Kredit foto: Utusan Online

“Ini pengajaran buat saya dan saya akan ingat sampai bila-bila".

Begitulah kata aktor Hairul Azreen Idris, 30, selepas dilepas dengan jaminan polis, semalam susulan kes penggunaan senjata api tanpa lesen dalam sebuah kejadian di Kampung Parit Jerman, Sitiawan, dua tahun lepas.

Aksi Hairul melepaskan dua das tembakan ke udara menjadi tular di media sosial sejak empat hari lalu.

Hairul sewaktu berada di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, selesai membuat keterangan berkata, dia tidak menyedari tindakan menggunakan senapang patah milik bapa saudaranya itu menjadi kesalahan.

Pelakon Dia Semanis Honey ini menjelaskan insiden itu berlaku tanpa dirancang iaitu ketika berada di rumah bapa saudaranya di Pantai Remis.

“Kebetulan ketika itu pakcik saya sedang lakukan operasi menembak haiwan perosak di kebunnya, jadi bila saya tengok tu, saya teringinlah nak cuba, itu sahaja.

"Pakcik saya memang ada lesen senjata api untuk itu,” katanya.

Bapa kepada seorang anak ini mengakui kesilapannya dan merasakan perbuatan itu satu pengajaran sekaligus mengingatkan orang ramai supaya tidak mengendalikan senjata api walaupun mempunyai kemahiran, apatah lagi jika sekadar mencuba.

Dalam masa sama, beliau sedar perbuatannya dirakam, namun tidak tahu tindakannya itu menjadi satu kesalahan.

“Saya pun tak tahu kenapa baru sekarang video itu tular, sedangkan kejadian tu dah lama, benda dah nak jadikan. Apa-apa pun saya ambil ini sebagai iktibar,” katanya.

Dalam pada itu, Hairul memberitahu proses mengambil keterangan berjalan dengan baik dan dia telah mendapat penerangan terperinci mengenai penggunaan senjata api dari sudut undang-undang. 

menembak tanpa lesen hairul azreen dipanggil polis 2

Kredit foto: BH Online

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, polis juga mengambil langkah segera agar video itu tidak terus tersebar.

Malah, pemilik lesen senapang patah jenis SK500 yang berusia 70 tahun itu telah hadir untuk memberi keterangan, kelmarin.

“Senjata api yang digunakan telah dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 Akta Senjata Api 1960. Kes turut disiasat di bawah Seksyen 8 dan Seksyen 39 akta yang sama,” katanya.

Sumber berita: Sinar Harian




Hakcipta iluminasi.com (2017)