Sejarah telah membuktikan semasa bermulanya usaha membentuk sebuah negara orang Yahudi di Baitul Muqaddis, Palestin - di kalangan masyarakat Yahudi sendiri berlaku percanggahan dalam penerimaan idea tersebut.
Gerakan menubuhkan negara orang Yahudi yang dipopularkan Theodor Herzl, individu yang kita kenali sekarang sebagai Bapa gerakan Zionis; memulakan kempen agar orang Yahudi dari seluruh pelusuk dunia berhijrah secara berperingkat untuk kembali ke tanah terpilih mereka Jerusalem sebagai satu negara.
BESARKAN TEKS A- A+
Walaupun idea itu diterima baik sebahagian besar masyarakat Yahudi yang bertebaran di serata Eropah, realitinya bukan semua Yahudi setuju Israel diwujudkan. Ini kisah kumpulan tersebut.
Permulaan usaha mewujudkan penempatan Yahudi di Palestin
Pada tahun 1896, Herzl bersama kumpulan kecil pengikutnya berangkat ke Constantinople (sekarang Istanbul) untuk berunding dengan Sultan Abdul Hamid II, sultan kerajaan Uthmaniyah ketika itu yang menguasai bumi Palestin bagi membentangkan idea mereka.
Walaupun kehadirannya tidak diterima Sultan Abdul Hamid, Herzl berjaya menemui beberapa orang pemimpin kanan kerajaan Uthmaniyah memberikan Herzl peluang membentangkan idea beliau.
Ekoran perlu menanggung beban hutang negara yang dipinjamkan oleh negara-negara Eropah, Sultan Abdul Hamid II dan kerajaannya ketika itu berdepan masalah kewangan getir.
Hujah ini dijadikan modal utama Herzl bagi mengajukan idea kerjasama komuniti Yahudi dengan Empayar Uthmaniyah; dia berjanji akan menggunakan kedudukannya dalam kalangan masyarakat Yahudi serta hubungan rapat dengan ahli-ahli perniagaan Yahudi, untuk membayar kesemua hutang kerajaan Uthmaniyah yang ada...
...Dengan syarat kerajaan Uthmaniyah bersetuju untuk membenarkan orang Yahudi berhijrah ke Baitul Muqaddis/Jerusalem bagi memulakan penempatan baru mereka di Palestin.
Wakil kerajaan Uthmaniyah tidak dapat memberikan kata putus terhadap idea Herzl ketika itu, ekoran ketiadaan Sultan Abdul Hamid II semasa perbincangan jadi Herzl pulang ke Eropah dengan membawa seribu satu harapan visinya boleh diterima Sultan.
Mendapat mandat memimpin Yahudi 'kembali' ke Palestin
Selepas 5 tahun pertemuan dengan wakil Uthmaniyah, hanya pada tahun 1901 dalam pertemuan rasmi Sultan Abdul Hamid dan Theodore Herzl, baginda menolak cadangan tersebut.
Rundingan dengan kerajaan Uthmaniyah tampak tidak mampu membuahkan hasil, memerlukan Herzl perlu mencari jalan lain bagi membolehkan pintu yang menuju ke Jerusalem terbuka semula kepada dia.
Walaupun berdepan kegagalan, hasil usaha Herzl yang bermula secara kecil-kecilan cuba berunding dengan Empayar Uthmaniyah, berjaya menaikkan reputasi Herzl di kalangan masyarakat Yahudi.
Semakin ramai orang mula tertarik dengan gagasan dibawa beliau untuk menubuhkan sebuah negara khas orang Yahudi di Jerusalem dan gerakan itu mula dikenali sebagai sebagai gerakan 'Zion' atau 'Sion' bermakna 'tanah asal orang Israel' (merujuk Jerusalem). Penyokong gerakan itu pula bergelar Zionis.
