Wilayah selatan Thailand merupakan salah satu kawasan di mana komuniti bangsa Melayu mempunyai bilangan yang ramai selain daripada negara kita, Brunei, Singapura, Filipina dan Indonesia. Bagaimanapun, berbeza dengan orang Melayu di Malaysia khasnya - orang Melayu di Thailand terpaksa berhadapan dengan kemelut politik beratus tahun lamanya.
Malangnya, sehingga kini solusi kepada masalah perbezaan pandangan di antara masyarakat Melayu selatan Thailand dan juga kerajaan Thailand sendiri tampak belum ada jalan keluar. Kedua-dua pihak tetap berkeras mahu menjaga kepentingan masing-masing, menyebabkan wujudnya ketidak tentuan dalam urusan pentadbiran dan politik yang akhirnya memangsakan orang ramai.
BESARKAN TEKS A- A+
Di antara semua wilayah selatan Thailand, negeri Patani menjadi negeri yang paling terkenal sejarah pemberontakannya. Tahukah anda kisah bagaimana pemberontakan orang Melayu Patani bermula?
Zaman kerajaan lama Langkasuka
Kerajaan Langkasuka merupakan salah sebuah kerajaan terawal, yang bertapak di bahagian selatan Thailand dan utara Malaysia ketika ini sejak abad ke 2 lagi. Sehingga kini belum dapat dipastikan di manakah jajahan sebenar kerajaan tersebut yang didakwa meliputi sebahagian besar selatan Thailand dan utara negara kita.
Bagaimanapun, beberapa penemuan arkeologi berdekatan negeri Patani menunjukkan besar kemungkinan negeri tersebut pernah menjadi pusat kerajaan lama pusat. Kawasan Patani, Saiburi (Kedah) dan Yala turut sama menjadi sebahagian daripada jajahan Langkasuka.
Selepas kejatuhan kerajaan Langkasuka, empat daerah iaitu Patani, Narathiwat, Yala dan Satun digabungkan untuk membentuk sebuah negeri besar yang dinamakan oleh masyarakatnya sebagai Patani Raya, didakwa berlaku sekitar tahun 1390-an.
Agama Islam juga dikatakan telah sampai lebih awal ke kawasan Patani dan sekitarnya pada abad ke 11 atau 12 lagi, dengan penemuan sebuah batu bersurat yang ditulis pada tahun 1039 dengan menggunakan huruf kufi serta sebuah tugu yang ditulis di atas permukaannya hukum-hakam Islam. Bagaimanapun, hanya bermula pada abad 15 barulah Islam diamalkan oleh pemerintah Pattani.
Dalam kisah yang dicatatkan dalam buku koleksi kisah 'Hikayat Patani', disebutkan raja Patani pertama memeluk Islam adalah Raja Phaya Tu Nakpa semasa zaman pemerintahannya pada tahun 1500 hingga 1530. Beliau juga dikatakan menjadi pengasas sebenar kerajaan Patani dan selepas memeluk Islam, menukar namanya kepada Sultan Ismail Syah.
Dengan itu, kerajaan Patani secara rasminya menjadi kerajaan Melayu Islam Patani Darussalam.
Era kegemilangan kerajaan Patani
Bermula pada tahun 1584, kerajaan Patani berjaya meluaskan pengaruh mereka menjadi kerajaan Melayu yang lebih besar, menjadikan Kelantan dan Terengganu sebagai salah satu negeri mereka. Ketika inilah kerajaan Patani turut sama mencapai tahap kemajuan yang cukup pesat, sehingga mampu membina peralatan meriam yang cukup gah - dengan tiga meriam diperkenalkan iaitu 'Mahalela', ' Seri Negara' dan 'Seri Petani.'
Ketiga-tiga meriam ini cukup terkenal sebagai senjata utama kerajaan Patani menghalang kemaraan tentera Siam pada awal abad ke 17. Meriam 'Seri Petani' merupakan meriam terbesar antara ketiga-tiganya, bersaiz 9 kaki menjadi kebanggan orang Patani dan pada saat ini, meriam itu dipamerkan di hadapan bangunan Kementerian Pertahanan Thailand.
Dinasti pertama kerajaan Patani yang digelarkan Dinasti Mahawangsa berakhir pada tahun 1688, selepas raja terakhir dinasti tersebut tidak mempunyai waris bagi menutunkan takhtanya. Berikutan situasi itu, semua pemimpin kerajaan Patani bersetuju untuk memilih seorang raja baru daripada warisan raja Kelantan sebagai permulaan dinasti baru pemerintah Patani.
Raja pertama yang naik daripada susur-galur baru itu adalah Raja Bakal, namun dia hanya sempat memerintah selama dua tahun sebelum digantikan dengan Raja Emas Kelantan pada tahun 1690.
Ditakluki kerajaan Siam
Selepas kejatuhan kerajaan Ayutthaya yang memerintah Thailand pada 1767, tiga negeri mengisytiharkan kemerdekaan mereka iaitu Ligor, Pattalung dan Singgora. Bagaimanapun kerajaan baru Thailand di bawah Dinasti Chakri melancarkan kempen meluaskan pengaruh mereka merampas kembali ketiga-tiga negeri tersebut.
Ini menyebabkan pemimpin kesemua negeri itu melarikan diri dan satu-satunya kerajaan yang boleh melindungi mereka ketika itu adalah kerajaan Patani. Mendapati kerajaan Patani melindungi orang buruan, kerajaan Siam menuntut tahanan mereka. Permintaan itu dipenuhi bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku menimpa Patani. Ini adalah titik permulaan konflik Patani dan Siam.
Kempen kerajaan Siam memperbesarkan wilayah mereka berterusan selepas itu, menguasai semula Ligor serta beberapa wilayah lain. Bagi memberikan tekanan serta menunjukkan kekuatan, kerajaan Patani dan Kedah diminta menghadiahkan bunga emas kepada kerajaan Siam setiap tiga tahun sekali, sebagai satu bentuk persetujuan yang mereka akan akur dengan kekuasaan Siam.
Kedah bersetuju dengan permintaan ini, malahan bukan sekadar menghantar bunga emas - Kedah juga turut membantu kerajaan Siam melalui banyak perkara lain seperti menyertai peperangan Siam meluaskan wilayahnya.
Berbeza dengan kerajaan Kedah, kerajaan Patani berdegil. Raja Patani ketika itu iaitu Tengku Lamidin meminta kerjasama kerajaan di Vietnam, Raja Ong Chieng Su Annam untuk bersama-sama menyerang Siam. Malangnya tindakan ini dilaporkan oleh Raja Vietnam kepada Rama I, pemerintah Siam ketika itu.
Dasar pecah dan perintah ke atas negeri-negeri Melayu di Siam
Kerajaan Patani tidak mampu bertahan lama selepas Siam mula mengambil langkah meluaskan kuasa dengan lebih agresif, jatuh pada tahun 1791.
Raja barh negeri Patani bernama Datuk Pangkalan, seorang pembesar Melayu dilantik sebagai raja baru Patani oleh kerajaan Siam. Bagi urusan pentadbiran, seorang Gabenor bernama Phra Cahana dipilih bagi menguruskan kerajaan Patani.
Tindakan melantik gabenor Siam ini menimbulkan persengketaan di antara masyarakat Melayu Islam Patani yang merasakan tindakan itu bertentangan dengan nilai masyarakat setempat. Akhirnya, Datuk Pangkalan sendiri mengambil keputusan mengumpulkan tenteranya mengusir keluar gabenor serta pegawai-pegawai Siam dari Patani. Siam bagaimanapun, tidak berdepan masalah besar mengalahkan pemberontakan Patani.
Semasa era Rama II, kerajaan Siam mula melakukan perubahan lebih besar bagi melemahkan kuasa orang Melayu di Patani. Kerajaan Siam kembali melantik Nai Khuing Sai sebagai Gabenor Patani dan sepupu beliau Nai Him Sai sebagai Timbalannya. Bermula pada waktu inilah, orang Melayu Patani tidak lagi mendapat peluang untuk terlibat secara langsung dalam sebarang bentuk pentadbiran Patani.
Bagi mengurangkan lagi risiko pemberontakan masyarakat Patani ke atas kerajaan Siam, Patani yang bersatu dipecahkan kepada 7 wilayah berbeza iaitu Patani, Teluban, Nongcik, Yaring, Yala, Reman dan Rangae.
Dengan pecahnya masyarakat Patani kepada 7 wilayah berbeza, 7 wilayah Melayu itu sebakini digelarkan sebagai Hua Muang Tri dan pentadbirannya diselia oleh kerajaan Singgora. 6 orang Raja Melayu dilantik bagi mengetuai 6 wilayah itu kecuali seorang Raja berketurunan Siam bernama Nai Pai dilantik sebagai pemerintah tertinggi Yaring.
Berakhirnya kerajaan Melayu di wilayah selatan Siam
Selepas beberapa pemberontakan dilakukan melibatkan Raja Melayu di negeri-negeri Hua Muang Tri berjaya dipatahkan, lama-kelamaan jumlah Raja Melayu yang memegang wilayah semakin berkurangan dengan wilayah Nongcik dan Yala pula diserahkan pada pemimpin Siam beragama Buddha sebagai raja.
Taktik serupa digunakan beberapa kali kerajaan Siam melalui pemerintah mereka selepas itu, dalam melemahkan pengaruh orang Melayu di wilayah-wilayah tersebut. Kedatangan British ke Tanah Melayu membuatkan Raja Patani, Sultan Abdul Kadir Kamaruddin cuba berunding dengan British pada tahun 1901 bagi mendapatkan kembali kuasa orang Melayu di negeri-negeri itu sepenuhnya.
Bagaimanapun, kerajaan Siam menggunakan taktik kekerasan, cuba mewujudkan perjanjian berat sebelah pada tahun 1902 dengan Sultan Abdul Kadir Kamaruddin. Keengganan kerajaan Patani bersetuju dengan perjanjian membolehkan itu dijadikan alasan untuk kerajaan Siam menangkap Sultan Patani serta melucutkan kedaulatan ahli keluarganya pada 6 Mac 1902. Kesemua Raja-Raja Melayu yang memerintah wilayah masing-masing ditangkap dan dikurung di Bangkok, sebelum dilucutkan kuasa.
Tindakan kurang ajar ini menyebabkan berakhirnya pengaruh orang Melayu dalam mana-mana pentadbiran kerajaan di wilayah selatan Thailand. Kesannya kita boleh nampak sampai ke hari ini, bukan?
Jadi apa pengajaran yang boleh kita dapat dari kisah ini?
Rujukan
Hubungan kesultanan Kedah dengan Siam