Oleh pada 03 Feb 2018 kategori

Sumber foto: watan-online.com

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar murka dengan perbuatan kumpulan mat rempit yang masih menggunakan Jalan Pantai Lido di depan Hospital Sultanah Aminah (HSA) sebagai gelanggang lumba haram.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda mendapat pelbagai aduan terutamanya daripada para penghuni HSA yang tidak boleh melelapkan mata kerana bunyi bising enjin motosikal akibat kegiatan lumba haram yang sering diadakan lebih-lebih lagi pada lewat malam.

Oleh yang demikian, baginda ingin pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang terlibat menerusi kegiatan tidak bermoral tersebut.

"Berhenti daripada terbabit dalam aktiviti tidak berfaedah ini. Fikirkan mengenai ketenteraman awam dan pesakit di hospital yang memerlukan rehat secukupnya," titah baginda yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi Sultan Ibrahim hari ini.

Baginda bertitah, Almarhum anakanda, Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim pernah menyebut bahawa dia susah beradu pada waktu malam sewaktu dirawat di Wad Diraja HSA kerana bunyi kuat motosikal.

Sultan Johor turut menjelaskan bahawa situasi serupa dilalui oleh menantu baginda, Che' Puan Khaleeda Bustamam semasa proses kelahiran kedua-dua anakandanya.

"Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail dan isteri tidak dapat beradu pada waktu malam disebabkan gangguan bunyi motosikal yang berlumba dari jam 12 tengah malam sehingga 3 pagi.

"Saya juga mengalami pengalaman yang sama ketika menerima rawatan di Wad Diraja HSA," titah baginda.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)