Oleh pada 03 Jul 2018 kategori

Lebih sepuluh juta warga kulit hitam Afrika dipaksa meninggalkan tanah asal mereka bermula abad ke 16 sehingga abad ke 19, menjadi pekerja di kawasan pertanian dan perladangan di kawasan yang dinamakan 'New World' atau 'dunia baru.

Insiden itu bukan saja mencatatkan sejarah menjadi salah satu migrasi terbesar dalam sejarah peradaban manusia, malahan turut menimbulkan salah satu tragedi terbesar yang berlaku pernah disaksikan dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berjuta-juta warga Afrika yang dibawa ke Brazil,ketika ini mengakibatkan hampir separuh populasi Brazil dikatakan berasal dari Afrika.

Pengenalan budaya Afrika di negara itu dapat dilihat dalam aspek kehidupan warga Brazil daripada segi muzik, tarian, makanan dan pelbagai lagi aspek lain.

bagaimana argentina buang afrika dari sejarah dan budaya mereka

Walaupun begitu, timbul persoalan penting; mengapa situasi sama tidak kelihatan di Argentina yang berjiran dengan Brazil?

Menurut rekod sejarah, Argentina sebenarnya turut sama menerima kemasukan warga Afrika ke negara mereka, namun pada ketika ini kesannya tidak dapat dilihat langsung, seperti tidak pernah berlaku.

Mengapa?

Kemasukan pendatang Afrika seawal abad ke 16

afro argentinos mangsa penindasan dan pembersihan etnik

Menurut catatan sejarah, warga Afrika dibawa ke Argentina seawal abad ke 16 ke satu daerah yang ketika itu digelar Rio de la Plata, kini menjadi Buenos Aires, bagi bekerja dalam bidang pertanian untuk lelaki atau pembantu rumah untuk golongan wanita.

Komuniti Afrika terus mendiami Argentina sehingga awal abad ke 19 dalam kelompok besar di kawasan Santiago del Estero, Catamarca, Salta dan Cordoba. Di Buenos Aires sendiri ketika era tersebut, warga Afrika merangkumi hampir satu per tiga jumlah penduduk.

Sistem perhambaan dihapuskan di Argentina pada tahun 1813 namun kekal diamalkan sehingga 1853. Hanya selepas itu, jumlah komuniti Afrika di Argentina mula berkurangan sedikit demi sedikit.

Dijadikan perisai hidup dalam peperangan

askar afrika dalam perang paraguay

Pengkaji sejarah mengatakan salah satu faktor utama komuniti Afrika di Argentina mengalami penurunan mendadak, adalah disebabkan perang Argentina dengan Paraguay pada tahun 1865 hingga 1870.

Warga Afrika dalam perang tersebut ditugaskan menjadi barisan paling hadapan sekali dalam tentera Argentina, menjadi punca ramai yang terkorban. Wabak penyakit yang melanda Buenos Aires pada tahun 1871 turut sama menyumbang kepada kematian warga Afrika yang telah menetap di Argentina sekian lama.

Perang yang mengorbankan ramai lelaki warga Afrika menyebabkan jumlah wanita Afrika yang tinggal mula memilih untuk hidup bersama dengan warga asal Argentina yang berkulit putih.

Bagi mereka yang gagal menyesuaikan diri dengan keadaan baru itu, mereka memilih untuk berhijrah ke Brazil atau Uruguay, yang dipercayai lebih sesuai bagi komuniti kulit hitam Afrika.

Hujah menghalalkan penghapusan etnik

barisan askar kulit hitam semasa perang paraguay

Bagi sesetengah pihak pengkaji sejarah lain, mereka mempunyai pandangan berbeza.

Ramai pengkaji sejarah etnik Argentina mengakui wujud perancangan teliti yang dilakukan oleh Domingo Faustina Sarmiento, Presiden Argentina daripada tahun 1868 sehingga 1874 - mahu membersihkan komuniti kulit hitam Afrika di Argentina.

Berlandaskan matlamat tersebut, beberapa langkah diambil kerajaan Argentina; seperti memaksa warga lelaki Afrika menyertai pasukan tentera yang disengajakan.

