Kredit foto: Instagram Aliff Adha
Wanita yang mahu dirinya dikenali sebagai Mia Haidy, mengakui kesalahan sekaligus memohon maaf ekoran pendedahan yang dibuat melalui mesej peribadi di akaun Instagram, mendakwa kononnya suami aktres Sharifah Sakinah berlaku curang.
Akur ia terjadi kerana salah faham, individu itu dalam masa sama berkata, dia tidak berniat buruk menghancurkan rumah tangga Sakinah kerana maklumat yang disalurkan adalah secara peribadi dan bukanlah kepada umum.
"Saya minta maaf Sharifah Sakinah dan Memey, ini semua salah faham, jujur saya tiada niat jahat kerana kalau saya berniat jahat dari awal saya dah bertanya di publik dan terus menuduh.
"Saya tanya elok-elok secara privasi, mungkin dia rasa saya busybody, ia memberi pengajaran kepada saya juga," katanya kepada Mstar, semalam.
Jumaat lalu, Sakinah, 29, berkongsi paparan skrin mesej peribadi yang diterima daripada seorang individu yang mendakwa suaminya curang kerana menjalinkan hubungan sulit dengan seorang pramugari.
Pelakon Bini Aku Dari Neraka itu juga memberi amaran kepada pihak luar agar tidak mencampuri hal rumah tangganya.
Kredit foto: Instagram Sharifah Sakinah
"Saya mengikuti IG pramugari itu dan selalu nampak dia post gambar teman lelakinya secara tidak jelas.
"Saya minta maaf sekali lagi kepada kedua-dua mereka yang terkesan dengan perkara tersebut," kata Mia lagi.
Sabtu lalu, pramugari berkenaan yang hangat dibualkan sejak beberapa hari lalu tampil memuat naik status di Instagram dengan menegaskan, kekasihnya bukanlah suami pelakon berkenaan sebagaimana diperkatakan Mia.
Dia menyatakan kekecewaan kerana kehidupan peribadinya dijaja tanpa sebarang usul periksa.
Sakinah dan Aliff Adha, 29, seorang juruterbang berkahwin sejak Mac 2015, dan sehingga kini dikurniakan seorang anak berusia setahun.