Baru-baru ini, sistem kecerdasan buatan (artificial intelligence, "AI") yang direka oleh syarikat teknologi gergasi iaitu Alibaba dan Microsoft telah mengungguli Set Data Menjawab Soalan Stanford (SQuAD).

Dalam ujian pemahaman bacaan yang dijalankan, kedua-dua model AI itu telah mengatasi markah manusia dengan memberikan jawapan yang paling tepat bagi soalan. Keputusan ini dianggap sebagai satu kejayaan besar dalam bidang kecerdasan buatan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Stanford Question Answering Dataset (SQuAD)

Ujian yang dibangunkan oleh Stanford University itu merupakan satu set data pemahaman bacaan mesin dengan soalan berdasarkan artikel Wikipedia. Set jawapan pula kebanyakannya merupakan segmen teks daripada perenggan yang diberikan.

Manusia mendapat skor 82.304 dalam ujian berkenaan. Sistem AI Alibaba menghabiskan set soalan yang sama dengan 82.44 mata manakala AI Microsoft pula mendapat 82.65.

sistem artifical intelligence kecerdasan buatan microsoft dan alibaba mengungguli markah melebihi manusia 4

Menurut Luo Si, ketua saintis bagi Pemprosesan Bahasa Tabii di Institut Sains dan Teknologi Alibaba, ia merupakan suatu penghormatan bagi mereka untuk menyaksikan kejayaan sebuah mesin mengatasi kebolehan manusia dalam pemahaman bacaan. Ini bermakna, soalan objektif seperti "apa yang menyebabkan hujan" kini mampu dijawab oleh AI dengan ketepatan tinggi.

Pihak Alibaba sangat teruja dengan pencapaian ini dan percaya teknologi itu boleh digunakan secara beransur-ansur dalam pelbagai aplikasi seperti perkhidmatan pelanggan, tutorial muzium dan jawapan dalam talian untuk sebarang pertanyaan berkaitan perubatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manusia.

sistem artifical intelligence kecerdasan buatan microsoft dan alibaba mengungguli markah melebihi manusia 3

Microsoft pula berpendapat, sistem AI seperti ini mampu membantu golongan profesional untuk mengimbas banyak muka surat mengandungi teks yang panjang untuk mendapatkan maklumat. Alat ini boleh membantu doktor, peguam dan pakar bidang lain menyelesaikan kerja sukar dan membosankan seperti membaca dokumen yang panjang semata-mata untuk mencari satu fakta atau penemuan yang spesifik.

Syarikat lain seperti Samsung, Salesforce dan Tencent juga telah menghantar model AI mereka untuk menjalani ujian SQuAD tersebut. Ujian itu dianggap sebagai salah satu ujian pemahaman bacaan yang paling unggul dalam dunia.

Ulasan yang berbagai-bagai

Teknologi kecerdasan buatan ini dilihat sebagai satu teknologi yang penting dan mampu mengubah cara manusia hidup dan bekerja. Antara penyokong terbesar AI adalah tidak lain tidak bukan lagi, Ketua Pegawai Eksekutif Facebook iaitu Mark Zuckerberg. Beliau percaya yang teknologi itu boleh memberi impak ketara dalam industri kesihatan dan automotif dengan kemajuan seperti kenderaan pandu sendiri.

Kesan AI dalam bidang kesihatan juga telah mula dapat dilihat. Misalnya, pada bulan Oktober 2017, penyelidik Jepun mencipta AI yang boleh mengenalpasti dan menganalisis polip untuk kanser yang dijumpai melalui kolonoskopi dalam masa kurang dari satu saat sahaja.

sistem artifical intelligence kecerdasan buatan microsoft dan alibaba mengungguli markah melebihi manusia 5 637

Walau bagaimanapun, ada juga pengkritik tetap yang berasa khuatir dengan teknologi canggih yang mampu menyebabkan kesusahan kepada manusia ini. CEO Tesla dan SpaceX, Elon Musk, memberi amaran yang ia boleh menyebabkan 'risiko fundamental' jika tidak dikawal oleh sebarang peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Saintis Stephen Hawking juga menyarankan semua orang agar berhati-hati. Beliau sedar akan hakikat yang AI mampu mengubah hidup manusia menjadi lebih positif, namun pada masa yang sama, ia juga boleh disalahgunakan. Menurutnya, kejayaan mencipta AI bakal mencipta sejarah paling hebat dalam tamadun ini. Akan tetapi, ia juga mungkin boleh menjadi sejarah terburuk pernah dicipta.

Apa pendapat anda mengenai pencapaian dalam teknologi AI ini?

Sumber:

1. USA Today

2. SQuAD




Hakcipta iluminasi.com (2017)