Pendidikan di negara memerlukan satu transformasi secara menyeluruh kerana sistem yang sedia ada perlu ditambah baik, selaras dengan kehendak masyarakat, pasaran dunia dan keperluan negara yang semakin bergerak ke arah teknologi dan perubahan moden. Apakah yang anda tahu berkenaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia atau PPPM?
PPPM sebenarnya telah pun berlangsung semenjak tahun 2013 lagi di mana sebuah pelan telah dirancang untuk diperkenalkan dan dijalankan sehinggalah tahun 2025. PPPM mengandungi tiga peringkat atau dipanggil sebagai Gelombang yang diharap dapat menukar, mengganti dan mengangkat sistem pendidikan sedia ada ke satu tahap yang mampu melahirkan pelajar yang cemerlang dalam semua aspek.
BESARKAN TEKS A- A+
Gelombang 1 yang dilancarkan pada 2013 sehinggalah tahun 2015 memberi penekanan kepada menambah baik sistem dengan mempercepat perubahan kaedah pelaksanaan program yang telah digunapakai.Sepanjang tempoh pelaksanaan itu, fokus tertumpu kepada kaedah peningkatan kualiti pengajaran, melalui proses meningkatkan kualiti guru, meningkatan kualiti pengurusan sekolah dan meningkatkan kadar literasi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris serta numerasi.Sasaran Gelombang 1 adalah untuk setiap pihak yang terlibat mencapai sekurang-kurangnya tahap minimum dalam semua peringkat.
Menerusi Gelombang 2 yang bermula pada 2016 dan bakal berakhir pada tahun 2020, perubahan struktur pendidikan negara akan lebih tertumpu kepada mempercepat perjalanan perubahan kepada semua inisiatif yang sudah berjalan dalam Gelombang 1. Kesemua 410,000 guru dan 10,000 pengetua/guru besar akan diletakkan dalam pakej kerjayayang baharu dan ditambahbaik. kementerian Pendidikan pula akan melalui proses penstrukturan semula untuk memantapkan lagi perjalanan kerja. Langkah semakan ke atas standard matapelajaran akan dilakukan supaya selari dalam peningkatan keperluan mengenai pengetahuan, kemahiran dan nilai berdaya maju.
Gelombang 3 yang akan bermula pada tahun 2021 dan berakhir pada 2025 akan memfokus kepada anjakan ke arah kecemerlangan dengan peningkatan kecekapan operasi, di mana pada permulaan Gelombang ini, semua sekolah, guru dan pengetua/guru besar perlu menunjukkan prestasi melebihi standard minimum yang telah ditetapkan. Kementerian juga akan menganjakkan kebanyakan sekolah kepada model pengurusan berasaskan sekolah dan membangunkan model kejayaan sekolah berdasarkan inovasi dalam pengajaran, dalam usaha membangunkan sistem pengekalan kemajuan kendiri yang mampu untuk mencetuskan inovasi dan meningkatkan pencapaian yang lebih tinggi.
Sebagai sebuah masyarakat, kita mahu perubahan ke arah penambahbaikan terus berjalan tetapi kita perlu memahami yang satu perubahan sistem sebesar ini memerlukan masa yang panjang dan perancangan yang teliti bagi memastikan PPPM dapat dilaksanakan dengan jayanya. Apa yang diperlukan dari kita adalah sokongan dan sumbangan idea dalam membantu memastikan generasi masa depan Malaysia bukan sekadar mampu bersaing, malah tidak segan untuk menjadi percikan api yang memulakan sesuatu yang baru.