Industri Perkapalan Antarabangsa memainkan peranan besar dalam perdagangan barangan global, kira-kira sebanyak 90%. Menurut Dewan Perkapalan Antarabangsa, terdapat lebih daripada 50,000 kapal dagang yang beroperasi di lautan pada masa ini.

Kapal kontena adalah kapal kargo yang membawa muatan dalam bekas bersaiz besar berukuran 20 atau 40 kaki. Kapal kontena ini diklasifikasikan dalam pelbagai kategori berdasarkan kapasiti yang mampu dibawa. Terdapat tujuh jenis kapal kontena yang digunakan kini seperti Small Feeder, Feeder, Feedermax, Panamax, Post Panamax, New Panamax dan Ultra Large Cointainer Vessel (ULCV).

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pada tahun 1956, usahawan Malcolm McLean telah membangunkan kontena perkapalan moden buat pertama kalinya. Sejak itu, perlumbaan untuk membina kapal kontena paling efisien tidak pernah berhenti. Berikut adalah senarai kapal kargo terbesar di dunia pada masa ini.

10. MSC Diana

Kapal MSC Diana milik Syarikat Perkapalan Mediterranean ini berukuran 399.9 meter panjang dan 58.8 meter lebar. Kapal kelas Pegasus ini mampu membawa 19,462 buah kontena dengan berat muatan 197,708 tan.

Kapal ini dibina pada tahun 2016 oleh Samsung Shipbuilding and Heavy Industries. Ia kini didaftarkan dan belayar di bawah Bendera Liberia.

9. MV Barzan

mv barzan

Kapal Ultra Large Cointaner Vessel (UCLV) yang berada dalam kelas DNV GL ini dibina oleh Hyundai Heavy Industries di Mopko, Korea Selatan pada 2015. Pada waktu itu, MV Barzan memegang rekod sebagai kapal kontena terbesar. Tidak seperti kapal-kapal lain yang dimiliki dan dikendalikan syarikat China atau Jepun, kapal ini dimiliki oleh United Arab Shipping Company (UASC)

Kapal yang mampu membawa muatan seberat 199,744 tan ini mempunyai pelepasan karbon jauh lebih rendah berbanding kapal kontena kelas Maersk EEE dan ia merupakan pencapaian penting. Pelepasan karbon kapal ini hampir 50% kurang daripada had yang ditetapkan Pertubuhan Maritim Antarabangsa.

8. COSCO Shipping Taurus

cosco shipping taurus

Kapal yang belayar di bawah Bendera Hong Kong ini merupakan satu lagi keajaiban yang dikendalikan oleh China Ocean Shipping Company Limited (COSCO). Kapal khusus untuk pengangkutan kontena ini dibina pada tahun 2018 oleh Waigaoqiao Shipbuilding. Kapal ini berukuran 399.8 meter dan selebar 58.7 meter.

Kapal ini merupakan salah satu daripada lima kapal kelas DNV GL di mana masing-masing dinamakan sempena buruj terkenal iaitu Taurus, Gemini, Virgo, Libra dan Sagittarius. Setiap daripada kapal ini mampu membawa 20,119 kontena dengan berat maksimum sebanyak 194,864 tan.

7. MOL Triumph

mol triumph

Kapal ini dibina pada bulan Mac 2017 oleh Samsung Heavy Industries di Geoje, Korea Selatan, untuk operator perkapalan Jepun, Mitsui O.S.K Lines. Enjin utama kapal ini ialah MAN B & W G95ME yang menyediakan kuasa maksimum sebanyak 82,440 kW. Ia mencukupi untuk memacu kapal ini pada kelajuan 22 knot.

Kapal ini mampu membawa sebanyak 20,170 kontena dengan berat maksimum 192,672 tan. Selain itu, kapal ini juga mempunyai pelbagai teknologi penjimatan tenaga yang maju termasuk cat geseran rendah di bawah air, kemudi bercekapan tinggi dan kipas yang ditambah baik bagi mengurangkan rintangan air dan menjimatkan penggunaan bahan api.

6. MOL Truth

mol truth

Kapal yang belayar di bawah bendera Panama ini dikendalikan oleh kumpulan Ocean Network Express (ONE) dari Jepun. Kapal yang dihasilkan oleh Imabari Shipbuilding Company Limited di Saijo ini mempunyai ukuran 400 meter panjang dan 58.5 meter lebar.

Dengan berat maksimum 189,766 tan, kapal ini mampu memuatkan 20,182 buah kontena. Ia beroperasi di laluan perdagangan Asia-Eropah Utara. Kapal MOL Truth ini juga mempunyai pelbagai teknologi seperti kapal MOL Triumph dan mampu mengurangkan pelepasan karbon sehingga 30%.

