhirnya menjadi seorang paderi dan penaung mubaligh Kristian.

Anjiro, yang dipercayai telah meninggal dunia sebagai seorang lanun, kini telah dilupakan oleh sejarah Jepun.

3. Perdagangan hamba oleh Portugis tamatkan perhambaan di Jepun

perhambaan jepun

Tidak lama setelah Barat mula menjalinkan hubungan dengan Jepun pada tahun 1540-an, perdagangan Portugis terhadap hamba Jepun muncul.

Dijual kepada Portugis oleh orang Jepun yang lain, hamba-hamba ini dihantar ke Portugal dan bahagian-bahagian lain di Asia. Perdagangan ini akhirnya menjadi begitu besar sehinggakan hamba Portugis di Macau memiliki hamba dari Jepun.

Mubaligh Jesuit tidak berpuas dengan aktiviti ini. Pada 1571, mereka memujuk raja Portugal untuk menghentikan perhambaan Jepun, walaupun penjajah Portugis menolak dan mengabaikan larangan itu.

Toyotomi Hideyoshi, seorang panglima perang dan pemimpin Jepun, sangat marah terhadap perdagangan ini.

Walaupun secara ironinya tidak mempunyai masalah dengan orang-orang Korea yang diperhambakan semasa pencerobohan Korea yang dilancarkan pada tahun 1590-an, Toyotomi bersuara tentang mengakhiri perdagangan hamba-hamba Jepun.

Pada 1587, dia mengeluarkan larangan yang melarang amalan itu, walaupun penjualan budak-budak Jepun terus berlanjutan beberapa ketika selepas itu.

2. Lebih 200 gadis sekolah Jepun dipaksa jadi jururawat dalam Pertempuran Okinawa 

gadis jepun berkhidmat sebagai jururawat dalam pertempuran okinawa

Pada April 1945, pihak Allies telah melancarkan serangan ke atas Okinawa. Pertumpahan darah selama tiga bulan telah membunuh lebih 200,000 orang, 94,000 daripadanya adalah penduduk Okinawa.

Di antara orang awam yang meninggal ialah Himeyuri Student Corps, sekumpulan 200 pelajar perempuan berusia antara 15 dan 19 tahun mana telah dipaksa oleh Jepun untuk bekerja sebagai jururawat semasa pertempuran itu.

Awalnya, gadis-gadis Himeyuri bekerja di sebuah hospital tentera. Tetapi mereka berpindah ke gua kerana pengeboman pulau menjadi semakin buruk.

himeyuri girls yang difilemkan

Kisah pelajar Himeyuri yang difilemkan

Mereka memberi makan kepada tentera Jepun yang cedera, membantu melakukan amputasi dan menguburkan mayat.

Ketika Amerika Syarikat maju, gadis-gadis itu diberitahu supaya tidak menyerah diri. Sebaliknya, mereka dinasihatkan membunuh diri dengan bom tangan.

Walaupun beberapa gadis membunuh diri, yang lain terkorban dalam pertempuran. Dalam satu kejadian yang dikenali sebagai "The Cave of the Virgins," 51 gadis terbunuh selepas gua mereka bersembunyi tertimbus.

Selepas perang, sebuah monumen dan sebuah muzium dibina untuk gadis-gadis Himeyuri.

1. Jepun miliki program senjata nuklear ketika Perang Dunia Kedua

yoshio nishina

(Yoshio Nishina)

Pengeboman atom Hiroshima dan Nagasaki pada Ogos 1945 telah mengejutkan Jepun dan dunia, tetapi seorang saintis Jepun mungkin tidak begitu terkejut.

Ahli fizik Yoshio Nishina telah bimbang tentang kemungkinan serangan seperti itu sejak tahun 1939 lagi. Yoshio juga merupakan ketua program senjata nuklear pertama Jepun, yang memulakan penyelidikannya pada April 1941.

Menjelang 1943, sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh Yoshio menyimpulkan bahawa mencipta senjata nuklear adalah mungkin tetapi terlalu sukar, walaupun untuk Amerika Syarikat.

Dalam masa yang sama, Jepun terus mengkaji kemungkinan senjata nuklear dan satu lagi program yang dipanggil Projek F-Go dibentuk oleh ahli fizik Bunsaku Arakatsu.

Walaupun tidak ada program yang berjaya, siapa tahu betapa berbezanya pengakhiran Perang Dunia II jika Jepun terlebih dahulu mendapat senjata nuklear?

Menurut pengarang Robert K. Wilcox, Jepun memiliki pengetahuan untuk membuat bom atom tetapi tidak memiliki sumber untuk berbuat demikian.

Dalam satu insiden pada Mei 1945, sebuah kapal selam Nazi yang sepatutnya menghantar 540 kilogram uranium oksida telah ditangkap oleh Tentera Laut Amerika Syarikat ketika dalam perjalanan ke Tokyo .

Rujukan:

1. LA Times

2. Japan Guide

3. Tofugu




Hakcipta iluminasi.com (2017)