Artikel ini ditulis oleh Dr. Rafidah Abdullah di laman Facebook milik beliau. Beliau merupakan seorang Nephorolist iaitu doktor pakar khusus dalam penjagaan dan merawat penyakit buah pinggang.
Sudah beberapa kali saya ditanya di FB dan Twitter berkenaan artikel Dato Dr Wan Shaariah. Artikel ini sudah lama, tahun 2005. Beliau adalah Pakar Perubatan & Nefrologi yang telah mencurahkan khidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia. Sekarang telah bersara. Beliau antara yang sangat-sangat dihormati di dalam komuniti kecil Pakar-Pakar Buah Pinggang Malaysia.
BESARKAN TEKS A- A+
Macam ini lah, makan ubat apa pun kalau terlebih, organ apa pun pasti akan rosak.
Ubat-ubat jenis Non-Steroidal Anti-Inflammatory (NSAIDs) antara yang biasa kami lihat penyebab penyakit buah pinggang. Sebagai contohnya: Voltaren, Ponstan, Celecoxib (Celebrex), Indomethacin (Indocid), Naproxen.
Paracetamol boleh digunakan untuk pesakit buah pinggang. Ianya melalui pengumuhan di organ hati. Tapi kalau telan 50 Panadol sekaligus, apa organ pun boleh rosak.
Saya mohon:
1. Kalau selalu sakit, cari PUNCA penyakit itu. Rawat PUNCA. Bukan bergantung dengan ubat tahan sakit. Saya bagi contoh: penyakit gout, JANGAN sekali-kali pergi cucuk ubat tahan sakit kalau dapat serangan sahaja. Mesti buat langkah-langkah pencegahan seperti mengawal makanan, senaman, kuruskan badan. Doktor mungkin akan memberikan ubat Allopurinol untuk pencegahan. Ubat ini kena makan hari-hari; bukan bila sakit sahaja.
Entah bila masyarakat kita nak faham konsep PENCEGAHAN. Jangan harap nak baik kalau kehidupan diri sendiri tidak bertukar.
2. Ubat hospital, kalau dipantau dengan baik, risiko untuk buah pinggang rosak adalah sangat rendah. Tapi kalau tinggal ubat, lepas itu "Doctor shopping", asyik pindah-pindah klinik, macam mana Doktor nak tahu ubat apa yang telah diberikan? Ini bukan salah Doktor, ini salah anda sendiri.
Boleh juga baca penerangan kami di dalam buku Perang Melawan Mitos mukasurat 43. Mana ada Doktor yang nak buah pinggang pesakit nya rosak?? Di hospital kerajaan, kami juga ada ramai pegawai farmasi yang memantau ubatan anda. Tapi kalau suruh makan sekali sehari, anda balik rumah dan makan hanya sekali seminggu; lepas itu tidak beritahu kami, yang ini salah sendiri ya. Jangan sekali-kali membazirkan ubat yang kami berikan.
3. Jangan dijadikan alasan untuk pesakit mencari rawatan alternatif untuk apa-apa penyakit pun. Mengarut, sampai dijadikan alasan nak ambil ganja pulak.
Habatussauda, al-manna (Arabic gam), macam-macam daun (ketum, rerama, banyak lagi), belalai gajah BUKAN rawatan penyakit kronik buah pinggang manusia. Mungkin untuk haiwan di dalam kajian-kajian kecil, ada agaknya. Manusia TIDAK SAMA dengan haiwan. Kalau bukan "expert" dalam pembacaan jurnal, mohon JANGAN KOMEN apa-apa tentang kajian-kajian tersebut. Anda boleh menyesatkan masyarakat.
Pelbagai kopi ke, teh ke; apa jenis pun, TAK JALAN. Suplemen Goncang-Lee, C******* dan pelbagai suplemen yang sewaktu dengannya, tidak merawat penyakit kronik. Mohon jangan percaya.
4. Jurujual JANGAN sekali-kali menggunakan alasan ini untuk menjual produk anda. Bayangkan lah, betul ke mendapat keuntungan daripada kesusahan orang lain? Kalau ada yang kata produk anda boleh baikkan penyakit, itu MENIPU namanya. Anda sendiri tahu apa hukumnya. Tak perlu saya cerita. Dah, tak payah datang hospital bawak risalah iklan itu ini, rekomen ubat itu ini. Baik tak payah datang melawat orang sakit. Doakan saja kesihatan mereka; boleh buat dari rumah sendiri.
Simpan lah duit anda, daripada beli suplemen yang mungkin memudharatkan. Elok kita sedekahkan kepada yang memerlukan.
Dr. Rafidah Abdullah (Pakar Perubatan & Buah Pinggang)