Oleh pada 16 Sep 2018 kategori

Lelaki ini lebih daripada sekadar sebuah imej popular di poster suatu masa dahulu. Ernesto 'Che' Guevara merupakan seorang pejuang kebebasan pada abad ke-20. Dia juga adalah seorang doktor, ahli falsafah politik, pakar strategi politik dan juga seorang penulis buku yang mencabar negara-negara kapitalis.

Sebelum ini kami pernah menulis satu artikel mengenai siapa sebenarnya Che Guevara. Namun, terdapat beberapa fakta menarik mengenainya yang mungkin ramai tidak tahu. Berikut adalah beberapa perkara menarik mengenai lelaki yang menjadi lambang kepada perjuangan kebebasan di seluruh dunia ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Dia berketurunan separuh Irish

che guevara semasa kecil

Nenek moyang kepada Che adalah seorang lelaki bernama Patrick Lynch yang berhijrah dari Ireland ke Argentina pada tahun 1700-an. Bapanya iaitu Ernasto Guavera Lynch pernah memberitahu bahawa darah pemberontak Irish mengalir dalam tubuh anaknya itu.

Sebahagian lagi keturunan Che adalah dari Basque yang juga terkenal kerana pemberontakan. Menurut abang Che iaitu Juan, bapa mereka telah memiliki elemen pemberontak dari kedua-dua belah cabang keluarga itu terutamanya sekali dari sebelah Irish.

2. Che meminati sukan ragbi

che guevara main ragbi

Ibu dan bapanya merupakan ahli kumpulan kelab ragbi San Isidro di mana Che bermain untuk kelab itu sewaktu usia mudanya. Pada tahun 1951, dia telah menerbitkan satu majalah khas untuk sukan itu yang dinamakan Tackle. 

Namun begitu, terdapat satu masalah bagi Che mengenai sukan yang diminatinya itu iaitu dia mempunyai masalah Asthma sepanjang hidupnya. Bapanya pernah cuba untuk meyakinkan Che supaya berhenti bermain ragbi namun Che menjawab bahawa dia sangat cintakan ragbi walaupun sukan itu mungkin boleh membunuhnya.

3. Dia cintakan sajak

buku nota che guevara

Disebabkan dia mempunyai penyakit Asthma yang agak serius, bapanya memutuskan untuk Che bersekolah di rumah. Guru yang mengajarnya itu telah memperkenalkan sajak buat pertama kalinya dan Che menyukainya untuk seumur hidup.

Semasa kematiannya, mereka temui satu buku hijau bersamanya. Di dalam buku itu mengandungi pelbagai puisi yang disalin olehnya memuatkan karya dari penyajak Chile iaitu Pablo Neruda, penyajak Peru iaitu Cesar Vallejo dan penyajak Cuba iaitu Nicolás Guillén. Selain itu dia juga meminati karya dari Walt Whitman, John Keats dan ramai lagi.

4. Nama timangannya berasal dari gelaran dialektik

che guevara dan fidel castro 505

Pendek, padat dan diingati. Nama 'Che' itu sebenarnya merupakan panggilan seruan Argentina yang sering digunakan oleh Guevara sehingga teman-temannya dari Cuba memanggilnya nama itu.

Jika di Malaysia mungkin dia akan dipanggil dengan gelaran Mat Guevara.

5. Dia belajar di bidang perubatan

che guevara seorang doktor

Dipengaruhi oleh kesukarannya melawan Asthma, Che telah mendaftar untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Buenos Aires pada tahun 1948.

Setelah menamatkan pengajian sebagai seorang pakar perubatan pada tahun 1953, dia telah menjalani latihan di Hospital Mexico City di mana dia telah menjalankan ujian terdapat alahan.

Pada tahun 1955 dia telah meninggalkan hospital itu untuk menjadi doktor kepada pejuang revolusi Cuba iaitu Fidel dan Raul Castro.

6. Dua penjelajahan membentuk identiti politiknya

jelajah motosikal che guevara

Semasa sedang belajar di bidang perubatan, Che telah melakukan jelajah ke Amerika Selatan secara solo pada tahun 1950 dengan basikal bermotor. Satu lagi penjelajahannya ialah menggunakan sebuah motosikal dan dengan seorang rakan iaitu Alberto Granado pada tahun 1952. 

