Kredit foto: Instagram Akim Ahmad
"Satu hari nanti akan tiba, tak sabar rasa menunggu masanya."
Penyanyi Akim Ahmad meluahkan rasa rentetan pemergian ibu tercinta, Aminah Bahari, 52, pada Sabtu, di laman sosial peribadi.
Menerusi entri baru di Instagram, penyanyi Potret itu turut berkongsi foto bersama arwah ibunya sewaktu menunaikan umrah beberapa tahun lalu.
Kredit foto: Instagram Akim Ahmad
"Di suatu hari kita pasti akan bertentangan, di suatu hari kita pasti akan berpimpin tangan, di suatu hari kita pasti akan berpelukan, di suatu hari kita pasti akan bercumbuan, di suatu kita akan tersenyum dan bergelak tawa bersama.
"Abang yakin satu hari nanti kita akan bersama. Satu hari nanti akan tiba, tak sabar rasa menunggu masanya," tulisnya.
Terdahulu iaitu pada Jumaat lalu, beliau yang juga vokalis Akim & The Majistret menyeru para peminat untuk mendoakan kesihatan Allahyarhamah.
"Salam Jumaat, mohon Jumaat penghulu segala hari, dapatlah doakan kesihatan ibu saya Puan Aminah binti Bahari," pintanya.
Dalam masa sama, dia turut mendoakan kesejahteraan para pengikut, selain merakamkan penghargaan buat mereka.
"Terima kasih untuk doa anda semua. Dipanjatkanlah, doa saya untuk kesihatan kalian juga," katanya.
Ibu Akim menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu di Hospital Kajang selepas mengalami masalah komplikasi buah pinggang.
Perkhabaran itu dihujani ucapan takziah bukan sahaja daripada netizen, malah rakan artis antaranya Datuk Aznil Nawawi, Hazama, Radin Era, Aweera, Aiman Tino, Marsha Milan dan Along Cham.