Perang Dunia Kedua menyaksikan banyaknya angka korban dan kemusnahan harta benda di negara-negara yang terlibat dalam kancah peperangan. Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, maka tugasan utama beralih pula kepada pembangunan semula negara-negara yang musnah teruk termasuklah negara Jerman.

Kemusnahan terhadap harta benda dan bangunan dapat dilihat dengan jelas. Serangan bom daripada tentera Kuasa Bersekutu terhadap Jerman menyaksikan banyak rumah, bangunan awam, sekolah, kilang, gereja dan pelbagai binaan bersejarah lain musnah teruk.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sebelum proses pembinaan semula dapat dilakukan, serpihan batu dan kesan binaan ini perlulah dibuang dan dibersihkan terlebih dahulu. Ternyata ia bukanlah tugasan yang mudah memandangkan ianya terlalu banyak.

Menjadi tanggungjawab kaum wanita

pekerja buruh wanita 261

Disebabkan sebahagian besar golongan lelaki dewasa terkorban, tercedera atau ditangkap semasa zaman peperangan, maka tugasan membersihkan kesan-kesan kemusnahan ini telah diamanahkan kepada golongan wanita. Peranan dan kepentingan mereka dalam pembinaan semula Jerman sangat dipandang tinggi dan mereka ini digelar "Trümmerfrauen".

Bagi membersihkan segala serpihan daripada kemusnahan ini, kerajaan telah melantik beberapa kontraktor atau syarikat persendirian bagi menguruskannya. Syarikat-syarikat yang diberikan tugasan ini pula mengambil keputusan untuk menggunakan pekerja wanita kerana golongan ini lebih ramai dan mudah didapati ketika pasca peperangan pada waktu itu.

Selain mengutip serpihan-serpihan batu, mereka ini juga perlu meruntuhkan kesan-kesan binaan yang dianggap tidak selamat dan tidak sesuai untuk dibangunkan semula. Kesan-kesan binaan ini kemudiannya akan dirobohkan agar bahan-bahannya dapat digunakan semula sebagai bahan utama untuk membina bangunan.

Kumpulan wanita ini akan mengambil batu-bata daripada runtuhan binaan dan membersihkannya. Bahan kayu dan keluli, paip dan barangan lain yang masih dalam keadaan baik juga diambil dan diasingkan untuk digunakan semula. Debris atau bahan-bahan yang tidak digunakan pula akan dilupuskan.

Imej dan gambar-gambar wanita yang menjadi pekerja buruh membersihkan kesan-kesan kehancuran ini menjadi simbol keberaniaan wanita Jerman yang mempunyai semangat patriotisma yang tinggi dan sanggup berkorban untuk membangunkan semula negara.

Bukan semuanya adalah sukarelawan

pembangunan semula jerman

Walau bagaimanapun, kajian terbaru oleh sejarawan Jerman mendapati bahawa tidak semua wanita Trümmerfrauen ini adalah sukarelawan. Ada yang terpaksa bekerja dan melakukannya kerana kemiskinan.

Sementara itu, di universiti di Freiburg, para pelajar diwajibkan untuk menyertai khidmat membersihkan runtuhan bangunaan dan binaan ini sebagai syarat sebelum dibenarkan untuk mendaftar subjek bagi pengajian mereka. Dalam kata mudah, mereka sebenarnya dipaksa.

Menurut sejarawan Jerman, Leonie Treber, golongan Trümmerfrau ini merupakan lagenda dan simbol bagi negara Jerman yang dicipta oleh kerajaan melalui kempen pemasaran yang mana memaparkan para wanita ini sedang tersenyum sambil bekerja. Golongan Trümmerfrau menjadi simbol bagi wanita Jerman yang mahu berdikari dan digambar mampu melakukan segala pekerjaan yang dilakukan orang lelaki.

Perbezaan pendapat antara sejarawan

pasca perang dunia jerman

Walau bagaimanapun, ramai rakyat Jerman di Jerman Barat menganggap tugasan membersihkan kesan runtuhan peperangan ini sebagai satu bentuk denda atau hukuman. Sejarawan Leonie Treber berkata di Jerman Barat, sebahagian besar tugasan ini sebenarnya dilakukan oleh lelaki dan jumlah wanita terlalu sedikit.

Namun, lain pula halnya di Berlin. Jumlah wanita yang terlibat dalam tugasan ini jauh lebih ramai daripada golongan wanita dimana lebih 60,000 orang wanita dikatakan terlibat dalam kerja-kerja pemulihan semula Jerman ini.

Apa juga pendapat sekalipun, di Jerman Barat dan Jerman Timur golongan Trümmerfrauen ini tetap dihargai oleh pihak pemerintah dan dianggap memainkan peranan besar membangunkan semula Jerman.

Malah, terdapat juga binaan arca golongan Trümmerfrauen ini dan sesetengah daripada mereka telah diberikan penganugerahan pingat atas jasa yang dicurahkan pada negara Jerman.

Kredit:

  1. DW
  2. Irish Times
  3. Wikipedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)