Dalam jelajah sejauh 8000 batu itu, dia telah melihat bagaimana pekerja dan petani yang hidup dalam keadaan miskin tegar dan dieksploitasi oleh syarikat-syarikat kapitalis dari luar.

Hal ini telah membuatkan Che nekad untuk menentang sistem kapitalisma. Catitan mengenai jelajah yang keduanya itu telah diterbitkan di Cuba pada tahun 1993 sebagai The Motorcycle Diaries dan menjadi salah satu jualan terbaik penerbitan New York Times. Sebuah filem mengenainya juga telah diterbitkan pada tahun 2004.

7. Rampasan kuasa telah menguatkan lagi tentangan beliau terhadap Amerika sebagai kuasa imperialis

che guevara bertempur di guatemala

Che menetap di Guatamala pada 1953 kerana dia bersetuju bagaimana presiden negara itu iaitu Jacobo Arbenz Guzmán telah membahagikan tanah kepada para petani yang membuatkan kemarahan kepada golongan elit dan syarikat gergasi milik Amerika iaitu United Fruit Company.

Pada tahun yang sama juga CIA telah bersekongkol dengan junta tentera yang diketuai oleh Castillo Armas untuk menggulingkan presiden Arbaz daripada pemerintahan. Junta tentera kemudiannya telah mengembalikan tanah petani kepada United Fruit Company.

Che telah mengutuk kejadian itu dan ini merupakan pertama kali dia terlibat secara langsung dalam aktiviti revolusi dengan menyertai satu kumpulan kecil untuk mengambil semula Guatemala City namun gagal.

8. Dia merupakan ketua Bank Nasional di Cuba

wang kertas che guevara

Ketika mengikuti gerakan revolusi adik-beradik Castro, Guevara telah diberikan satu kedudukan penting berkaitan kewangan dan ekonomi. Dia telah dinamakan sebagai Presiden Bank Nasional pada tahun 1959.

Ini memberikannya kuasa tanpa had untuk membentuk hala tuju ekonomi negata itu. Dia telah mencuba untuk mengurangkan kebergantungan Cuba terhadap pengekspotan gula dan perdagangan dengan negara luar terutamanya Amerika Syarikat.

9. Dia terlibat dalam revolusi bersenjata di tiga negara

che guevara berucap di pbb

Che terkenal kerana penglibatannya dalam revolusi Cuba dan dia juga telah membawa cara yang digunakan Cuba untuk menegakkan revolusi di beberapa negara lain. Che terlibat secara langsung dengan revolusi bersenjata di Bolivia dan Congo pada tahun 1960-an.

Dia juga telah pergi ke Amerika Syarikat pada 1964 untuk berucap di Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu selama sejam di mana dia telah mengutuk PBB itu sendiri dan juga mengutuk layanan yang diberikan Amerika Syarikat terhadap bangsa kulit hitam di negara itu.

10. Mayatnya hilang selama 28 tahun

tugu peringatan di kubur che

Che telah ditangkap oleh tentera Bolivia yang disokong oleh CIA pada tahun 1967 ketika sedang membangkitkan penentangan revolusi di Bolivia. Pada keesokan harinya presiden Bolivia telah mengarahkan supaya Che dibunuh.

Pihak tentera telah memotong tangannya untuk dijadikan bukti sebelum membuang mayatnya ke dalam satu kubur yang besar bersama pejuang gerila yang lain. Lokasi kubur ini menjadi misteri untuk sekian lama.

28 tahun kemudian, apabila Jeneral Mario Vargas memberitahu penulis Jon Lee Anderson bahawa mayat Che telah dikebumikan berdekatan lapangan terbang Vallegrande, barulah pencarian besar-besaran dilakukan.

Salah satu mayat yang ditemui pada Julai 1997 itu menepati kriteria Che, iaitu mayat itu kehilangan tangan dan penemuan satu paip tembakau dalam jeket mayat itu milik Che. Mayatnya itu kemudian dikebumikan secara rasmi di Santa Clara, Cuba.




Hakcipta iluminasi.com (2017)