Antara isu utama kebuluran adalah kekurangan sumber makanan, terutamanya daging. Proses mendapatkan daging biasanya mengambil masa bertahun-tahun kerana memerlukan masa bagi binatang ternakan itu cukup umurnya sebelum boleh dikorbankan.

Namun, bagaimana jika daging itu mampu dihasilkan daripada udara? Adakah idea ini kedengaran seperti satu perkara karut yang mungkin hanya boleh dilihat dalam filem sci-fi bukan?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun bagi sebuah syarikat yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat ianya bukanlah idea karut malah mereka mendakwa sudah berjaya membangunkan teknologi untuk mencipta daging dari udara. 

Pencarian alternatif daging

Syarikat dikenali sebagai Air Protein ini mendakwa menggunakan teknologi yang telah dibangunkan oleh NASA untuk eksplorasi angkasa lepas bagi menghasilkan daging daripada udara ini. Bagaimanakah ianya dapat dilakukan?

Air Protein merupakan sebuah startup yang diasaskan bersama oleh Dr. Lisa Dyson, seorang ahli fizik penyelidikan dan perunding strategi yang memenangi banyak anugerah dengan matlamat untuk menghasilkan alternatif daging.

Alternatif daging berasaskan tumbuhan seperti Impossible Foods atau Beyond Meat sangat digemari sejak kebelakangan ini di Barat malah disebut-sebut mempunyai potensi besar masa depan industri daging yang mampan, tetapi Air Protein membawa perkara ini ke tahap baharu dengan sumber protein dari udaranya.

Mereka pada asasnya bergantung pada sekumpulan mikrob yang mampu menukar gas CO2 kepada asid amino dengan produk akhir ialah tepung berasaskan protein yang boleh digunakan untuk membuat sekumpulan produk makanan.

Memanfaatkan teknologi NASA

daging dari udara

Air Protein ialah satu-satunya startup yang terlibat dalam membuat protein daripada udara tetapi teknologi mereka telah diilhamkan oleh penyelidikan yang dijalankan NASA pada tahun 1960-an.

Mereka cuba mencari cara agar angkasawan dapatmenghasilkan makanan mereka sendiri dalam pelayaran di angkasa lepas dan menemui mikrob ini yang dipanggil hidrogentrof yang dalam keadaan yang tertentu, diberi makan CO2 dan menghasilkan asid amino.

Proses di sebalik tabir penghasilan daging jelas jauh lebih rumit daripada apa yang telah didedahkan Air Protein  tetapi syarikat ini mendakwa bahawa ia juga merupakan cara yang paling mampan untuk menghasilkan protein sekarang.

Proses penghasilan probiotik ini menggabungkan unsur udara (seperti karbon dioksida, oksigen dan nitrogen) dengan air dan nutrien mineral untuk menghasilkan protein yang kaya dengan nutrien. Prosesnya serupa dengan proses pembuatan bir atau yogurt tetapi tidak sama seperti proses penapaian.

Kelebihan dan cabaran

Syarikat itu melihat protein berasaskan udaranya sebagai cara yang lebih mampan untuk memberi makan kepada populasi yang semakin meningkat di planet ini. Syarikat ini menyatakan kaedahnya tidak memerlukan sumber tanah dan tidak tertakluk kepada perubahan cuaca cuaca.

Selain itu, Air Protein turut mendakwa teknologinya boleh menghasilkan protein dalam masa beberapa hari, lebih cepat daripada masa yang diperlukan untuk menternak atau menanam tanaman.

Walau bagaimanapun, syarikat ini tidak membincangkan kos proses pengeluarannya jadi tidak jelas sama ada ia benar-benar kos efektif. Syarikat itu juga tidak menyebut dalam kenyataannya berapa banyak air digunakan dalam proses pengeluaran. Tanpa kedua informasi ini, maka kita tidak boleh membuat kesimpulan idea ini boleh direalisasikan untuk pasaran komersial atau tidak.

Tetapi adakah dunia bersedia untuk protein yang dihasilkan oleh mikrob yang "memakan" gas C02? Industri penghasilan daging alternatif sedang menarik pelaburan yang besr dan permintaan daripada pengguna yang mementingkan alam sekitar sememangnya ada jadi hanya masa yang akan menentukan jika produk seperti ini akan mendapat permintaan kelak.

Kredit:

  1. Live Science
  2. Fast Company
  3. CNet
  4. Medium



Hakcipta iluminasi.com (2017)