Oleh pada 02 Jan 2018 kategori

Finland terkenal sebagai negara yang menjadi sebutan sekiranya kita bercakap berkenaan model sistem pendidikan.

Mendahului negara-negara lain termasuklah negara kesatuan Eropah sendiri, sistem pendidikan di Finland dipercayai mampu melahirkan pelajar yang baik berikutan negara tersebut kerap mendahului senarai kedudukan PISA, yang menjalankan kajian prestasi pendidikan di seluruh dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimanapun, untuk setiap perkara yang baik, pasti akan ada sisi negatifnya yang jarang dibincangkan, apatah lagi apabila kita bercerita tentang pendidikan Finland, yang disanjung sebagai 'holy grail' sistem pendidikan dunia.

Adakah kelemahan sistem pendidikan Finland banyak diabaikan dan ditutupi atas kejayaan mereka dalam senarai kedudukan dunia semata? Ya. Perkara itu benar berlaku.

Masalah sindrom pelajar sederhana

kelas finland

Secara amnya, pengkritik sistem pendidikan bersetuju satu perkara; sistem Finland melahirkan pelajar yang sederhana secara keseluruhannya.

Dalam erti kata kata lain, sistem Finland melahirkan pelajar yang majoritinya mempunyai tahap kemampuan yang sama. Tidak ramai pelajar yang betul-betul cemerlang, tidak ramai pelajar yang lemah kerana secara majoritinya mereka sekata.

Sistem di Finland diakui berkemampuan melahirkan pelajar yang mampu mendapatkan kedudukan baik dalam senarai PISA, kerana sistem PISA diukur menggunakan sistem yang tidak menitikberatkan kurikulum atau sukatan matapelajaran.

Kekurangan penekanan terhadap kurikulum menjadikan sistem FInland kurang penekanan pada pelajar ke atas subjek-subjek yang memerlukan kemahiran matematik tinggi, seperti kejuruteraan, sains komputer dan ekonomi.

Dalam jangka masa panjang, kekurangan ini diramal akan memberikan kesan kepada pembangunan negara Finland.

Bagi mereka yang menjadi pendokong tegar sistem pendidikan Finland, ramai tidak terbuka untuk membincangkan isu bagaimana pelajar Finland mengalami penurunan prestasi yang amat ketara dalam ujian TIMSS dalam tempoh sedekad.

Pelajar Finland pada gred ke 8 kini mencatatkan prestasi yang jauh lebih rendah dalam matematik, berbanding pelajar mereka dalam gred ke 7 pada tahun 1999.

professor astala

Menurut satu kenyataan bersama tahun 2005 dibuat oleh 200 orang professor dari Finland, yang diketuai oleh Professor Kari Astala, pakar bidang Matematik dari Universiti of Helsinki (gambar di atas); mereka bersepakat setuju kedudukan baik Finland dalam ranking PISA menyembunyikan satu masalah besar dalam sistem pendidikan Finland.

Pelajar di Finland mempunyai kemahiran tinggi dalam kegunaan matematik harian, digelarkan sebagai 'mathematical literacy.'

Matematik yang diperlukan pada tahap sekolah tinggi dan vokasional pula tidak dijadikan kayu ukur sedangkan realitinya - banyak pelajar Finland menghadapi masalah dari segi kemahiran tahap tersebut.

Kumpulan akademik itu bersetuju pelajar di Finland berhadapan masalah selagi sistem mereka masih menitik beratkan sistem sama rata yang digunakan.

Terdapat bukti jelas berdasarkan data berkenaan kelemahan pelajar dalam kemahiran dalam pengiraan pecahan, pernyataan masalah, pengasingan geometri, mengira ketumpatan sesuatu objek serta menyelesaikan masalah pernyataan algebra.

Dalam laporan mereka, dinyatakan kerajaan Finland melalui kementerian pendidikan telahpun menurunkan graf kadar lulus pelajar bagi kemasukan kursus matrikulasi kepada 6 markah daripada 60 markah lulus asal.

Salah satu penyebab kenapa tindakan itu perlu dilakukan adalah disebabkan oleh sistem pendidikan mereka yang didakwa tidak menitik beratkan perkara asas kepada pelajar, sehingga mengakibatkan terlalu ramai pelajar gagal apabila diukur menggunakan skala sebenar.

Pelajar yang masuk ke sekolah rendah tahap 2 di Finland pula selalunya menghadapi kesukaran menerima konsep baru dan lebih banyak menghabiskan masa mempelajari semula apa yang telah mereka pelajari pada tahap 1.

Kitaran ini berulang lagi pada peringkat tertiari apabila konsep-konsep penting semasa sekolah menengah tidak dikuasai sepenuhnya pelajar, sehingga menyukarkan indsitusi pendidikan meneruskan pendidikan di tahap lebih tinggi.

Sistem Pendidikan Yang Menjual Persepsi

sekolah di finland

Jadi mengapa Finland dianggap sebagai terbaik?

"Ilusi," kata Gabriel Heller Shalgren, pengarah kepada Centre for Market Reform of Education.