Kerajaan Argentina jua didakwa sengaja menjalan proses pemindahan komuniti Afrika ke kawasan tertentu, agar wabak penyakit merebak di kalangan mereka seterusnya menyebabkan kematian disebabkan ketiadaaan sistem kesihatan lebih sempurna.

Pendapat ini disokong melalui penemuan catatan dalam buku diari Sarmiento sendiri.

Dalam tulisannya, Sarmiento menyatakan kebimbangan beliau berkenaan jumlah warga Afrika seperti apa yang telah berlaku di Amerika Syarikat serta menyifatkan perhambaan sebagai satu bentuk taktik penjajah era kolonial memecah belahkan penduduk asal Argentina.

Penghapusan etnik dan budaya yang membunuh secara senyap

black soldiers perang paraguay

Menjelang tahun 1895, jumlah komuniti warga Afrika menjadi terlalu sedikit disebabkan usaha kerajaan Sarmiento melindungi penduduk asal, sehinggakan mereka tidak lagi relevan untuk didaftarkan dalam konsensus kebangsaan Argentina.

Realitinya, walaupun dilihat sengaja disisihkan - sehingga kini masih ada sedikit warga Argentina berketurunan Afrika berkulit hitam terus menetap di sana.

AfricaVive, NGO Argentina yang memperjuangkan hak warga kulit hitam menganggarkan hampir 1 juta warga Argentina sebenarnya berketurunan Afrika.

Namun data itu tidak diambil kira dalam sistem pentadbiran dan pendidikan Argentina, berikutan tidak ada langsung pengiktirafan atau maklumat berkenaan mereka kerana semua individu termasuklah warga berketurunan Afrika sendiri - telah diklasifikasikan berkulit putih.

Bagi generasi muda pula, mereka dididik agar merasa malu untuk mengaku keturunan asal mereka yang berkulit gelap, menjadikan mereka lebih selesa mengaku diri mereka warga sebenar Argentina yang bangga berkulit putih.

Ini menyebabkan pewaris keturunan Afrika di negara itu tidak mengenali susur galur keturunan mereka yang banyak memainkan peranan dalam sejarah negara mereka, disebabkan pemansuhan informasi dan catatan berkenaan nenek moyang mereka dalam buku-buku sejarah negara tersebut untuk diingati dan dipelajari.

Budaya asli kini jadi milik orang lain

pasukan kebangsaan argentina kulit putih

Ketika ini, Argentina mempunyai jumlah populasi seramai 41 juta orang.

97 peratus daripadanya dikategorikan sebagai berkulit putih, menjadikan Argentina negara paling dominan warga kulit putih berbanding jiran-jirannya yang lain.

Tradisi dan budaya orang Afrika mula diambil alih sebagai budaya asli Argentina.

Contohnya tarian tango yang terkenal di seluruh dunia sebagai simbol masyarakat Argentina, sebenarnya dicedok daripada tradisi komuniti kulit hitam Argentina yang mendiami Rio de la Plata.

Ini dibuktikan melalui bukti kewujudan beberapa lukisan lama yang memaparkan pasangan kulit hitam menari tarian tango di situ.

Proses penghapusan elemen dan budaya Afrika daripada sejarah Argentina layak dikatakan sebagai bukti kejayaan kerajaan Argentina khasnya di bawah pentadbiran Sarmiento, menyambung kesatuan negara-negara Eropah di Amerika Latin yang memperkembangkang dominasi masyarakat kulit putih di seluruh dunia.

Kini, amat jarang sekali kedengaran kisah penyertaan warga Afrika dalam budaya Argentina walaupun satu masa dahulu mereka merupakan sebahagian besar populasi negara tersebut - kerana semuanya telah hampir berjaya dilenyapkan untuk mengejar identiti satu negara, satu warna.

Bandingkan pemain bola sepak Brazil dan Argentina, akan jelas wujud perbezaan yang sangat ketara.


Artikel ini adalah terjemahan artikel "Blackout: How Argentina ‘Eliminated’ Africans From Its History And Conscience" terbitan IBT.




Hakcipta iluminasi.com (2017)