Sokongan penyokong Zionis khasnya kepada Herzl nyata semakin kuat, sehinggakan Herzl mendapat mandat rasmi dinamakan sebagai pemimpin Zionis utama diberikan kuasa menentukan perjalanan mereka untuk kembali ke Jerusalem.
Beliau dibantu sokongan tidak berbelah bahagi tokoh-tokoh masyarakat Yahudi Zionis berpengaruh zaman tersebut, yang mula menyatakan persetujuan terhadap usaha beliau.
Di sebalik suasana positif terhadap Herzl, wujud satu kumpulan Yahudi yang menentang hasrat beliau - komuniti Yahudi ortodoks yang berpegang teguh kepada ajaran Yahudi dalam kitab Talmud.
Diistilahkan dalam bahasa Hebrew sebagai Haredi atau Haredim yang membawa makna 'kelompok yang benar-benar takutkan Tuhan', Yahudi Haredi sejak peringkat awal telah mengkritik konsep negara Yahudi yang cuba dibawa tokoh pra-Herzl, sebelum wujud gerakan rasmi Zionis.
Bagi komuniti Haredi, sebuah negara yang berorientasikan ajaran Yahudi sebenarnya bercanggah dengan pegangan agama Yahudi sendiri yang menghalang penganutnya menggunakan elemen kepercayaan agama untuk dijadikan satu simbol semangat kebangsaan berbentuk formal, mirip sebuah negara atau organisasi kerajaan.
Pemimpin agama Yahudi era tersebut seperti Rabbi Raphael Hirsch dari Jerman dan Rabbi Yosef Sonnenfeld dari Brisk (kini Belarus) menyifatkan usaha Herzl membawa masyarakat Yahudi berhijrah ke Jerusalem bagi menubuhkan sebuah negara sendiri, sebagai satu dosa yang sukar untuk diampunkan Tuhan.
Dengan mengadunkan semangat keagamaan yang dicampur adukkan dengan sentimen nasionalisme melalui proses pembentukan negara, kedua-dua tokoh itu percaya masyarakat Yahudi akan mula terkeliru dengan pegangan mereka sehingga tidak lagi mampu membezakan pegangan agama dan aspek sekular dalam kehidupan.
Pada era tersebut, pemimpin agama Yahudi ortodoks secara terang-terangan menggelarkan sesiapa saja yang menyokong gerakan Zionis sebagai pendosa, sesat dan gemar menimbulkan masalah kepada masyarakat antarabangsa lain.
Dalam erti kata lain, mereka setuju pengikut Zionis yang tegar mahu menubuhkan negara sendiri - adalah mereka yang secara terbuka dan tidak segan melawan perintah Tuhan.
Zionis ditolak penjaga awal Jerusalem
Komuniti Yahudi Haredi paling awal menolak hasrat Herzl dan gerakan Zionis, adalah pewaris kepada komuniti orang Yahudi yang telah menetap di pinggir Palestin lebih awal, sekitar permulaan abad ke 19.
Mereka ini hadir dari negara seperti Hungary dan Lithuania, menetap di Palestin bagi menjalankan amanah perintah Tuhan yang terkandung dalam kitab Talmud agar terpelihara dan diikuti masyarakat mereka.
Ajaran Yahudi telah menetapkan bahawa orang Yahudi perlu menerima hakikat nenek moyang mereka telah pun diusir keluar dari bumi Palestin serta perlu redha dengan nasib tersebut. Mana-mana individu yang enggan menerima takdir itu dianggap menolak ketetapan Tuhan.
Bagi memastikan kepercayaan itu dipegang, sekumpulan orang Yahudi hadir lebih awal untuk menetap di kawasan sekitar Baitul Muqaddis, berasimilasi dengan masyarakat setempat bagi melindungi kota suci itu agar tidak ada cubaan orang Yahudi untuk melanggar hukum tersebut.