5. Ever Golden

ever golden

Ini adalah sebuah lagi kapal kargo raksasa yang mampu membawa muatan maksimum sebanyak 218,000 tan. Kapal ini berukuran 400 meter panjang dan 58.8 meter lebar, lebih panjang daripada empat padang bola sepak yang digabungkan.

Ia dibina pada tahun 2018 oleh Imabari Shipbuilding di limbungan kapal Saijo untuk syarikat kargo Taiwan iaitu EVERGREEN. Kapal gergasi yang belayar di bawah bendera Panama ini tidak mempunyai kelebihan dari segi kelajuan dengan rekod maksimum sejauh 11.4 batu nautika sejam.

4. Madrid Maersk

madrid maersk

Kapal ini merupakan yang pertama dari 11 kapal kontena Generasi Kedua Maersk kelas Triple E. Kapal yang dibina oleh Daewoo Shipbuilding dan Marine Engineering ini mampu membawa muatan sebanyak 20,568 buah kontena.

Walaupun secara rasminya kapal itu ditetapkan membawa muatan sebanyak 19,630 kontena sahaja, Maersk Line berjaya mengubah reka bentuknya supaya mampu membawa lebih daripada 20,000 kontena. Kapal berukuran 399 meter panjang dan 58.8 meter lebar ini mempunyai had muatan maksimum sebanyak 192,672 tan.  

3. CMA CGM Antoine De Saint Exupery

cma cgm antoine de saint exupery 131

Kapal yang dinamakan sempena pengarang dan juruterbang Perancis, Antoine De Saint Exupery, ini dibina oleh Hanjin Heavy Industries and Construction di Filipina. Kapal yang mampu membawa 20,954 kontena ini merupakan kapal kontena terbesar berlayar di bawah bendera Perancis.

Kapal ini mempunyai ukuran 400 meter panjang dan 59 meter lebat ini mampu membawa muatan maksimum seberat 202,684 tan. Kapal ini dilancarkan pada tahun 2017 dan mula berkhidmat pada Februari 2018 untuk French Asia Line 1 (FAL-1), laluan laut terpanjang yang menghubungkan Asia ke Eropah Utara.

Kapal ini juga mesra alam dengan menggunakan enjin generasi baru yang mampu mengurangkan penggunaan minyak sehingga 25%. Ia juga mempunyai sistem penapis dan lampu UV untuk merawat air ballast bagi melindungi kepelbagaian biologi laut.

2. COSCO Shipping Universe

cosco shipping universe

Kapal kargo terbesar di China ini mampu membawa 21,237 buah kontena. Ia mempunyai ukuran 400 meter panjang dan 58.6 meter lebar. Dibina pada 2018 oleh China State Shipbuilding Corporation (CSSC), kapal ini kemudian dipindahkan ke COSCO.

Untuk prestasi optimum dan kecekapan bahan bakar, kapal ini dilengkapi dengan Turbochargers ABB yang membantu ia mencapai kelajuan maksimum 22 batu nautika sejam. Kapal ini mampu membawa muatan maksimum sehingga 199,000 tan metrik.

1. OOCL Hong Kong

oocl hong kong

Di tempat pertama, kapal OOCL Hong Kong menjuarai kategori kapal kontena terbesar dunia dan merupakan satu keajaiban kejuruteraan. Kapal ini merupakan kapal pertama yang melepasi tahap 21,000 muatan kontena.

Dibina oleh Samsung Heavy Industries di limbungan Geoje, kapal ini mampu membawa muatan sebanyak 21,413 buah kontena. Kapal ini mempunyai ukuran 399.87 meter panjang dan 58.8 meter lebar dengan kedalaman berukuran 32.5 meter.

Kapal ini mula beroperasi pada bulan Mei 2017 di laluan pergadangan Asia Timur-Eropah Utara dan belayar di bawah bendera Hong Kong. Menurut OOCL, kapal gergasi ini dihasilkan disebabkan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN antara China dan Hongkong.

** Informasi tambahan dikemaskini

msc gulsun

Gelaran kapal kontena terbesar di dunia kini dipegang oleh kapal yang baru siap dibina iaitu MSC Gulsun. Kapal ini mampu membawa sebanyal 23,756 unit TEU (kontena 20 kaki) pada satu-satu masa.

Kapal yang mempunyai ukuran 400 meter panjang dan 61.5 meter lebar. Ia dilengkapi dengan sistem pembekalan moden dan sistem pembersihan gas ekzos yang mengeluarkan zarah-zarah halus dari pelepasan ekzos selepas pembakaran bahan api.

Beberapa hari yang lalu, Pelabuhan Tanjung Pelepas menjadi pelabuhan pertama di Asia Tenggara yang menerima kapal kontena MSC Gulsun ini semasa pelayaran sulungnya ke rantau ini.

Rujukan:

1. Marine Insight

2. Champion Freight

3. Oceans Vibe




Hakcipta iluminasi.com (2017)