Masyarakat Jepun sejak zaman dahulu lagi cukup berbangga dengan kemahiran mereka mencipta peralatan senjata yang bukan saja mampu berfungsi dengan baik, malahan mempunyai seni reka yang tiada tolok bandingnya.
Dikenali dengan nama 'katana', sejarah Jepun merekodkan kewujudan seorang pembuat katana terkenal bernama Goro Nyudo Masamune, seorang tukang besi berkemahiran tinggi mampu menghasilkan pedang yang dipercayai terbaik ketika zamannya.
BESARKAN TEKS A- A+
Masamune hidup pada abad ke 14, semasa zaman kegemilangan penempaan pedang di Jepun yang dikenali sebagai 'Zaman Kamakura.' Ketika itu Jepun diperintah oleh pemerintahan berbentuk shogun, dibantu tentera pahlawan yang kita kenali sebagai 'samurai'. Hasil kerja Masamune yang terbaik dikenali dengan nama Honjo Masamune, sebilah pedang yang dikatakan tidak mampu dilihat apabila diayunkan kerana kualiti pembuatannya yang terlalu tinggi.
Honjo Shigenaga dan pedang Masamune
Sejarah pedang 'Honjo Masamune' bermula selepas Masamune menyerahkannya kepada pemerintah tertinggi shogun Tokugawa sebagai simbol kerajaan Jepun ketika itu. Pedang itu berpindah tangan mengikut sistem kerajaan sebelum sampai ke tangan seorang pahlawan bernama Umanosuke pada zaman Edo Jepun, sekitar abad ke 16.
Dalam satu peperangan, Umanosuke terpaksa berhadapan dengan pasukan samurai yang diketuai Uesugi Kenshin yang mempunyai seorang jeneral handalan bernama Honjo Shigenaga.
Pertarungan di antara Shigenaga dengan Umanosuke tercetus. Umanosuke yang ketika itu sudah pun memancung kepala beberapa orang lawan dalam pertempuran lain, gagal membunuh Shigenaga dengan pedang Masamune yang diwarisinya disebabkan kondisi pedang Masamune yang telah terjejas.
Walaupun berjaya menetak topi pelindung kepala Shigenaga sehingga putus dua dan mengakibatkan kecederaan teruk pada bahagian kepala Shigenaga, Umanosuke gagal memutuskan nyawa Honjo menyebabkan akhirnya Shigenaga berjaya mengambil peluang menewaskannya.
Mengetahui keistimewaan pedang itu, Shigenaga mengambilnya sebagai harta rampasan perang . Nama Honjo Shigenaga mula terkenal sebagai pemilik pedang legenda Masamune itu, menjadikan pedang itu dikenali dengan nama 'Honjo Masamune.'
Terpaksa menjual pedang kerana kekurangan dana
Bekerja sebagai seorang jeneral perang memerlukan pengorbanan peribadi yang agak besar pada zaman tersebut. Tidak hairanlah Shigenaga turut sama terpaksa berkorban harta bergolok gadai bagi memenuhi arahan ketua beliau, Uesugi Kenshin. Semasa era yang dinamakan Bunroku daripada Disember 1592 sehingga Oktober 1596, Uesugi Kenshin mengarahkan Shigenaga melindungi Istana Fushimi daripada serangan.
Kos yang tinggi yang digunakan bagi menyara pasukan keselamatan serta kos sara hidup petugas yang bekerja di bawahnya. Harta dan kemampuan kewangan Shigenaga menyusut sedikit demi sedikit sehinggakan Shigenaga kehabisan dana.
Tidak ada jalan lain, Shigenaga mengambil keputusan menjual pedang legenda itu kepada Toyotomi Hidegutsu, anak buah tokoh besar Jepun ketika itu iaitu Toyotomi Hideyoshi yang berjaya menyatukan Jepun serta membawa kepada keamanan kepada negara mereka.
Dengan harga 13 keping wang emas besar (matawang mereka ketika itu) Honjo Masamune bertukar tangan kepada keluarga Toyotomi.
Kembali kepada keluarga Tokugawa
Honjo Masamune terus dimiliki individu-individu berpengaruh dalam masyarakat Jepun, berikutan kedudukan serta sejarah pedang tersebut yang sangat dihargai masyarakat mereka kerana ditempa oleh Goro Masamune.
Selepas dijual kepada Toyotomi Hidegutsu, pedang Honjo Masamune akhirnya kembali menjadi harta warisan keluarga Tokugawa setelah berpindah tangan kepada Tokugawa Ieyasu, pada awal abad ke 17.
Pada tahun 1939, selepas pedang itu diwarisi beberapa generasi pemimpin keluarga Tokugawa, kerajaan Jepun meletakkan Honjo Masamune senarai harta warisan Jepun paling berharga dan mengikritafnya sebagai salah satu harta warisan negara.
Tokugawa Iemasa menjadi pemilik terakhirnya sehinggalah tamat perang dunia kedua sebelum Jepun dijajah oleh Amerika Syarikat. Kemasukan Amerika Syarikat ke Jepun mengubah sistem masyarakat Jepun, dengan pengenalan sekatan pembuatan pedang diperkenalkan sebagai undang-undang masyarakat mereka, melainkan dengan permit kebenaran khas dikeluarkan.
Kesemua pedang yang sudah siap ditempa dan diwarisi zaman berzaman pula disita daripada terus dimiliki orang awam. Honjo Masamune tidak terkecuali.
Artifak sejarah hilang di tangan penjajah
Bagi menunjukkan contoh kepada masyarakat Jepun ketika itu, Tokugawa Iemasa bersetuju memberikan kerjasama mereka pada kerajaan Jepun di bawah perintah Amerika Syarikat. Keluarga Tokugawa bersetuju menyerahkan Honjo Masamune dan 14 bilah katana milik mereka kepada pasukan polis Amerika Syarikat yang bertugas di daerah Mejiro pada Disember 1945.
Pasukan polis yang bertugas menyerahkan katana-katana yang dirampas kepada petugas bernama Sarjan Coldy Bilmore, seorang anggota tentera AFWESPAC atau 'US Army Forces, Western Pacific' yang ditugaskan untuk mengumpulkan kesemua aset yang disita ketika itu.
Itulah kali terakhir Honjo Masamune dilihat.
Siasatan mendapati tidak wujud sebarang rekod berlakunya penyerahan aset-aset tersebut secara rasmi. Tidak lama selepas penyerahan itu, kerajaan Amerika Syarikat membenarkan keluarga pemerintah Jepun menyimpan semula katana untuk tujuan peribadi. Namun keluarga Tokugawa hanya berjaya mendapat balik beberapa bilah katana mereka yang disita.
Honjo Masamune, pedang katana terbaik pernah dibuat dalam sejarah masyarakat Jepun oleh penempa pedang ternama Goro Masamune, masih lagi hilang tidak diketahui di mana diamnya - menyimpan ketajaman dan ketepatan yang tiada tolok bandingnya.
Rujukan