Populariti rancangan realiti TV nampaknya masih mampu bertahan, dengan pelbagai judul baru diterbitkan bagi menggantikan rancangan-rancangan yang sudah tidak lagi diudarakan.
Kita di Malaysia juga pernah mengalami fenomena serupa menerusi populariti rancangan seperti Akademi Fantasia, namun sambutannya agak menurun sekarang sebelum ledakan rancangan realiti TV yang mahu melahirkan pendakwah mula mendapat sambutan.
BESARKAN TEKS A- A+
Di kebanyakan negara, siri realiti TV bercorak keagamaan merupakan satu perkara yang dianggap biasa diwujudkan. Ada banyak rancanganmenampilkan pendakwah agama Kristian, Yahudi dan Islam cuba diketengahkan bagi menarik minat penonton mendekati agama.
Namun hanya satu rancangan di Turki yang berani mencuba sesuatu yang agak luar biasa pertandingannya.
Pertandingan berdakwah antara agama
Jika majoriti rancangan realiti TV memaparkan pendakwah cuba menarik masyarakat kepada agama anutan mereka, sebuah rancangan Turki bernama 'Tövbekarlar Yarışıyor' atau terjemahannya 'Penitents Complete' memaparkan persaingan antara pendakwah berlainan agama.
Diterbitkan oleh saluran televisyen di Turki Kanal T Televizyonu dengan tarikh tayangan sekitar dijangkakan dalam tahun 2009, format rancangan ini mudah untuk difahami.
Empat orang pendakwah melibatkan seorang paderi ortodoks Kristian, seorang rabbi Yahudi, seorang sami Buddha dan seorang Imam Muslim akan berentap menambat hati 10 orang individu atheist melalui dakwah yang berkesan - dengan harapan di akhir cabaran, mereka akan menemui agama.
Cabarannya jelas - setiap seorang pendakwah perlulah sekurang-kurangnya berjaya untuk membuka hati seorang individu atheist bagi 'memenangi' cabaran tersebut.
Sekiranya gagal tanpa berjaya membawa seorang pun individu atheist itu kembali kepada agama...sudah pastilah pendakwah itu secara peribadinya akan berdepan rasa malu yang sukar dijangkakan.
Hadiah lumayan bagi yang terbuka menerima agama baru
Pasti anda tertanya-tanya selain agama baru - apa lagi ganjaran yang menanti pemenang?
Kenal T menamakan hadiah utama untuk setiap individu yang terbuka menerima mana-mana agama; tiket bagi melawat lokasi-lokasi utama agama yang mereka anuti. Ini bermakna sekiranya peserta itu memilih Islam, dia akan dibawa menyertai program ziarah di Mekah, Arab Saudi.
Untuk penganut baru Kristian - dia akan diterbangkan khas ke Vatican City. Seandainya dia memilih agama Buddha, peserta itu akan ditaja untuk melawat Tibet sementara bagi yang memilih agama Yahudi, dia akan ke Jerusalem, Palestin bagi menyaksikan sendiri pusat agama baru beliau.
Selepas pengumuman berkenaan rancangan tersebut beserta tawaran hadiahnya dilakukan , lebih 200 orang yang mengaku mereka tidak percaya akan kewujudan Tuhan menghadiri uji bakat bagi mencuba nasib mereka.
Saringan terhadap semua peserta dilakukan sebaik mungkin bagi mengelakkan kehadiran peserta yang hanya berpura-pura hadir kononnya mahu menerima agama, sebaliknya lebih berminat untuk pergi melancong.
10 Atheist berebut memilih agama baru
Ekoran isu tersebut, sebuah jawatankuasa pemilihan yang dianggotai oleh 8 orang pakar ilmu7 teologi ditugaskan untuk menyaring semua bakal peserta, dengan tarikh tutup penyertaan ditetapkan pada 5 Julai 2009.
Kesemuanya dinilai berdasarkan kepada ketelusan mereka serta kebenaran tentang kepercayaan mereka selama ini, bagi memastikan kesemuanya datang daripada golongan atheist tulen.
10 yang terpilih pula akan senantiasa diawasi dan dipantau perubahan pegangan mereka oleh jawatankuasa sama sepanjang pertandingan berlangsung, bagi memastikan kesedaran yang mereka peroleh datang secara ikhlas dan bukanlah hanya sekadar lakonan semata-mata.
Kekangan terhadap perjalanan rancangan ini mula hadir selepas kerajaan Turki menerusi Ketua Hal Ehwal Agama Islam negara tersebut, mengumumkan bahawa semua Imam yang dilantik tidak dibenarkan sama sekali menyertai pertandingan tersebut.
Pendapat ini ditentang oleh penerbit yang menyifatkan tindakan kerajaan Turki mengeluarkan larangan tersebut, merupakan satu kesalahan yang menghalang usaha murni mereka menyatupadukan masyarakat berbilang agama.
Titik Noktah 'Tövbekarlar Yarışıyor'
Ekoran formatnya yang sejak mula lagi penuh kontroversi, tidak mengejutkan bahawa usaha untuk menerbitkan rancangan tersebut yang ketika itu sudah mula rancak berdepan lebih banyak kritikan.
Bukan setakat masyarakat Muslim Turki menyuarakan ketidakpuashatian mereka atas usaha penerbit, yang disifatkan mahu menerbitkan sesuatu yang tidak sesuai dengan tradisi masyarakat mereka.
Malahan beberapa orang pemimpin tertinggi agama Yahudi sendiri mengeluarkan kenyataan mengutuk rancangan tersebut.
Menurut pandangan mereka apa yang cuba dibawakan oleh 'Tövbekarlar Yarışıyor' melalui konsep dakwahnya bertentangan dengan ajaran Yahudi yang tidak membenarkan penawaran ganjaran, desakan halus atau paksaan kepada orang bukan Yahudi untuk menerima agama mereka.
Selain itu mereka juga mengkritik format rancangan realiti TV yang cuba digunakan, dilihat sebagai satu usaha yang hanya mempermainkan nilai agama sehingga meletakkan agama ebagai satu bentuk hiburan yang ada daya penarik.
Bagi sesetengah pihak lain yang mempunyai kritikan berbeza, mereka mengkritik format rancangan itu sebagai salah satu usaha sulit kerajaan Turki mahu memburukkan persepsi orang ramai terhadap golongan atheist; cuba digambarkan sebagai individu hilang arah sehingga memerlukan bantuan untuk kembali ke jalan yang lurus.
Kerajaan Turki menafikan dakwaan tersebut, menyifatkan penerbit rancangan itu dan Kanal T cuba menuding jari ke arah pihak lain selepas usaha mereka mula berdepan jalan buntu.
Produksi 'Tövbekarlar Yarışıyor' terhenti selepas cemuhan demi cemuhan lantang disuarakan walaupun 10 orang peserta sudah terpilih.
Walaupun sudah lebih 10 tahun kontroversi itu melanda Turki, sehingga kini rancangan itu disebut-sebut sebagai usaha yang berjaya memulakan perubahan pemikiran orang Turki untuk menerima perbezaan agama oleh penyokongnya.
Bagi pengkritiknya pula, mereka melihat titik noktah rancangan itu sebagai satu kejayaan, kerana rancangan itu haruslah dilihat sebagai satu usaha untuk menjenamakan semula agama sebagai satu bentuk hiburan, yang sepatutnya sejak awal tidak dimulakan langsung.
Teruk-teruk rancangan realiti pendakwah di Malaysia sekalipun dari segi kontroversinya, kini anda tahu di Turki idea yang lebih teruk pernah cuba dilaksanakan penerbitannya.
Rujukan