Sistem barter merupakan sistem urusniaga yang diamalkan masyarakat dunia lama dahulu, sebelum digantikan dengan sistem wang.
Dalam setiap urusan barter, nilai pertukaran kebiasaannya tidak ditetapkan sebaliknya lebih bergantung kepada persetujuan kedua-dua pihak, sama ada mahu atau tidak menerima tawaran tersebut. Kami pernah menulis tentang urusan barter antara kerajaan Soviet dan syarikat minuman Pepsi yang berjaya dicapai.
BESARKAN TEKS A- A+
Bagaimana pula dengan negara kita? Adakah ada urusniaga melibatkan kerajaan kita yang dilakukan dengan sistem tradisional yang dikenali sebagai barter ini? Ada.
Peranan POCPA
Salah satu agensi paling besar yang menguruskan sistem pertukaran barter di negara kita, adalah POCPA atau 'Palm Oil Credit and Payment Arrangement.'
POCPA ditubuhkan pada tahun 1992 dengan sokongan Bank Negara Malaysia, bagi mengurus dan menjalankan transaksi pertukaran barter menggunakan produk sawit yang banyak di Malaysia untuk ditukarkan dengan produk atau barangan yang diinginkan.
Mana-mana negara yang menyertai program ini diwajibkan untuk membeli sekurang-kurangnya 300,000 tan minyak sawit kita dalam setahun.
POCPA memainkan peranan melalui dua cara, sama ada untuk membantu Malaysia membeli kelengkapan-kelengkapan yang berharga tinggi seperti jentera ketenteraan dan peralatan keretapi yang akan ditukar dengan produk sawit.
Atau negara kita juga boleh menawarkan negara-negara kurang berkemampuan dari segi kewangan, tetapi mempunyai komoditi seperti arang, simen dan bijih besi program pertukaran antara kedua-dua negara.
Antara negara yang masih atau pernah terlibat adalah Pakistan, Sudan, Algeria, Iran, Iraq, Myanmar, Bosnia-Herzegovina dan jangan terkejut pula, Korea Utara. Korea Utara merupakan antara pengeksport baja yang produknya di bawa masuk ke negara kita, dengan produk sawit Malaysia pula dieksport ke sana.
Membeli jet pejuang dengan bayaran minyak sawit
Salah satu kontroversi yang timbul berkaitan dengan urusniaga barter di antara negara kita dan kerajaan luar, adalah usaha kerajaan kita yang dilaporkan pada bulan Mei tahun 2019 - untuk membeli beberapa buah jet pejuang, dengan menggunakan minyak sawit.
Beberapa siri perbincangan dengan negara pembekal bagi menggantikan barisan jet pejuang MiG29 keluaran Russia, dibuka menerusi surat tawaran pembekalan melibatkan negara seperti Russia, Pakistan, China, Itali, Sweden dan Korea Selatan.
Bagaimanapun, bukan semua negara terbuka untuk menerima pembayaran dengan minyak sawit, khasnya negara-negara Eropah.
Apa yang menarik, tawaran ini bukanlah kali pertama dibuat oleh negara kita. Pada tahun 1994, kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Pertahanan berjaya menandatangani perjanjian pembelian/pertukaran dengan kerajaan Russia bagi membeli 18 buah jet pejuang MiG-29.
Pembayarannya pula dibuat dengan 80% bayaran berbentuk monetari sementara 20% lagi datang dalam bentuk minyak sawit.
Masa depan sistem barter dalam kerajaan kita
Pada bulan Jun tahun 2019, kerajaan kita mengumumkan persetujuan untuk mengeksport ke negara China 200,000 tan minyak sawit. Sebagai balasan, negara kita akan dibayar dengan perkhidmatan pembinaan, komoditi lain serta peralatan untuk kegunaan awam dan ketenteraan milik China.
Walaupun kerap dikatakan sudah ketinggalan zaman, usaha untuk menghidupkan semula sistem barter dengan lebih luas sudah dimulakan dengan kerjasama empat negara, melibatkan negara kita, Iran, Qatar dan Turki.
Pada penghujung tahun 2019, keempat-empat negara mengumumkan kerjasama bagi memperbanyakkan lagi urusan menggunakan sistem emas dan pertukaran barter, sebagai usaha melindungi sebarang bentuk ancaman kepada masyarakat Islam di masa depan.
Cadangan itu diutarakan selepas dua negara iaitu Iran dan Qatar terjejas teruk, ekoran hubungan diplomatik yang terjejas melibatkan isu-isu antarabangsa.
Urusniaga pertukaran barter terbaru yang cuba dijayakan oleh kerajaan Malaysia, adalah pertukaran minyak sawit Malaysia dengan gula dari India, yang ketika ini masih dalam proses rundingan.
Ini disebabkan oleh tindakan boikot minyak sawit kita oleh negara tersebut disebabkan ketegangan politik.
Selain itu kerajaan Malaysia dan Iran nampaknya sedang mengatur satu bentuk urusan baru, selepas Menteri Luar kedua-dua negara bermesyuarat pada 15 Julai 2020 dan bersetuju untuk mewujudkan satu sistem barter yang lebih tersusun, merangkumi pelbagai bidang industri di antara kedua-duanya.
Walaupun banyak pihak menyifatkan sistem barter ini sudah kuno, jelas sekali peranan sistem barter dalam urusan melibatkan negara-negara sebenarnya masih berjalan dalam skala yang besar, turut sama melibatkan elemen luaran seperti politik, tekanan antarabangsa dan juga keamanan sejagat.
Rujukan