"Seni alat pembebasan?" Itu tajuk forum yang dipilih oleh pelajar-pelajar Universiti Selangor (Unisel), diwakili oleh Mashitah Sulaiman yang menjemput saya menjadi panel berbicara, pada Khamis 27 April, bersama Yassin Salleh dan seorang wakil pelajar.
Tulisan ini dibuat menjelang forum tersebut, sambil saya berfikir-fikir apakah yang relevan untuk saya bincangkan di hadapan para mahasiswa hari ini – mengenai seni sebagai alat pembebasan. Entah dari manalah timbulnya tajuk ini – “Seni Alat Pembebasan?”. Ada tanda soal pula.
BESARKAN TEKS A- A+
Saya sebenarnya kurang selesa dengan perkataan ‘alat’ itu. Saya sendiri sepanjang pengalaman lebih 40 tahun berkarya dan melakukan aktiviti seni-budaya, tidak pernah berasa bahawa seni itu adalah alat untuk saya mencapai kebebasan atau pembebasan.
Saya berusaha menghasilkan karya seni. Saya bekerja untuk menghasilkannya. Dan apabila ia terhasil atau tercipta atau terjadi, saya tidak menganggap ia sebagai alat untuk saya melakukan atau mencapai sesuatu yang lain pula.
Menghasilkan karya seni atau melaksanakan aktiviti seni itu adalah sesuatu yang saya inginkan. Dan apabila ia terhasil atau terlaksana, saya menganggap ia sebagai ‘sesuatu’ yang telah wujud dan ia mempunyai ‘hidup’ dan peranannya sendiri. Ya, karya seni itu sesuatu yang hidup dan mempunyai peranannya sendiri.
Contoh, saya menghasilkan Teater Atas Pokok. Kenapa saya menghasilkannya? Pertama, saya menunaikan tuntutan dalam diri saya sendiri. Ini proses kreatif. Mereka yang menjadi seniman ada proses kreatif ini di dalam diri.
Proses ini kadang-kadang menyebabkan seseorang seniman itu resah dan gelisah, kerana ada sesuatu sedang mengganggu dalaman dirinya, mendesak supaya dia menghasilkan sesuatu, dan sesuatu itu adalah mengikut bakat dan kemahiran yang ada padanya – mungkin puisi mungkin lukisan mungkin novel mungkin filem mungkin lagu mungkin teater dan sebagainya.
Mengapa teater atas pokok? Kerana saya hendak menghasilkan sesuatu yang baru. Karya seni yang hidup itu adalah karya yang baru, yang segar, yang mampu menarik perhatian orang. Kalau ia tidak mampu menarik perhatian orang, ia tak akan hidup. Ia mati, dan ia tak ada peranan. Jadi seniman itu harus sentiasa berusaha mencipta sesuatu yang baru dan mampu menarik perhatian orang.
Teater Atas Pokok sesuatu yang tidak pernah dibuat. Ia menarik perhatian orang. Tetapi apakah isinya? Isinya ialah cerita sebuah kampung Melayu di dalam ibukota Kuala Lumpur yang sedang diancam oleh pihak berkuasa yang hendak memusnahkannya bagi tujuan pembangunan.
Ini cerita benar, dan saya tahu sangat akan cerita kampung ini, dan saya berpendapat bahawa kampung ini perlu dipertahankan, perlu dikekalkan, dan usaha atau cadangan pihak berkuasa hendak memusnahkan kampung itu mesti dihalang.
Dan ini bukanlah suatu proses kreatif atau proses penciptaan karya seni yang biasa. Maksud saya proses kreatif yang ini, bukan proses kreatif yang biasa. Ini satu proses kreatif yang melibatkan semacam perjuangan seorang seniman untuk mempertahankan sesuatu yang dipercayainya perlu dipertahankan, perlu diperjuangkan.
Di sini seorang seniman itu berjuang dengan menggunakan bakat dan kemahirannya dalam menghasilkan sebuah karya teater. Apakah perjuangannya itu berjaya? Soalan ini bukan sebuah soalan seni. Persoalan seni sudah selesai apabila teater itu dipentaskan atau dipertontonkan kepada khalayak.
Seperti dikatakan tadi, apabila sebuah karya seni itu telah dihasilkan, ia mempunyai hidup dan peranannya sendiri. Terpulanglah kepada kekuatan karya itu sendiri – sejauh mana kekuatannya untuk terus hidup dan berperanan.
Berjaya atau tidak perjuangan yang disalurkan melalui sesebuah karya seni, itu bukan lagi masalah seni. Itu sudah menjadi masalah lain, itu masalah perjuangan, yang bukan lagi perkara seni.
Saya bagi satu contoh lain. Saya tertarik dengan sebuah novel. Bukan sekadar tertarik yang biasa tetapi lebih daripada biasa. Novel itu hidup dan berperanan dalam diri saya. Bukan novel saya (saya tak tulis novel) tetapi novel yang dihasilkan oleh seorang penulis Jerman bernama Herman Hesse, dan novelnya berjudul ‘Siddhartha’, diterbitkan tahun 1922.
‘Siddhartha’ mengisahkan seorang pencari kebenaran hidup. Seorang pemuda India bernama Siddhartha, beragama Budha, menjalani kembara hidupnya (di India) menempuh pelbagai pengalaman – sebagai orang miskin, orang kaya, menjalani kehidupan seks yang diimpikannya dan sebagainya, akhirnya dia meninggalkan semua kehidupan kota dan meneruskan kembaranya masuk ke dalam hutan, sampai ke sebuah sungai – di situ dia menemui makna hidup yang dicarinya selama ini.
Air sungai itu berbicara dengan dia. Orang perahu atau penambang yang mengambil upah membawa orang menyeberang sungai dengan perahunya, berbicara dengan dia, dengan cara yang tersendiri, dan itu menarik perhatian Siddhartha. Dia pun tinggal bersama penambang itu, dan tidak berasa perlu lagi untuk kembara meneruskan pencariannya. Dia sudah menemui dirinya.
Saya sangat tertarik dengan penceritaan novel ini, hingga kisah Siddhartha itu sangat mempengaruhi pemikiran saya. Ia sebuah karya seni yang hidup dan terus hidup walaupun seniman yang menghasilkannya sudah mati. Karya itu terus hidup dan berperanan mempengaruhi pembacanya, dengan caranya sendiri.
Apakah seni itu membebaskan? Ya, seni boleh membebaskan. Tetapi tidak semestinya. Ada seniman yang mencapai kebebasan dengan berkarya, dan ada seniman yang tidak mencapai kebebasan. Ada seniman yang berjaya dan ada seniman yang tidak berjaya.
Begitulah juga dengan karya seni. Ada yang menjadi dan ada yang tidak menjadi. Ada yang bermutu dan ada yang tidak bermutu. Ada yang boleh membebaskan dan ada yang tidak boleh membebaskan.
(Dari kolum Tekad Budaya akhbar Amanah, 30.4.2017)
Artikel ini telah diulang siar dengan kebenaran dari penulis asal. Harap bermanfaat kepada semua bagi menjawab persoalan "adakah seni dianggap sebagai alat kepada pembebasan"?
Penulisan asal : Dinsman