Mereka menetap di situ generasi ke generasi, menunggu hari yang dijanjikan tiba di mana penyelamat mereka, seorang Raja daripada keturunan David/Nabi Daud as. bergelar 'Mashiach' hadir bagi membenarkan orang Yahudi kembali semula ke tanah asal mereka, secara sah.
Sebarang usaha mengambil alih Palestin tanpa kebenaran Raja orang Yahudi itu, dianggap bertentangan dengan asas kepercayaan Yahudi.
Atas sebab itulah kelompok ini digelarkan sebagai 'pelindung kota Jerusalem', enggan mengiktiraf usaha penubuhan negara Israel yang berlaku secara keji dan paksa.
Dalam zaman moden komuniti ini telah berkembang menjadi organisasi politik yang dinamakan Neturei Karta, membawa matlamat melindungi Palestin daripada campur tangan orang Yahudi Zionis seterusnya menggerakkan usaha untuk menjatuhkan gerakan Zionis yang kini terlebih dahulu telah menguasai tanah nenek moyang mereka.
Tiga ikrar orang Yahudi melawan Zionis
Perintah untuk orang Yahudi melindungi bumi Palestin khasnya Jerusalem/Baitul Muqaddis daripada campur tangan Zionis, terkandung dalam kitab Talmud; dikenali sebagai 'tiga ikrar orang Yahudi kepada dunia.'
Ikrar pertama memerintahkan agar penganut Yahudi atau dalam istilah asalnya Bani Israel untuk sama sekali tidak kembali ke tanah asal, menerima hakikat bahawa dosa lampau yang telah mereka lakukan menghilangkan hak mereka ke atas tanah suci itu.
Ikrar kedua pula mengingatkan agar keturunan Bani Israel untuk jangan sama sekali menimbulkan kekacauan kepada masyarakat dunia.
Ikrar ketiga pula mengandungi gesaan yang ditujukan kepada kita semua (ya! kita!) atau diistilahkan ajaran Yahudi sebagai 'gentiles', agar kita tidak melakukan penindasan terhadap pewaris Bani Israel, sepanjang hidup kita bersama.
Betapa serius mereka cuba mengikut ikrar ini? Sangat serius! Sehingga kini jika anda nampak gambar orang Yahudi membakar bendera Israel misalnya, besar kemungkinan dia adalah individu daripada kelompok Yahudi Haredi atau gerakan Naturei Karta.
Sehingga kini mereka tidak mengiktiraf negara haram Israel, menolak peluang untuk menjadi warganegara Israel walaupun ditawarkan status kewarganegaraan. Bahasa yang mereka gunakan juga berbeza berbanding rakyat Israel, di mana bahasa rasmi komuniti mereka adalah bahasa Yiddish bukan bahasa Hebrew.
Dalam setiap ritual keagamaan, kelompok Yahudi Haredi akan menggunakan bahasa kuno yang dikenali sebagai Lashon Hakodesh, sejenis bahasa lama yang dikenali sebagai bahasa suci masyarakat Yahudi.
Ancaman besar Yahudi Haredi kepada Zionis
Pengaruh Yahudi Haredi kepada masyarakat Yahudi, menjadi satu kebimbangan besar kepada pemimpin gerakan Zionis.
Bagi membendung masalah ini, pasukan paramilitari kelolaan Zionis iaitu skuad Haganah telah melancarkan siri serangan hendap bagi membunuh pemimpin tertinggi komuniti Yahudi Haredi yang diramal mempunyai pengaruh untuk merosakkan rancangan mereka.
Pada awal pagi 30 Jun 1924, sorang pemimpin berpengaruh Yahudi Haredi bernama Jacob Israel de Haan (gambar atas) mati dibunuh selepas ditembak tiga kali ketika selesai beribadat. Pembunuhan itu disifatkan sebagai pembunuhan politik pertama berlaku melibatkan konflik dua kelompok berbeza pandangan itu.
