Oleh pada 14 Feb 2020 kategori

Hari Valentine berlaku pada setiap 14 Februari setiap tahun.

Di kebanyakan tempat di seluruh dunia, bunga dan hadiah ditukar antara pasangan cinta, bersempena dengan nama St. Valentine.

Malah, ramai pelajar sekolah bertukar-tukar mesej Valentine pada hari ini.

Di Filipina, 14 Februari merupakan ulangtahun perkahwinan yang paling biasa dan perkahwinan beratus-ratus pasangan pada tarikh ini adalah sesuatu yang biasa di negara ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tetapi siapa sebenarnya St. Valentine dan dari mana tradisi ini berasal? Mengapa ia sangat diraikan dan kekal sehingga ke hari ini? Adakah ia boleh diraikan oleh umat Islam?

Siapa sebenarnya Valentine?

st valentine

Gereja Katolik mengiktiraf sekurang-kurangnya tiga orang paderi yang bernama Valentine atau Valentinus, yang semuanya telah didakwa "mati syahid".

Satu legenda berpendapat bahawa Valentine adalah seorang paderi yang berkhidmat ketika abad ketiga di Rom.

Apabila Maharaja Claudius II memutuskan bahawa lelaki bujang akan menjadi tentera yang lebih baik daripada mereka yang mempunyai isteri dan keluarga, dia melarang lelaki muda daripada berkahwin.

Valentine, menyedari akan ketidakadilan perintah itu, menentang Maharaja Claudius dan terus menyatukan perkahwinan untuk pencinta muda secara rahsia.

Apabila tindakan Valentine diketahui, Maharaja Claudius memerintahkan supaya dia dibunuh.

Masih ada yang menegaskan bahawa nama perayaan Hari Valentine ini adalah bersempena Saint Valentine of Terni, yang merupakan seorang uskup.

Dia juga dipancung oleh Claudius II di luar Rom.

saint valentine of terni

Cerita-cerita lain menyatakan bahawa Valentine mungkin terbunuh kerana cuba membantu orang Kristian melarikan diri dari penjara Rom yang ekstrem, di mana banduan sering dipukul dan diseksa.

Mengikut salah satu legenda, seorang Valentine yang dipenjara sebenarnya menghantar mesej "valentine" yang pertama setelah dia jatuh cinta dengan seorang gadis muda, mungkin anak kepada orang yang memenjarakannya itu, yang melawatnya ketika dipenjarakan.

Sebelum kematiannya, didakwa bahawa dia menulis sebuah surat kepada gadis tersebut dengan tandantangan "Dari Valentine kamu" atau "From your Valentine", ungkapan yang masih digunakan sehingga ke hari ini.

Walaupun kebenaran di sebalik legenda Valentine tidak jelas, kisah-kisah itu semua cuba untuk menekankan bahawa Valentine sebagai tokoh bersimpati, heroik dan paling penting, romantik.

Menjelang Abad Pertengahan dan mungkin disebabkan oleh reputasi ini, Valentine menjadi salah seorang daripada orang suci paling popular di England dan Perancis.

Menggantikan perayaan Lupercalia

perayaan lupercalia

Walaupun ada yang percaya bahawa Hari Valentine disambut pada pertengahan bulan Februari untuk memperingati ulang tahun kematian Valentine atau pengebumiannya, yang mungkin berlaku sekitar 270, yang lain mendakwa bahawa gereja Kristian mungkin telah memutuskan untuk meletakkan hari perayaan Hari Valentine di tengah-tengah Februari dalam usaha untuk "meng-Kristian-kan" perayaan Lupercalia.

Diadakan pada bulan Februari, atau Februari 15, Lupercalia adalah pesta kesuburan yang didedikasikan untuk Faunus, dewa pertanian Romawi, serta untuk pengasas Rom iaitu Romulus dan Remus.

Untuk memulakan perayaan ini, ahli-ahli Luperci, satu perintah imam Romawi, akan berkumpul di sebuah gua suci di mana bayi-bayi Romulus dan Remus, pengasas Rom, dipercayai telah dijaga oleh serigala jadian atau lupa.

