kredit gambar thestar

Pelancongan merupakan salah satu sumber ekonomi negara-negara dunia yang amat penting, apatah lagi di negara kita di mana aktiviti pelancongan merupakan antara penyumbang kepada kekukuhan kewangan ekonomi negara.

Negara kita menjadi antara destinasi pelancongan paling popular di dunia, berada pada kedudukan ke 12 di antara kesemua negara. Itu pada penulis merupakan satu pencapaian yang membanggakan. Walau bagaimanapun, kita tetap tewas pada dua buah negara Asia lain yang agak jauh meninggalkan kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bolehkah anda namakan dua buah negara tersebut?

Destinasi pelancongan paling popular di Asia

potala china

Secara amnya, di antara kesemua negara Asia, Malaysia berada pada kedudukan ketiga dan ke 12 dalam perbandingan kesemua negara di dunia.

China jauh mendahului kita dengan kemasukan pelancong seramai lebih 59.27 juta orang pada tahun 2017, dengan Thailand mengekori di belakang dengan penerimaan seramai 32.58 juta orang pelancong.

Negara kita berada di kedudukan ketiga, menerima 26.75 juta orang pelancong dengan Jepun tidak jauh jaraknya, dengan 24.03 juta pelancong memilih Jepun sebagai destinasi pelancongan mereka tahun itu. Senarai kedudukan lima teratas ini disudahi dengan India yang menerima 14.56 juta pelancong pada tahun 2017.

Destinasi pelancongan paling popular dunia

eiffel tower paris

Bagi tahun 2016, lima destinasi pelancongan paling popular di dunia adalah negara Perancis, Amerika Syarikat, Sepanyol, China dan Itali mengikut kedudukan tersebut.

Untuk tahun 2017 pula, negara yang menduduki lima teratas paling popular sebagai destinasi kekal sama namun hanya kedudukannya berubah. Perancis kekal sebagai negara paling popular dengan kedatangan 86.9 juta orang pelancong. Ramai yang nak ke Paris agaknya.

Sepanyol naik satu anak tangga, menduduki tempat kedua dengan 81.8 juta pelancong, Amerika Syarikat ketiga dengan 76.9 juta pelancong diikuti China dan akhirnya Itali dengan 58.3 juta orang keseluruhannya.

5 lagi negara yang melengkapkan 10 negara paling popular di dunia adalah Mexico, United Kingdom, Turki, Jerman dan Thailand.

Negara mana rakyatnya paling banyak berbelanja semasa melancong?

pelancong berebut

Menjadi gergasi ekonomi yang sangat digeruni masyarakat barat ketika ini, orang China menjadi pelancong paling banyak berbelanja pada tahun 2017 dengan jumlah keseluruhan perbelanjaan mereka semuanya berjumlah RM1.077 trillion. Menakutkan bukan?

Di tempat kedua, pelancong Amerika Syarikat berbelanja sebanyak RM565.8 biilion semasa melancong pada tahun 2017. Jerman di tempat ketiga dengan RM373.01 billion, pelancong United Kingdom di tangga ke empat dengan RM299.24 billion. Walaupun menjadi destinasi pelancongan paling popular, pelancong Perancis hanya berada di tempat kelima dalam jumlah perbelanjaan dengan nilai RM173.51 billion.

Dapat dilihat di sini kenapa banyak negara cuba sedaya mungkin menarik masuk kedatangan pelancong China ke negara mereka. Selain daripada menjadi salah satu destinasi pelancongan paling popular, mereka juga tidak kedekut berbelanja di mana saja mereka lawati.

Walau bagaimanapun, kedatangan pelancong China juga membawa bermacam stigma serta kisah buruk berkenaan kelakuan mereka yang seakan tidak mempedulikan orang lain, serta tidak faham budaya orang luar.

Apa yang kita boleh harapkan adalah agar kerajaan China dapat mendidik masyarakat mereka supaya lebih memahami tuntutan sosial di mana saja mereka berada, agar kedatangan mereka lebih diterima di mana saja - khasnya di negara kita.

Rujukan

United Nations World Tourism Organization (PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)