Seekor anak gajah telah dibawa ke taman tema Coney Island di New York pada tahun 1902. Di sebalik nama hiburan keluarga yang menyeronokkan, gajah ini menjadi simbol kepada perkara yang menyedihkan dan keji mengenai kekejaman manusia terhadap haiwan. Secara tidak langsung, kisah gajah ini juga melibatkan dua orang legenda dunia iaitu Thomas Edison dan Nikola Tesla.
BESARKAN TEKS A- A+
Gajah betina yang diberi nama Topsy dari Asia Tenggara ini telah dibawa ke Amerika Syarikat secara haram, tidak lama selepas ia dilahirkan. Topsy kemudian telah disatukan dengan kumpulan haiwan lain di Sarkas Forepaugh. Walau bagaimanapun, Topsy mendapat reputasi sebagai seekor gajah yang berbahaya.
Topsy dihukum mati
Taman tema Coney Island
Selepas membunuh seorang penonton sarkas pada tahun 1902, Topsy telah dijual kepada taman tema Coney Island. Di tempat barunya, Topsy terlibat pula dengan beberapa insiden lagi dan dianggap tidak mampu dikawal. Setakat ini Topsy dikatakan telah mengakibatkan kematian tiga orang penonton.
Namun, ramai yang percaya bahawa kelakuan ganas Topsy itu adalah disebabkan layanan buruk yang diterima daripada penjaganya. Penjaga Topsy dilaporkan menggunakan pitchfork atau serampang peladang untuk memaksa gajah itu mendengar arahan.
Pemilik taman tema Coney Island iaitu Thompson & Dundy, telah muncul dengan satu rancangan gila. Mereka memutuskan untuk menghukum Topsy dengan cara hukuman gantung, sambil mengenakan bayaran bagi sesiapa yang ingin menyaksikannya.
Namun niat mereka telah dihalang oleh The Society for the Prevention of Cruelty to Animals (SPCA), yang mendakwa kaedah pelaksanaan hukuman mati itu adalah tidak berperikemanusiaan.
Pemilik taman tema Coney Island itu kemudian beralih kepada cara lain untuk membunuh Topsy dengan menggunakan kejutan elektrik, racun, dan kaedah mencekik. Pada 4 Januari 1903, Topsy telah diberi lobak yang disaluti potassium cyanide, diikat tali pada lehernya dan kakinya pula dipasang dengan alat kejutan elektrik.
Disebabkan ini adalah kali pertama kejutan elektrik digunakan pada gajah, ia telah menarik ramai orang untuk menyaksikan hukuman tersebut. Suis kemudian dihidupkan dan 6,000 volt elektrik disalurkan kepada tubuh Topsy yang besar itu. Ia hanya mengambil masa sepuluh saat sahaja untuk membuatkan Topsy jatuh dan mati.
Persaingan dua legenda
Thomas Edison
Sesetengah pihak percaya, hukuman mati Topsy menggunakan kejutan elektrik mungkin diilhamkan oleh persaingan sengit antara Thomas Edison dan Nikola Tesla. Pada penghujung tahun 1880-an, penggunaan elektrik masih berada pada peringkat awal dengan lampu gas sebagai sumber utama cahaya.
Persaingan antara kedua-dua pereka legenda itu dikenali sebagai The War of Currents. Ia bertujuan bagi menentukan cara siapakah yang akan digunakan orang ramai dan bagaimana perniagaan mereka akan berkembang di masa hadapan. Thomas Edison dengan ciptaan elektrik direct current (DC) manakala Nikola Tesla dan George Westinghouse pula dengan rekaan alternating current (AC) mereka.
Nikola Tesla
Kedua-dua pihak menganggap kaedah mereka adalah lebih cekap dan lebih penting lagi, lebih selamat. Beberapa tahun setelah tercetusnya The War of Currents, AC rekaan Nikola Tesla dilihat memenangi persaingan ini.
Melihat generator AC tersebar dengan cepat di seluruh negara berbanding rekaan DC miliknya, Thomas Edison tahu dia terpaksa mengambil langkah terdesak. Thomas Edison kemudian memulakan kempen propagandanya untuk menjatuhkan Nikola Tesla.
Edison mula mempersoalkan tahap keselamatan sistem yang dicipta oleh Tesla. Pernah sekali Thomas Edison mengeluarkan amaran bahawa pelanggan yang menggunakan sistem Tesla akan terbunuh dalam masa enam bulan atau kurang kerana risikonya.
Demonstrasi kejam Thomas Edison
Untuk membuktikan dakwaannya, Edison mula menjalankan satu siri demonstrasi yang dirancang untuk menunjukkan betapa bahayanya rekaan AC Tesla. Edison telah menguji sistem AC ke atas beberapa haiwan seperti anjing, lembu dan kuda di makmalnya di West Orange, New Jersey.
Dalam satu demonstrasi yang menyayat hati dan diperhatikan oleh para wartawan, Edison menuangkan air ke dalam satu mangkuk timah yang disambungkan ke sumber kuasa AC. Dia kemudian memanggil seekor anjing untuk minum air yang disediakannya. Haiwan malang itu mati sebaik sahaja mulutnya bersentuhan dengan mangkuk timah itu.
Tidak hanya setakat itu sahaja. Thomas Edison dikatakan ingin melakukan demonstrasinya pada sasaran yang lebih mengagumkan. Peluang keemasan Edison tersedia apabila Topsy, gajah sarkas "pembunuh" itu akan dihukum mati.
Edison berharap hukuman mati Topsy ini akan menghalang kemajuan ciptaan Nikola Tesla. Edison berkata, sekiranya AC mampu membunuh seekor gajah, bayangkan apa yang boleh berlaku kepada manusia?
Ketika hukuman Topsy berlangsung, syarikat filem Edison Manufacturing ada di situ untuk merakamkan acara itu. Mereka menghasilkan dokumentari pendek, hitam putih dan tidak bersuara bertajuk "Kejutan Elektrik Gajah". Rakaman itu kini boleh ditonton di YouTube bagi mereka yang kuat semangat.
Adakah Thomas Edison terlibat?
Walau bagaimanapun, penglibatan secara langsung Thomas Edison dalam hukuman bunuh itu dipersoalkan. Ini kerana hanya syarikat filemnya sahaja yang kelihatan berada pada acara itu, mungkin sekadar merakam perkara yang berkaitan dengan elektrik.
Ahli sejarah pula berpendapat, The War of Currents antara Edison dan Tesla telah berakhir sekitar tahun 1892, 11 tahun sebelum Topsy dihukum bunuh. Ada juga teori mengatakan bahawa Topsy bukannya mati disebabkan oleh arus elektrik tetapi racun dan kecederaan yang dialaminya akibat diseksa penjaganya. Kejutan elektrik itu hanya mempermudahkan sahaja.
Rujukan:
3. Ranker