Kisah haiwan yang terlibat ketika zaman perang satu ketika dahulu - sama ada sebagai haiwan peliharaan ataupun sebahagian daripada pasukan ketenteraan - bukanlah sesuatu yang baru.
Malah, perkara ini pernah kami tulis satu ketika dahulu dalam artikel 4 Binatang Yang Pernah Menjadi Hero Ketika Zaman Peperangan. Namun, terdapat satu lagi haiwan yang kerap diceritakan dalam sejarah kerana dianggap bernasib baik terselamat dalam kejadian kapal karam - bukan sekali, tapi 3 kali!
BESARKAN TEKS A- A+
Ya, maka tidak hairanlah kisah seekor kucing berwarna hitam dan putih yang diberi jolokan "Unsinkable Sam" begitu popular satu ketika dahulu. Persoalannya, siapakah "Unsinkable Sam" ini? Bagaimanakah haiwan comel ini boleh "terlibat" dalam kancah peperangan?
Asal-usul "Unsinkable Sam"
Kapal perang Nazi, Bismarck
Nama sebenar kucing ini tidaklah diketahui. Namun, kucing ini dipercayai "memulakan kerjayanya" dalam kancah peperangan bersama sebuah kapal Nazi. Besar kemungkinan hanya dijadikan haiwan peliharaan oleh anggota tentera Nazi.
Kriegsmarine, atau Tentera Laut Nazi melancarkan kapal perang Bismarck pada tahun 1939, hanya beberapa bulan sebelum mereka menyerang Poland yang menandakan permulaan Perang Dunia Kedua.
Menjelang tahun 1941, kapal itu telah sampai ke bahagian utara Lautan Atlantik dalam usaha untuk mensabotaj utusan tentera laut yang membawa bekalan antara Kanada dan Inggeris.
Di atas kapal Bismarck terdapat kru sekitar 2,200 anggota dan dikatakan bahawa di antara mereka adalah "Unsinkable Sam", seekor kucing berwarna hitam dan putih. Bismarck musnah berikutan pertempuran sengit selama tiga hari melawan Tentera Laut Diraja Britain pada 27 Mei 1941. Ketika tenggelam, hanya 114 penumpang kapal yang terselamat dan salah satunya adalah "Unsinkable Sam".
Namun, kisah kucing cukup bernasib baik ini tidak terhenti setakat itu sahaja.
Diselamatkan oleh askar British
Sebuah kapal perang Inggeris, HMS Cossack yang berada disitu berusaha menyelamatkan mangsa-mangsa Bismarck yang tenggelam di laut terbuka. Anggota kru melihat kucing yang bertuah ini ketika sedang berpaut di papan terapung.
Kucing itu kemudian dibawa naik ke kapal tersebut dan diberi nama Oscar. Namanya juga kadang-kadang dieja "Oskar" kerana kucing ini berasal dari Jerman. Walau bagaimanapun, nama asalnya sebelum itu tidaklah diketahui.
Tetapi beberapa bulan kemudian, HMS Cossack telah mengalami musibah apabila ditenggelamkan oleh serangan peluru torpedo Jerman. Sekali lagi, Oscar berjaya diselamatkan pula oleh kru kapal induk HMS Ark Royal.
Ketika menaiki kapal ini, Oscar dikatakan telah menerima nama panggilannya “Unsinkable Sam” kerana dianggap cukup bertuah kerana masih terselamat setelah kapal kedua yang dinaikinya ini turut karam akibat ledakan peluru torpedo musuh.
Nampaknya, kisah kucing bertuah ini tidak terhenti setakat itu sahaja. Pada 14 November 1941, kira-kira sebulan setelah dia dilaporkan diselamatkan, kapal HMS Ark Royal pula telah diserang dengan torpedo musuh. Kapal itu hancur, tetapi Unsinkable Sam selamat tanpa sebarang kecederaan.
Dia didakwa diselamatkan pula oleh HMS Legion, kapal lain di bawah armada Tentera Laut Diraja Britain. Ini bermakna kucing ini telah terselamat dalam 3 peristiwa kapal karam semasa perang dunia.
Kisah Unsinkable Sam yang dipertikaikan
Setelah diselamatkan buat kali ketiga, apakah nasib kucing hitam putih ini?
Menurut Royal Museums Greenwich Britain, kucing ini telah dipindahkan ke darat di mana dia ditempatkan di pejabat Gabenor Gibraltar. Dia kemudian diambil sebagai haiwan peliharaan oleh seorang pelaut yang tinggal di Belfast, dan di situlah dia meninggal pada tahun 1955.
Walaupun begitu, memandangkan kisah kucing yang sangat bernasib baik ini telah lama berlaku, ianya juga tidak lari daripada sebarang pertikaian. Sebagai contoh, tidak ada catatan rasmi mengenai kucing ini yang dibawa ke Bismarck, sekurang-kurangnya menurut mangsa kapal tersebut yang terselamat.
Salah satu penjelasan mengenai perkara ini adalah bahawa kucing ini mungkin sekadar haiwan peliharaan atas kapal tersebut, bukan maskot haiwan rasmi Bismarck yang memungkinkan kucing tersebut tidak didaftarkan secara rasmi dalam senarai penumpang kapal.
Selain itu, terdapat dua gambar potret berbeza yang disyaki sebagai Oscar, kedua-duanya menunjukkan dia sebagai kucing tuksedo hitam-putih. Salah satunya adalah lukisan pastel yang dibuat oleh artis yang tidak dikenali, di mana dia duduk di atas sekeping kayu terapung.
Gambar potret lain yang didakwa sebagai Unsinkable Sam adalah gambar kucing tuksedo yang memakai kolar yang tertulis dengan jelas, "HMS Amethyst 1949". Kemungkinan besar potret ini adalah kucing kapal perang lain bernama Simon, yang berada di kapal Amethyst.
Kredit: