Kredit foto: Instagram Hairul Azreen
Aktor Hairul Azreen tampil membuat permohonan maaf selepas videonya 'terbang' di atas eskalator sebuah pusat membeli-belah menjadi tular.
Pelakon Dia Semanis Honey ini mengatakan dia tidak menyedari apa yang dilakukannya itu adalah sesuatu yang tidak baik, selain tidak sangka mampu melaksanakan aksi berkenaan.
Malah, katanya, ketika itu beliau merasa dirinya umpama seorang pelakon lagak ngeri.
"Apa saya lakukan adalah secara spontan kerana merasa saya seorang pelakon lagak ngeri, saya terlupa dan galak melakukan aksi seperti itu," katanya kepada Harian Metro.
Biarpun begitu, aktor berusia 30 tahun ini mengakui kesilapan yang dilakukan.
"Apa yang berlaku adalah kesilapan dan mematangkan diri namun tidak sangka ia tular," katanya.
Dalam masa sama, Hairul menjelaskan video itu adalah rakaman tahun lalu, dan tidak mengetahui punca ia disebarkan.
"Saya tidak faham kenapa baru sekarang video tular. Mungkin saya sudah dikenali orang mulalah mencari video-video saya dalam keadaan tidak sepatutnya," katanya.
Pada 25 Januari lalu, Hairul dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah untuk memberi keterangan berhubung kes melepaskan tembakan ke udara tanpa memiliki lesen dalam sebuah kejadian di Kampung Parit Jerman, Sitiawan pada 2016.
Sumber berita: Harian Metro