Para imam ini akan mengorbankan seekor kambing untuk kesuburan dan seekor anjing untuk pembersihan.

perayaan lupercalia 2

Mereka kemudiannya akan menyiat kulit kambing, mencelupkannya ke dalam darah korban dan dibawa ke jalan-jalan, dengan perlahan menamparkannya kulit tersebut ke atas ladang tanaman dan wanita.

Tidak takut dengan upacara itu, wanita-wanita Rom mengalu-alukan sentuhan kulit itu ke atas mereka kerana ia dipercayai menjadikan mereka lebih subur pada tahun yang akan datang.

Kemudian, mengikut legenda, semua wanita muda di bandar itu akan meletakkan nama mereka dalam pasu yang besar.

Lelaki-lelaki bujang di bandar itu masing-masing akan memilih nama dan menjadi pasangan untuk tahun ini dengan wanita pilihannya, yang biasanya berakhir dengan perkahwinan.

pope gelasius

(Pope Gelasius)

Perayaan Lupercalia terselamat daripada kebangkitan Kristian awal, tetapi telah dilarang kerana dianggap sebagai "tidak Kristian" pada akhir abad ke-5, ketika Pope Gelasius mengisytiharkan 14 Februari sebagai Hari St. Valentine's.

Walau bagaimanapun, tidak lama kemudian, hari tersebut menjadi berkaitan dengan cinta.

Semasa Zaman Pertengahan, ia lazimnya dipercayai di Perancis dan England bahawa 14 Februari adalah permulaan musim burung mengawan, yang menambah lagi kepada idea bahawa Valentine adalah hari untuk cinta.

Mesej Valentine pertama

penyair geoffrey chaucer membuat mesej valentine pertama

(Geoffrey Chaucer)

Penyair Inggeris Geoffrey Chaucer adalah yang pertama menyatakan Hari St Valentine sebagai hari perayaan romantis dalam puisinya pada tahun 1375 berjudul "Parlimen Foules".

Dia menulis," “For this was sent on Seynt Valentyne’s day / Whan every foul cometh ther to choose his mate.” yang bermaksud "Hari ini adalah Hari St. Valentine, kerana semua burung pergi ke sana untuk mencari pasangan".

Ucapan atau mesej Valentine sangat popular sejak Abad Pertengahan, walaupun Valentine tidak bermula sehingga selepas tahun 1400.

Valentine yang paling tua yang masih wujud hari ini adalah puisi yang ditulis pada tahun 1415 oleh Charles, Duke of Orleans, kepada isterinya ketika dia dipenjarakan di Menara London berikutan penangkapannya dalam Pertempuran Agincourt.

Beberapa tahun kemudian, dipercayai bahawa King Henry V mengupah seorang penulis bernama John Lydgate untuk menulis mesej Valentine kepada Catherine of Valois.

Hukum umat Islam menyambut Hari Valentine's

datuk dr zulkifli mohamad al bakri tentang hari valentine

(Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri)

Jelas sekali bahawa perayaan ini adalah melibatkan agama Kristian di mana diusahakan untuk menggantikan perayaan Lupercalia yang dianggap sebagai "tidak Kristian".

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri telah mengingatkan semua umat Islam bahawa Hari Valentine dilarang untuk disambut.

Akan tetapi, beliau juga menegaskan bahawa penzahiran kasih sayang dalam Islam adalah tidak dilarang sama sekali, namun ia perlulah melalui pernikahan.

Berdasarkan maklumat-maklumat yang menunjukkan dengan jelas bahawa Hari Valentine's ini membawa kepada budaya maksiat dan penzinaan, serta menyerupai budaya buruk yang luar daripada ajaran Islam, maka ia adalah haram.

Malah, Datuk Dr Zulkifli juga menegaskan bahawa fokus utama bagi anak muda ketika Hari Valentine ini iaitu hubungan luar nikah, bukan sahaja dilarang oleh Islam tetapi juga oleh agama-agama lain yang ada di Malaysia.

Beliau juga memetik keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang pada 22 November 2005 berkaitan hukum orang Islam menyambut perayaan itu.

Menurut Datuk Dr Zulkifli, muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya. 

“Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam,” kata Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Wallahualam.

Rujukan:

1. Sejarah Hari St. Valentine

2. Sejarah Valentine's Day

3. Hukum Menyambut Hari Valentine's Adalah Haram




Hakcipta iluminasi.com (2017)