Adakah anda masih menetap dalam kediaman yang mengamalkan penggunaan ubat nyamuk? Penulis setiap kali pulang ke kampung, mesti diminta tolong nyalakan ubat ni sebelum tidur.
Lingkaran nyamuk (mosquito coil) atau lebih dikenali dalam masyarakat kita sebagai 'ubat nyamuk' telah menjadi alat yang cukup penting mengusir nyamuk di banyak rumah di seluruh dunia.
BESARKAN TEKS A- A+
Sejarah bagaimana ubat nyamuk tercipta cukup menarik, ditelusuri seorang usahawan Jepun Eiichiro Ueyama akhir abad ke-19. Kisah penciptaannya bermula dari keperluan untuk menangani masalah nyamuk yang meluas di Jepun pada era tersebut.
Pencipta ubat nyamuk dari Jepun
Eiichiro Ueyama merupakan seorang lelaki Jepun, lahir pada tahun 1865 dalam sebuah keluarga yang terlibat dalam bidang pertanian dan perniagaan.
Pada dekad 1880-an, beliau mula menceburi bidang pembuatan racun serangga. Ekoran masalah kehadiran nyamuk yang berleluasa, Ueyama mula mencari jalan untuk menemui formula yang mampu meredakan kehadiran nyamuk.
Selepas menjalan eksperimen, Ueyama mendapati ada satu spesis bunga yang dikenali sebagai piretrum yang dikategori dalam spesis keluarga bunga kekwa, mempunyai ciri-ciri penghalau serangga semula jadi yang turut mampu membunuh serangga seperti nyamuk.
Ueyama diperkenalkan dengan tumbuhan itu melalui kenalannya, seorang usahawan bernama H. E. Amoore dari Amerika Syarikat yang membawa sampel tumbuhan itu. Hasil kerjasama keduanya, Ueyama berjaya mendapatkan biji benih dari Amoore untuk memulakan tanaman pokok tersebut yang diusahakan melalui syarikat milik keluarganya Dainihon Jochugiku Co.
Pada awalnya, bahan racun daripada pokok piretrum diproses lalu dijadikan serbuk atau sebatian, untuk membunuh serangga.
Daripada serbuk kepada lingkaran
Namun Ueyama merasakan penggunaan serbuk kurang praktikal dan sukar dikawal.
Beliau mencari cara untuk memproses piretrum agar lebih mudah diselia. Ueyama mula menghasilkan batang kecil yang diperbuat daripada serbuk piretrum yang dikeringkan, menyerupai batang colok atau setanggi yang banyak digunakan dalam upacara keagamaan di Jepun.
Reka bentuk awal batang piretrum yang boleh dibakar untuk mengusir nyamuk ada kelemahan besar, kerana batang setanggi tersebut terbakar terlalu cepat menjadikannya kurang efektif untuk kegunaan jangka masa lebih lama. Siapa nak berjaga tengah pagi untuk menyalakan batang baru pula kan?
Keberkesanan produk yang terhad kerana pengguna kerana menggantikan batang secara berkala, dianggap menyusahkan.
Ueyama berdepan cabaran untuk merekacipta produk yang lebih berkesan dan praktikal. Isterinya yang bernama Yuki mencadangkan supaya batang setanggi tersebut dijadikan lebih tebal supaya tahap pembakarannya berlaku lebih perlahan.
Cadangan isterinya membawa kepada idea yang lebih inovatif.
Ueyama menyedari bila dia menggulung batang setanggi tersebut menjadi bentuk lingkaran, bakarannya lebih perlahan dan sekata. Bentuk gegelung ini bukan sahaja melambatkan pembakaran, tetapi juga membolehkan kawasan yang dilindungi oleh asap lebih luas selain nyalaannya tahan dari malam sehingga ke pagi.
Bentuk lingkaran ini juga mempunyai kelebihan lain menjadikannya mudah disimpan dan diangkut, akhirnya kekal sehingga ke hari ini, menjadi salah satu rekaan simbolik dalam sejarah.
Walaupun ada risiko kebakaran berlaku, asalkan kita tidak meletakkan ubat nyamuk berdekatan bahan yang mudah terbakar - risikonya tentu dapat dielakkan. Lagi satu bahayanya adalah pemegang besinya yang agak tajam dan mampu mengakibatkan kecederaan pada kaki kalau terpijak.
Lingkaran nyamuk yang kekal relevan dalam zaman moden
Dipasarkan kali pertama pada awal abad ke 20 menerusi jenama Kincho Uzumaki (Lingkaran Kincho atau Kincho Coil), produk hasil keluaran syarikat Ueyama mula popular dan selamat dilesenkan hak ciptanya pada tahun 1910.
Sejak tercipta, lingkaran nyamuk Ueyama telah melalui beberapa perubahan kecil tetapi bentuk asasnya tetap tidak berubah dan kini telah melalui inovasi yang membawa kepada variasi saiz dan aroma agar lebih menyenangkan hidung.
Bagaimanapun prinsip asas rekaannya kekal sama: bahan kimia yang dibakar secara perlahan melepaskan bahan beracun ke udara, yang mengusir atau membunuh nyamuk.
Rekaannya yang sangat ringkas serta langsung tidak kompleks menjadikan lingkaran nyamuk kekal popular. Selain itu 'ubat nyamuk' juga agak murah dan mudah didapati terutama di kawasan tropika, berkesan menangani penularan enyakit seperti malaria dan demam denggi.
Mungkin ada di antara kita sudah beralih kepada 'ubat nyamuk' elektrik tetapi kami yakin tetap ada juga di antara anda yang bergantung kepada ubat nyamuk tradisional yang tetap dijual dalam pasaran.
Walaupun berkesan, apa yang anda paling tidak suka dengan ubat nyamuk lingkaran ini? Kami cukup tak suka baunya dan kami cukup tak suka ditugaskan menjadi orang yang perlu membuang habuknya. Anda pula bagaimana?
Rujukan