Pelawak Shuib Sepahtu hanya tinggal 12 tahun lagi sebelum bersara daripada industri hiburan.
Pemilik nama sebenar Shahmira Muhamad ini bercadang untuk memberi tumpuan penuh kepada keluarga dan anak-anak apabila usianya mencecah 45 tahun.
"Masa itu, saya hanya nak lihat matahari terbit dan terbenam di tepi pantai. Itu saja.
'Ketika itu, saya tak perlu lagi stres pasal kerja atau fikir soal duit kerana saya mahu meluangkan masa dengan keluarga dan anak-anak,'' katanya menurut portal Sinar Harian.
Beliau ditemui sewaktu menghadiri program An Evening With Siti Sarah & Hearty Sarah.
Dalam merealisasikan impian itu, Shuib yang kini berusia 33 tahun nekad mengukuhkan ekonomi keluarga.
"Saya tahu kekangan kewangan juga yang akan membuatkan kita jauh daripada anak-anak dan keluarga.
"Tapi, jujurnya saya tak boleh. Bagi saya, family first. Itulah keutamaan saya.
"Saya sendiri tengah buat kira-kira. Tahun 2018, umur saya dah 33 tahun, jadi saya ada masa 12 tahun saja lagi. Nampaknya, 12 tahun ni saya kena bantailah... kena pulun kaw-kaw," katanya diiringi ketawa.
Beralih kepada perkembangan kerjaya, Shuib memberitahu dia bukan sahaja sibuk memenuhi jadual karier seni, malah turut mempunyai komitmen menguruskan empat syarikatnya iaitu Monstafit, Fazalow.com, Madu Tiga Sdn Bhd dan Manhajj Mutawwif Travel.
"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan ruang bisnes yang diberikan kepada saya. Saya sebenarnya seronok berkongsi rezeki dengan orang lain," katanya.
Dalam soal pengurusan masa, pelawak kelahiran musim ketiga rancangan pencarian bakat komedi, Raja Lawak ini akui terpaksa bersikap selektif memilih tawaran.
"Saya tahu kekuatan saya ada di mana, jadi saya tak akan lepaskan platform itu. Macam berlakon, mungkin saya hanya akan buat untuk special episod.
"Tapi, keputusan saya untuk berhenti jadi penyampai radio adalah tepat kerana saya tak mampu terikat dengan komitmen.
"Mana lagi nak uruskan syarikat dan bila terlalu sibuk, saya rasa seperti sangat jauh dengan anak-anak," katanya.
Antara komitmen terkini Shuib termasuk penggambaran rancangan Konti Karat musim kedua, Meja Bulat dan dalam waktu sama, sedang menghoskan program Teka Tekan dan Manhajj Mutawwif.
"Insya-ALLAH, saya juga akan sibuk kembali ke penggambaran filem, Abang Long Fadil 3 pada Ogos nanti," katanya.
Dalam pada itu, Shuib menegaskan keutamaannya tetap berpihak kepada keluarga walau apapun.
"Apa-apa pun, saya letak famili sebagai nombor satu. Saya tahu, saya cuma wakil dan semua rezeki ini datangnya daripada anak-anak, doa ibu bapa dan doa isteri saya.
"Walaupun ada sesetengah benda dia tak tahu apa-apa, saya masih bertanya pendapat dan merujuk kepada dia terlebih dahulu.
"Apa yang saya miliki hari ini adalah tuah dan doa daripada isteri dan anak-anak, kerana itu mereka menjadi keutamaan saya sampai bila-bila," katanya.
Shuib mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Siti Sarah pada 26 Februari 2011 dan sehingga kini memperoleh tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 7, Dzahira Talita Zahra, 4, dan Ariq Matin yang berusia dua tahun.
Kredit foto: Instagram Shuib Sepahtu
Sumber berita: Sinar Harian