Kredit foto: Instagram Isma AF7
Penyanyi, Ismaliza Ismail atau Isma mengakui, perkahwinannya dengan vokalis 2 By 2, Zulkifli Majid atau Zul, 44, sedang berdepan kemelut.
Isma, 38, berkata, rumah tangga berusia hampir dua dekad itu bakal menemui penghujung kerana tiada lagi persefahaman antara mereka.
"Sukar untuk saya menjelaskan punca sebenar keretakan rumah tangga kami ketika ini. Namun, apabila sampai masanya, saya akan perjelaskan juga.
"Buat waktu ini, memang ia tidak dapat diselamatkan lagi dan dia sebagai suami pun tiada usaha untuk memperbaiki keadaan," kata Isma yang juga bekas pelajar Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7).
Beliau membuat kenyataan tersebut di majlis sidang media Showcase Setangkai Irama 80-an yang berlangsung di Putrajaya pada Jumaat.
Isma berkata, sebagai perempuan, dia berasa kurang manis untuk memperkatakan tentang isu itu, sebaliknya meminta pertanyaan tersebut diajukan kepada Zul.
"Dia yang sepatutnya menjelaskan keadaan sebenar.
"Saya sudah lama memendam rasa dan bersedih, jadi cukuplah sampai di sini. Selepas ini, saya ingin fokus pada diri sendiri dan anak-anak," katanya.
Isma yang juga penyanyi Bisikan Godaan berkata, dia enggan lagi mengenang episod hitam lalu yang terjadi dalam kehidupannya.
"Anak-anak juga semua sudah besar dan mereka faham situasi kami lalui. Saya manusia biasa, kadang-kadang terlepas juga apa yang terbuku di hati di media sosial.
"Saya reda dengan apa yang berlaku. Walaupun duduk serumah, dia tetap tak berubah dan tiada inisiatif untuk memulihkan perhubungan.
"Saya sudah berusaha mempertahankan rumah tangga ini dan lakukan sebaik mungkin untuk berbaik, namun begini juga kesudahannya," katanya.
Terdahulu, pasangan ini berkongsi kiriman di Instagram yang membayangkan rumah tangga mereka sedang bergolak.
Isma dan Zul berkahwin pada 16 April 1998 dan sehingga kini telah dikurniakan lima orang anak iaitu Muhammad Haiqal Aiman, 19; Muhammad Haiqal Aydiel, 18; Seri Aida Merlissa, 16; Seri Ayreen Merlynda, 15 dan Seri Adryana Mercella, 11.
Sumber berita: BH Online