Kajian menunjukkan wang terawal dibuat dengan menggunakan tembaga dalam bentuk syiling yang sudah digunakan pada tahun 11BCE, selepas ditemui dalam makam-makam pemimpin DInasti Shang di China.
Wang yang diperbuat daripada logam, tak kiralah tembaga, perak, emas atau bahan lain telah digunakan sejak sekian lama di seluruh dunia sebagai unit pertukaran yang mempunyai nilai yang ditetapkan. Wang logam mempunyai kelebihan kerana usianya yang panjang, sukar untuk ditiru dan berjaya mengekalkan nilainya, namun semakin kaya seseorang - semakin beratlah berat yang perlu dia pikul.
BESARKAN TEKS A- A+
Wang logam kekal digunakan selama beratus tahun lamanya dengan masyarakat China terus mengekalkan penggunaannya walaupun sukar untuk diuruskan, dengan sistem syiling yang diikat pada tali pada nilai yang ditetapkan menjadi cara paling universal digunapakai dalam setiap urusan.
Pengenalan sistem deposit syiling
Sistem syiling itu mula diubah pada era Dinasti Tang yang bermula pada tahun 618, selepas golongan peniaga mula mengambil tindakan menukarkan syiling-syiling milik mereka dengan ejen-ejen yang dilantik pemerintah, untuk direkodkan nilainya dan disimpan oleh ejen. Sebagai pertukaran, ejen-ejen ini akan memberikan peniaga resit ke atas semua deposit mereka yang boleh digunakan untuk urusan jual beli.
Selepas selesai urusan jual beli, peniaga boleh kembali kepada ejen dan menebus semula wang syiling mereka daripada ejen. Sistem ini harus difahami bukanlah sistem matawang kertas yang sebenar dan ia lebih kepada satu sistem pertukaran atau cagaran nilai untuk memudahkan urusan, dengan syiling logam masih lagi dianggap sebagai wang sebenar.
Walau demikian, pengenalan sistem deposit ini membantu memudahkan urusan pengangkutan dan penghantaran zaman tersebut kerana peniaga tidak lagi perlu mengangkut wang yang berat beserta dengan muatan perniagaan mereka.
Pertukaran kepada wang kertas sebenar
Pada zaman permulaan Dinasti Song ketika tahun 960, pemerintah China ketika itu meneruskan perkhidmatan ejen yang menjadi tradisi mereka. Melihatkan sistem yang kurang tersusun, pemerintah China mengambil keputusan besar sekitar tahun 1100, untuk mengawal selia sendiri sistem wang mereka dengan pengenalan wang kertas pertama menggantikan resit deposit yang telah digunakan. Wang yang dicetak sendiri pemerintahan Dinasti Song itu dinamakan 'jiaozi.'
Bagi mencetak wang, pemerintah China membuka kilang percetakan wang dengan menggunakan kaedah cetakan kayu menggunakan enam jenis dakwat di Chengdu, Hangzhou, Huizhou dan Anqi.
Untuk keselamatan, kertas yang digunakan pula direka khas menggunakan gentian khas bagi mengelakkan masalah wang tiruan. Wang kertas versi pertama ini hanya boleh digunakan di sebahagian jajahan Dinasti Song dan mempunyai jangka hayat selama 3 tahun sebelum perlu dilupuskan.
Pada tahun 1265, kerajaan Dinasti Song memperkenalkan penambahbaikan pada sistem matawang mereka dengan mewujudkan sistem satu jenis matawang mewakili semua jajahan di bawahnya dengan nilai 1 hingga 100 dengan dicagarkan kepada nilai perak dan emas. Malangnya, DInasti Song runtuh selepas penjajahan Mongol pada 1279 dan pengenalan sistem baru itu hanya mampu bertahan beberapa tahun.
Pengenalan matawang Mongol
Ekoran kemasukan Mongol ke China dan permulaan Dinasti Yuan yang diasaskan oleh Kublai Khan, satu sistem baru diperkenalkan oleh pemerintah baru penjajah China. Matawang yang dinamakan 'chao' diperkenalkan bagi menggantikan sistem lama Dinasti Song. Walau demikian, kegagalan untuk menyandarkan nilai chao kepada nilai emas atau perak menyebabkan jumlah wang yang dicetak melebihi nilai sebenar pasaran, menyebabkan inflasi teruk berlaku menurunkan nilai matawang chao. Masalah itu kekal sehinggalah jatuhnya Dinasti Yuan pada tahun 1368.
Dinasti Ming yang naik selepas itu pada mulanya turut meneruskan sistem Dinasti Yuan, namun menghentikan sepenuhnya percetakan wang kertas pada tahun 1450 namun terus membenarkan penggunaan wang kertas sehingga tahun 1573.
China kembali menggunakan sistem duit perak sebagai pertukaran dalam semua urusan jual beli dibantu kemasukan logam perak dari Peru dan Mexico. Duit perak yang digunakan pula dibuat dalam bentuk ingots dan bukan syiling, mempunyai berat sebanyak 36 gram setiap satu yang digelarkan 'liang.'
Hanya pada tahun 1889, kerajaan China dibawah pemerintahan DInasti Qing memperkenalkan semula sistem matawang yuan serta kembali mencetak matawang kertas yang sebenarnya telah diperkenalkan oleh nenek moyang mereka, hampir 700 tahun lebih awal.
Begitulah kisah bagaimana China memperkenalkan sistem duit kertas pada dunia, sebelum masyarakat lain 'claim' idea tu macam idea asli mereka. Samalah macam bola sepak.