Nenas pada pizza menimbulkan perbincangan besar di kalangan masyarakat. Mungkin kita di Malaysia tidak menyedari perkara ini, kerana kita sudah biasa menikmati pizza yang mempunyai nenas di atasnya.

Bagaimanapun isu 'nenas atas pizza' ini menjadi begitu hangat sekali di Iceland, sehinggakan presiden Iceland, Guðni Th. Jóhannesson mengeluarkan kenyataan mahu melarang penggunaan sebarang bentuk sebarang bentuk buah tropika seperti nenas dalam sebarang bentuk sebagai inti pizza pada tahun 2017.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun berseloroh, pendapat itu turut sama mendapat sokongan tukang masak terkenal, Gordon Ramsay. Ini memaksa individu yang bertanggungjawab mempopularkan 'nenas atas pizza' bangkit mempertahankan ciptaan beliau.

Nama individu itu Sotirios Panopulos, seorang lelaki berusia 83 tahun berketurunan Greek yang tinggal di Kanada.

Mengusahakan perniagaan kedai makan

asal usul pizza hawaiian

Sotirios atau lebih mesra dengan gelaran 'Sam' meninggalkan negara asalnya untuk berhijrah ke Amerika Syarikat bersama adik-beradiknya pada tahun 1956. Ketika itu Sam berusia 20 tahun. Dalam perjalanan, mereka singgah di bandar Naples, Itali yang sangat terkenal dengan makanannya yang pelbagai. Ketika itulah dia menemui pizza buat kali pertama.

Perancangan asal mahu berpindah ke Amerika Syarikat berubah. Sam dan adik-beradiknya berhijrah ke sebuah pekan bernama Chatham yang terletak di Ontario, Kanada. Mereka membuka sebuah kedai makan di situ. Yang uniknya, hidangan yang mereka sajikan berbeza berbanding kedai-kedai lain.

Mereka menyajikan makanan Cina yang pada ketika itu kurang dikenali, masakan Sepanyol serta masakan tradisi masyarakat Greek. Selain itu, satu menu yang ada adalah pizza.

Walaupun pizza ketika itu boleh didapati masyarakat Kanada, pilihannya tidak banyak dengan inti yang ditawarkan kebanyakannya serupa. Jadi Sam mula bereksperimen dengan inti pizza yang boleh mereka tawarkan, dengan sosej, nasi, buah zaitun dan ikan masin menjadi percubaan mereka - hasil idea yang dicuri dari Naples.

Namun idea untuk meletakkan nenas pada pizza hanya datang beberapa tahun kemudian secara suka-suka.

Asal-usul 'hawaiian pizza'

pizza hawaiian dengan nenas

Pada satu hari dalam tahun 1962, Sam dan adik-beradiknya cuba memikirkan bagaimana hendak memberikan variasi yang lebih segar pada menu mereka. Sam mendapat idea daripada citarasa pelanggan.

Ketika itu ramai yang gemar adunan rasa manis dan masam dalam kebanyakan hidangan makanan Cina mereka, merupakan hidangan paling laku di kedai mereka. Sam merasakan apa salahnya untuk cuba meletakkan sesuatu yang masam ke atas pizza. Untuk mendapatkan rasa masam dan manis itu, Sam cuba meletakkan beberapa kepingan nenas di atas pizza disertakan dengan daging, lalu pizza itu dibakar.

Setelah pizza itu masakm mereka mencuba sendiri 'pizza baru' itu dan mendapati pizza tersebut mempunyai sejenis rasa yang unik, belum pernah ada dalam menu mereka. Bagi menamakan menu baru pizza itu, Sam mengambil inspirasi daripada tin nenas yang digunakan.

Kisahnya, jenama nenas dalam tin yang digunakan semasa eksperimen itu adalah jenama 'Hawaiian' jadi mereka menamakan pizza itu pizza Hawaiian dan mula menjual pizza dengan nenas di atasnya. Pada mulanya, tidak ramai berani mencuba, tetapi lama-kelamaan peminat pizza hawaiian semakin diminati ramai kerana keunikannya.

Jasa Sam meletak nenas pada pizza

sam pencipta pizza hawaiian

Hasil kajian mencipta pizza Hawaiian tanpa sengaja yang popular hingga kini. Sam serta adik-beradiknya meneruskan perniagaan mereka sebelum menjual restoran yang telah mereka usahakan pada tahun 1980, bagi memulakan perniagaan baru.

Apa yang dikesalkan oleh Sam adalah kegagalan beliau untuk memfailkan paten hak cipta terhadap hasil ciptaan pizza itu. Apabila diajukan pertanyaan mengapa dia tidak terfikir untuk mendaftarkan diri sebagai pemegang paten, Sam tidak menyangka apa yang dia lakukan akan mencapai kesan yang dapat kita saksikan sekarang.

Selepas hasil ciptaannya dikritik Presiden Iceland pada awal 2017 secara berseloroh, dia mendapat sokongan Perdana Menteri Kanada sendiri, Justin Trudeau yang menyifatkan menu pizza dengan nenas di atasnya adalah menu tradisi masyarakat Kanada. Justin juga berkata orang Kanada sepatutnya berbangga pizza atas nenas dicipta di negara mereka.

Tidak lama selepas 'insiden nenas atas pizza' itu, Sam meninggal dunia pada 8 Jun 2017 secara tiba-tiba. Legasi Sam meninggalkan kita dengan sejenis hidangan pizza yang pada asasnya nampak macam tak kena - tetapi sekali dirasai, fuh terasa sekali nikmatnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)