Banyak pihak menyalah anggap kejayaan Finland datang daripada perubahan sistem pendidikan mereka menjadi satu sistem yang mementingkan liberalisasi pendidikan; tidak lagi mementingkan kedudukan, mengamalkan sistem kurikulum berbentuk formal serta faktor pemberian autonomi kepada pihak guru, yang dianggap sebagai faktor penyumbang utama kepada kesan positif itu.

Gabriel percaya martabat pendidikan Finland yang dijaja masyarakat dunia ketika ini, sebenarnya datang daripada faedah-faedah sistem tradisional yang mereka gunakan sebelum sistem liberalisasi pendidikan itu diperkenalkan lagi.

Yang menjadi masalah ketika ini - ekoran kejayaan sistem Finland, negara tersebut mula dijadikan perbandingan bagi mengukur dan membandingkan sistem pendidikan yang lebih menitik beratkan disiplin dalam pembelajaran seperti di Singapura dan Hong Kong, yang bertentangan dengan Finland.

Imej liberal pendidikan Finland mula dijaja pendokongnya sebagai alternatif lebih baik berbanding sistem Singapura sebagai contoh, yang memaksa pelajar bekerja keras menghabiskan sukatan matapelajaran.

Hakikatnya, tidak ada bukti kukuh yang menyokong persepsi kita.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya jangan lupa memandang sejarah sistem pendidikan Finland, sebelum terus membentuk persepsi positif terhadap sistem Finland kini.

Bagi Gabriel, kebanyakan kesan positif yang dirasai ketika ini sebenarnya berpunca daripada sistem lama sebelum liberalisasi pendidikan Finland diperkenalkan.

Dua faktor utama yang membantu sistem pendidikan Finland

tunjuk perasaan bantah pendatang asing

Ada dua faktor yang  sangat membantu sistem pendidikan Finland menjadi penanda aras dunia dan jarang diperkatakan orang ramai.

Pertama, sistem bahasa Finland yang mengamalkan ortografi tulisan sama dengan apa yang disebutkan. Ini memudahkan pelajar di Finland menulis tanpa perlu belajar atau mengingat tentang perkataan-perkataan. Ini membolehkan pelajar di Finland tidak perlu memfokuskan masa belajar mereka untuk menguasai bahasa berbanding pelajar-pelajar lain di seluruh dunia.

Namun oleh kerana kelebihan ini hanya memberikan impak positif kepada masyarakat Finland, pelajar Finland didapati bermasalah dalam usaha melatih mereka mempunyai kebolehan menguasai dua atau lebih bahasa terutamanya Bahasa Inggeris, di mana Bahasa Inggeris mempunyai perbezaan besar dari segi tulisan, tutur kata dan tatabahasanya.

Yang kedua, faktor populasi di Finland yang mempunyai kumpulan demografik bersifat homogenous (hampir keseluruhan satu etnik), dengan hanya beberapa kumpulan minoriti kecil menjadi pelengkap sistem sosial tanpa memberi pengaruh besar pada sosio budaya Finland.

Ini membolehkan tahap keseimbangan akibat perbezaan pertuturan dan budaya serta etnik di kalangan pelajar berada pada kadar mudah dikawal.

Dalam kajian tahun 2004 oleh Horst Entorf dan Nicoleta Miniou dari Darmstadt University of Technology - mereka mendapati majoriti negara yang mempunyai demografik kaum yang lebih tertumpu kepada satu bangsa sahaja, negara-negara tersebut mempunyai keputusan ujian PISA yang lebih baik berbanding negara-negara yang mengamalkan dasar terbuka dalam soal kemasukan pendatang asing.

Elok untuk Finland, elok untuk kita?

kelas kecil di finland

Kami kerap melihat orang ramai kurang diberikan pendedahan berkenaan aspek berbeza sistem pendidikan Finland, sehinggakan sistem tersebut dikatakan seboleh-bolehnya mahu terus diadaptasi pada negara kita atas faktor kejayaan mereka.

Tidak dinafikan sistem pendidikan mereka diiktiraf paling baik di dunia dalam ujian PISA, tetapi melalui artikel ini kami sudah jelaskan puncanya; sistem pendidikan mereka dan budaya mereka memang mesra PISA.

Apa yang jelas, sistem yang diguna pakai Finland haruslah dilihat hanya sesuai untuk masyarakat Finland tetapi berdasarkan hujah yang kami sudah kemukakan, besar kemungkinan tidak akan berkesan untuk kita.

Andainya dengan meniru sebiji-sebiji sistem pendidikan Finland mampu menjadikan sistem pendidikan kita lebih baik, apa yang akan kita belajar sebagai sebuah masyarakat jika kita hanya meniru Finland dengan mengambil pendekatan mereka untuk cuba disesuaikan kepada masyarakat kita?

Seperti pepatah barat selalu mengatakan, it's like trying to fit in a square pegs into a round hole. Bukan semua yang dijaja pada kita, perlu kita beli sewenang-wenangnya.

Rujukan

Why Finnish School lessons is useless?

The Spectator




Hakcipta iluminasi.com (2017)