Kredit foto: Instagram @yatthamzah_suci

Menerusi perkongsian di Instagram, aktres Yatt Hamzah, 38, baru-baru ini berkongsi berita gembira apabila telah selamat dikurniakan seorang bayi perempuan.

"Subhanallah Alhamdulillah Allahuakbar. Saya Yatt Hamzah, Bonda YH telah selamat melahirkan seorang puteri Mujahidah secara normal di Hospital Naluri kira2 jam 12.10 tengahari pada Ahad, 1 April 2018 bersamaan 14 Rejab 1439H," tulisnya.

Bayi seberat 3.33 kilogram itu berada dalam keadaan baik dan sihat. Yatt juga sempat melahirkan kegembiraan dan kesyukuran atas kelahiran anak ketiganya itu. 

"Kami juga mengucapkan jutaan terima kasih atas doa dan sokongan semua, terutamanya keluarga, rakan-rakan dan semua pihak yang mendoakan termasuk pengikut di media sosial," tulisnya lagi.

Beliau juga berharap orang ramai mendoakan supaya anaknya itu bakal menjadi seorang mujahidah (pejuang Islam) yang solehah, hafizah Al-Quran, hamba yang faqih (orang yang faham terhadap aturan atau syariat Islam) serta muttaqin (orang yang bertakwa).

Bayi yang masih tidak didedahkan namanya itu dilahirkan lewat 13 hari di Hospital Naluri Kuala Lumpur, berdasarkan tanda pagar #overdue13hari .

Aktres jelita itu berkahwin dengan Muhammad Zulfadhli Khairudin pada 27 Februari 2016. Mereka juga mempunyai seorang anak perempuan, Suci Humaira Iqlima.

Terdahulu, Yatt pernah berkahwin dengan Abdul Mutalib Abdul Shukor pada 29 Mac 2009. Mereka dikurniakan juga seorang anak perempuan, Suci Hanania Malika. Namun, mereka disahkan bercerai pada 25 Ogos 2015.

Sumber berita:

1. Instagram Yatt Hamzah

2. Wikipedia Yatt Hamzah




Hakcipta iluminasi.com (2017)