Ramai pasti menyedari yang wujudnya banyak teknik-teknik tradisional seperti rawatan asap, masuk ubat dalam hidung, makan ubat, berpantang, lipas tanah dan bermacam lagilah rawatan untuk melegakan resdung. Rawatan tersebut pula ada yang berharga puluhan, ratusan malahan ribuan ringgit.

Adakah rawatan tersebut berkesan? Wallahuallam. Saya sendiri pernah mencuba beberapa jenis rawatan resdung termasuklah bekam resdung dan hasilnya tidak kelihatan. Hidung saya masih mudah tersumbat dan selalunya rasa seperti hanya ada satu sahaja lubang hidung yang lancar udaranya. Anda ada mengalami masalah tersebut selain daripada masalah gatal-gatal hidung dan muka? Cubalah teknik ini yang sebenarnya kita semua sudah pun tahu tetapi kita tidak amalkan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Semasa kita berwuduk, kita sebenarnya disaran untuk membasuh hidung, tetapi tidak ramai yang mengetahui cara sebenar membasuh hidung tersebut. Membasuh hidung atau dalam frasa arab 'istinsyaq' ini dapat membantu melegakan pelbagai penyakit kerana hidung kita, apabila bersih membantu meningkatkan tahap kesihatan kita. Cuma, ramai di antara kita hanya menyapu air ke hidung tanpa melakukan istinsyaq sebenar yang diamalkan oleh Rasulullah saw.

Bagaimana cara istinsyaq yang berkesan?

  1. Cedok sedikit air ke dalam tapak tangan
  2. Tarik nafas panjang dan tahan.
  3. Letakkan air dalam tangan tadi yang bertakung ke hidung, kemudian sedut tanpa melepaskan nafas di kedua-dua lubang hidung.
  4. Air akan masuk sedikit ke dalam rongga hidung.

tips buang resdung efektif dan berkesan

Jika anda seperti saya yang mengalami masalah hidung tersumbat yang agak ketara, agak susah untuk anda menarik air ke dalam rongga hidung kedua-duanya serentak. Jadi apa yang saya praktikkan sedikit berbeza tetapi asasnya sebenarnya sama;

  1. Cedok air ke dalam tapak tangan kanan.
  2. Tarik sedikit nafas dan tekan lubang hidung kiri supaya lebih mudah menyedut air melalui lubang hidung kanan.
  3. Letakkan air dalam tangan kanan tadi ke lubang hidung kanan dan sedut.
  4. Air akan masuk lebih banyak berbanding istinsyaq tadi jadi lakukan dengan perlahan dan jangan gopoh.
  5. Anda mungkin akan terbatuk jika anda menarik dengan terlalu kuat.
  6. Ulangi langkah yang sama cuma tukarkan tangan, tangan kiri mencedok, tangan kanan menutup lubang hidung kanan, bersihkan lubang hidung kiri.
  7. Amalkan ini setiap hari sehinggalah anda rasa masalah hidung tersumbat anda hilang.

petua hilangkan resdung

Adakah teknik ini berkesan dalam melegakan gatal resdung yang kita hadapi? Berdasarkan pengalaman saya, ya.

Malahan, dari segi saintifiknya, terdapat beberapa kaedah lain seperti menggunakan netipot atau botol picit yang akan melalukan air melalui rongga hidung kita. Jadi, asas kaedah perubatan ini sebenarnya sama iaitu menggunakan air untuk membersihkan ruang dalam hidung yang kita tak mampu bersihkan hanya dengan menyapu air. Amalkan teknik istinsyaq ketika wuduk dan boleh cuba teknik yang saya amalkan jika anda mengalami masalah seperti saya.

Selamat mencuba rawatan resdung percuma ini.

Amalkan selama lebih seminggu, lama-lama anda akan rasa perbezaannya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)