Kopi merupakan antara minuman popular di seluruh dunia. Malah, ada yang menganggap minum kopi sebagai satu kewajipan harian untuk kekal segar kerana kandungan kafein yang ada padanya.
Dahulu kami pernah menulis mengenai kisah penemuan teh yang ditemui secara tidak sengaja. Bagaimana pula dengan kopi? Siapakah orang pertama yang menemukan biji kopi dan menjadikannya sebagai satu jenis minuman yang popular di seluruh dunia ini?
BESARKAN TEKS A- A+
Tiada siapa yang tahu dengan tepat bagaimana atau bila kopi ditemui, walaupun terdapat banyak kisah legenda tentang asal usulnya. Sejarah kopi adalah kisah yang menarik sehingga ia telah mengembara ke seluruh dunia selama berabad-abad, diseludup keluar dari negara yang mengawal ketat bijinya, dicuri daripada keluarga diraja dan memberi impak kepada seluruh negara dan ekonomi.
Kisah Kaldi si penggembala kambing
Kopi yang ditanam di seluruh dunia boleh dijejaki warisannya sejak berabad-abad lalu dari hutan kopi purba di dataran tinggi Ethiopia. Di sana, kisah legenda mengatakan seorang pengembala kambing bernama Kaldi merupakan individu yang mula-mula menemui potensi biji kopi.
Menurut cerita, Kaldi menemui kopi ini selepas dia menyedari bahawa selepas memakan sejenis buah dari pokok tertentu, kambingnya menjadi sangat bertenaga sehingga mereka tidak mahu tidur pada waktu malam.
Kaldi melaporkan penemuannya kepada seorang sami di biara tempatan yang kemudiannya telah mengambil biji tersebut dan membuat minuman dengannya. Sami tersebut mendapati minuman tersebut membuatkannya kekal segar walaupun beribadat dalam tempoh lama sepanjang malam.
Kemudian, penemuan luar biasa itu dikongsi pula dengan sami-sami lain di biara dan pengetahuan tentang biji kopi yang memberi tenaga mula ini tersebar. Apabila berita ini sampai ke timur dan kopi sampai ke semenanjung Arab, bermulalah satu perjalanan yang membawa biji kopi ini ke seluruh dunia.
Perjalanan ke Yamen dan tanah Arab
Kopi menuju ke utara, menyeberangi laut merah dan sampai ke Yaman pada Abad ke-15. Pelabuhan di mana biji kopi pertama tiba dipanggil Mocha. Disebabkan populariti kopi yang semakin meningkat dan penghantaran kopi dari bandar pelabuhan, Mocha menjadi sinonim dengan kopi.
Pada masa kini, "mocha" merujuk kepada minuman kopi yang dicampur dengan serbuk koko atau coklat. Jadi pada bila-bila masa anda mendengar istilah "mocha" apabila bercakap tentang kopi, kini anda tahu dari mana istilah itu berasal.
Menjelang abad ke-15, kopi telah ditanam di daerah Yaman di Arab dan pada abad ke-16 ia dikenali di Parsi, Mesir, Syria, dan Turki. Kopi bukan sahaja dinikmati di rumah, tetapi juga di banyak kedai kopi awam yang dipanggil qahveh khaneh yang mula muncul di bandar-bandar di seluruh Timur.
Populariti kedai kopi tiada tandingannya dan orang ramai mula mengunjunginya untuk semua jenis aktiviti sosial. Para pengunjung bukan sahaja minum kopi dan berbual, tetapi mereka juga mendengar muzik, menonton penghibur, bermain catur dan mengikuti perkembangan berita semasa.
Kedai kopi dengan cepat berkembang menjadi pusat penting untuk pertukaran maklumat yang sering dirujuk sebagai "Sekolah Orang Bijaksana". Walau bagaimanapun, pada awal 1500-an, mahkamah di Mekah pernah mengisytiharkan pengharaman kopi kerana kesan merangsangnya.
Perkara yang sama berlaku di Kaherah, Mesir dan di Ethiopia. Semua larangan ini walaubagaimanapun akhirnya ditarik balik.
Kedatangan kopi ke Eropah
Pengembara Eropah yang datang ke Timur membawa kembali cerita tentang minuman hitam gelap yang luar biasa ini. Menjelang abad ke-17, kopi telah sampai ke Eropah dan menjadi popular di seluruh benua itu.
Sesetengah orang bertindak balas terhadap minuman baru ini dengan rasa curiga atau takut, memanggilnya sebagai "minuman Syaitan yang pahit". Malah, paderi tempatan turut mengutuk kopi apabila ia datang ke Venice pada tahun 1615. Kontroversi itu sangat hebat sehingga Ketua Paderi Paus Clement VIII diminta campur tangan.
Beliau memutuskan untuk merasai sendiri minuman itu sebelum membuat keputusan dan mendapati minuman itu sangat memberi manfaat sehingga beliau sendiri memberikan kebenaran orang ramai untuk minum air kopi.
Walaupun terdapat kontroversi sedemikian, kedai kopi dengan cepat menjadi pusat aktiviti sosial dan komunikasi di bandar-bandar utama England, Austria, Perancis, Jerman dan Belanda. Kopi mula menggantikan minuman minuman sarapan biasa pada masa itu iaitu bir dan wain.
Kredit: