Kredit foto: Instagram Stacy Anam & Instagram Zimi Sofazr
Vokalis Akim & The Majistret (ATM), Akim Ahmad menepis dakwaan yang mengaitkan isterinya, Stacy Anam sebagai punca pengunduran Zimi daripada kumpulan tersebut pada bulan lalu.
Menurut Akim, tiada campur tangan oleh penyanyi lagu Khayal itu, memandangkan perjalanan ATM dan setiap keputusan hanya melibatkan proses perbincangan sesama ahli.
"Tiada campur tangan Stacy pun dalam isu ini, dia sendiri pun tak ambil kisah pasal ATM.
"Kebanyakan keputusan ATM diputuskan bersama melalui perbincangan dengan ahli. Itu adalah perjalanan ATM bukannya Stacy," jelasnya memetik laporan Astro Gempak.
Akim berkata, kemelut yang berlaku juga tidak mempunyai kaitan sama sekali dengan penubuhan syarikat persendiriannya bersama Stacy iaitu Rhythym & Rhyme Entertainment.
Kredit foto: Instagram Stacy Anam
"Sejak dari Lagu Untuk Laila lagi kami terbuka untuk berkolaborasi dengan label lain seperti Universal Music dan Nova Music.
"Jadi, tiada isu penubuhan syarikat saya bersama Stacy pun sebab itu adalah masalah individual," ujarnya.
Akim yang menghormati keputusan diambil Zimi, bagaimanapun masih kekal dengan pendiriannya untuk tidak mengulas secara terperinci tentang punca sebenar pengunduran pemain gitar yang mengejutkan ramai itu.
"Saya tak jangka akan jadi begini sebab kalau boleh saya nak kekalkan semua ahli ATM tapi apakan daya kita manusia biasa.
"Mesti ada perselisihan faham dan ini jalan kebahagiaan terbaik untuk kami kedua-dua belah pihak. Ini perpisahan secara rela," katanya.
Selain Akim, ATM kini hanya tinggal berlima iaitu Freddy, Faiz Azizi, Arlis Faoq dan Safwan Hassan.
Sumber berita: "Zimi Keluar ATM Bukan Sebab Campur Tangan Stacy" - Akim Ahmad