Pembunuhan de Haan yang berlaku tanpa saksi mengakibatkan pihak Zionis mudah meletakkan kesalahan kepada komuniti Muslim yang tinggal di Palestin. Ini kerana pada waktu tersebut, wujud desas-desus bahawa de Haan seorang lelaki homoseksual yang gemar menjalinkan hubungan dengan pemuda Arab secara rahsia.
Beliau didakwa dibunuh oleh orang Arab yang tidak lagi dapat menerima perlakuan sumbang luar tabii itu terus berlaku dalam komuniti mereka, melibatkan anak muda mereka.
Dunia berubah ekoran kesesatan orang Yahudi
Salah faham yang timbul ini memudahkan pihak pro-Zionis menjalankan rancangan untuk mengambil alih Palestin. Sentimen anti Arab dan anti Muslim yang semakin berleluasa di kalangan orang Yahudi Haredi, mewujudkan ketidakstabilan yang dipergunakan sebaik mungkin Zionis.
Hanya pada tahun 1954, 30 tahun selepas kejadian bunuh itu - seorang petugas skuad Haganah berpangkat komander bernama Avraham Tehomi didedahkan sebagai individu yang bertanggungjawab membunuh de Haan, namun dalang operasi itu tidak didedahkan serta terus kekal menjadi misteri.
Pada tahun 1985, pasukan wartawan berjaya menjejaki Tehomi yang (ketika itu) telah menjadi seorang ahli perniagaan berjaya di Hong Kong, bagi mengadakan temubual untuk rancangan televisyen.
Dalam dokumentari yang disiarkan, Tehomi secara terbuka mengakui dia hanya menjalankan arahan yang diterima daripada pimpinan atasan untuk membunuh de Haan ekoran kebimbangan mereka terhadap pengaruh beliau.
Rancangan bunuh itu didedahkan merupakan rancangan seorang ahli politik berpengaruh gerakan Zionis bernama Yitzhak Ben Zvi - kini dalam sejarah negara Israel tercatat sebagai presiden kedua Israel, naik menjawat jawatan itu pada tahun 1952.
Hebat kan percaturan mereka?
Penyesalan sepanjang hidup melihat saudara seagama sesat
Sehingga kini komuniti Yahudi Haredi menyesali apa yang telah dilakukan rejim Zionis, menyifatkan dosa besar yang telah berlaku sebagai sesuatu yang akan kembali dibalas Tuhan satu masa kelak.
Kegagalan Yahudi Haredi melindungi bumi Palestin daripada dimasuki saudara seagama mereka yang sudah kabur mata terlalu tamak mengejar habuan duniawi, merupakan satu kesilapan yang tidak lagi boleh diputar balik dengan mudah.
Lebih malang - ekoran kejahatan Zionis, komuniti masyarakat Yahudi yang anti Zionis turut merasa tempias buruk; dilabelkan jahat, tamak dan durjana sanggup merampas bumi Palestin, mengusir keluar penduduk asalnya tanpa ada rasa bersalah walau sekelumit pun.
Kami berharap artikel ini dapat menjelaskan kepada anda pembaca, bukan semua Yahudi itu sama.
Bagi komuniti Yahudi yang masih teguh berpegang kepada ajaran agama mereka, kesukaran melihat tertubuhnya negara haram Israel tanpa kebenaran messiah mereka merupakan sesuatu yang cukup sukar untuk mereka telan, sepanjang hayat.
Apatah lagi mereka melihat di kalangan komuniti Yahudi sendiri semakin ramai yang berani mempertikaikan kebenaran akan hadir penyelamat, seperti yang telah diceritakan dalam kitab suci mereka; hanya semata-mata untuk menghalalkan rampasan Palestin dan penubuhan negara Israel yang telah berlaku.
Kini anda sudah tahu tentang kewujudan komuniti Yahudi yang sedih melihat Palestin terus diperkosa dek kerakusan Zionis, yang enggan menuruti tiga ikrar utama orang Yahudi bahawa Jerusalem bukan lagi tanah milik kaum mereka.