Oleh pada 31 Jan 2018 kategori

sejarah pengembaraan christopher columbus mencari asia namun menemui amerika 213

Sumber Foto: thinglink.com

Christopher Columbus telah membuat pengembaraan sebanyak 4 kali melalui Lautan Atlantik dari Sepanyol, iaitu pada tahun 1492, 1493, 1498 dan 1502.  

Beliau mempunyai keazaman yang tinggi untuk mencari laluan laut untuk ke Asia dari Eropah, namun beliau tidak pernah berjaya. 

Sebaliknya, beliau menemui Amerika. Beliau bukanlah manusia pertama yang 'menemui' benua berkenaan kerana telah wujud berjuta populasi manusia sebelum kedatangan beliau.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, pengembaraan beliau menandakan permulaan abad penaklukan dan penjajahan transatlantik.

Kehidupan Awal Christopher Columbus

kehidupan awal christopher columbus

Christopher Columbus merupakan anak kepada pedagang bulu haiwan. Beliau dilahirkan di Genoa, Itali pada sekitar tahun 1451. Ketika masih remaja, beliau bekerja di sebuah kapal dagang.

Beliau bekerja di lautan sehingga tahun 1470, apabila kapal dagang tempat beliau bekerja diserang oleh kapal perang swasta Perancis ketika berlayar ke utara di sepanjang pantai Portugal.

Kapal tersebut tenggelam, namun Columbus berjaya menyelamatkan diri dengan terapung di atas sebatang kayu, dan berenang ke darat.

Beliau kemudian meneruskan perjalanan ke Lisbon, di mana beliau mempelajari matematik, astronomi, kartografi dan navigasi. Di sinilah mula perancangan beliau untuk melakukan pengembaraan yang bakal mengubah sejarah dunia selamanya. 

Misi Era Penerokaan / Penjajahan 

misi era penemuan penjajahan sejarah christopher columbus menemui amerika

Sumber Foto: federicoandpablo.wikispaces.com

Ketika abad ke-15 dan 16, pemimpin beberapa kerajaan Eropah melakukan tajaan bagi ekspedisi ke luar negara dengan harapan pengembara akan menemui kekayaan serta tanah luas.

Bangsa Portugal adalah antara yang terawal menyertai Era Penerokaan (The Age of Exploration) ini. Bermula sekitar 1420, beberapa kapal kecil dari Portugal yang dikenali sebagai 'caravels' akan mengambil laluan lautan ke timur.

Caravels akan melalui laluan sekitar pantai Afrika dan membawa rempas ratus, emas, hamba serta barangan lain dari Asia dan Afrika ke Eropah. 

Negara Eropah lain, terutamanya Sepanyol berasa sangat teruja untuk berkongsi kekayaan 'tanpa had' dari Timur. Sehingga penghujung kurun ke-15, 'Reconquista' oleh kerajaan Sepanyol sudah selesai.

Reconquista adalah pengusiran masyarakat Yahudi dan Muslim daripada kerajaan Sepanyol selepas beberapa abad peperangan. Kini, Sepanyol lebih fokus kepada penerokaan dan penaklukan kawasan lain di seluruh dunia. 

Christopher Columbus Mencari Tajaan Untuk Pengembaraan Ke Asia

christopher columbus menemui raja ferdinand dan ratu isabella bagi tajaan ke asia

Sumber Foto: history.com

ferdinand of aragon dan isabella of castile sejarah christopher columbus menemui amerika

Sumber Foto: tes.com

Pada hujung kurun ke-15, adalah mustahil untuk mengembara ke Asia melalui jalan darat. Laluan perjalanan adalah sangat jauh dan sukar, dan ada risiko untuk menemui musuh dan lanun yang sangat susah untuk dielak.

Pengembara Portugal menyelesaikan masalah ini dengan mengambil jalan laut. Mereka berlayar di sepanjang pantai Afrika Barat, mengelilingi Cape of Good Hope. 

Namun Columbus mempunyai idea yang berbeza. Mengapa tidak berlayar sahaja ke barat menyeberangi Atlantik daripada mengelilingi benua Afrika yang luas? Logik pengembara muda ini ada betulnya, namun kiraan matematik beliau salah. 

Beliau berhujah bahawa lilitan bumi adalah lebih kecil berbanding kepercayaan pada waktu itu. Menurut beliau lagi, perjalanan menggunakan kapal dari Eropah ke Asia bukan sahaja mustahil, malah agak mudah untuk dilakukan.

Beliau membentangkan pelan pengembaraan ke Asia kepada pemimpin-pemimpin di Portugal dan England, namun gagal menarik perhatian mereka.

Akhirnya, pada tahun 1491, beliau berjaya meyakinkan monarki Sepanyol, iait Ferdinand of Aragon dan Isabella of Castile. 

Columbus mahukan kemasyuran dan kekayaan. Ferdinand dan Isabella juga mahupun perkara yang sama, bersama dengan peluang untuk menyebarkan dakwah Katolik ke seluruh dunia. 

Kontrak Columbus dengan pemerintah Sepanyol menjanjikan 10 peratus kekayaan yang ditemui akan menjadi milik beliau, bersama dengan pangkat sebagai gabenor bagi tanah yang berjaya dijajah. 

Pengembaraan Christopher Columbus ditaja sepenuhnya Ferdinand dan Isabella. 

Pelayaran Pertama Oleh Christopher Columbus

nina pinta dan santa maria kapal christopher columbus pelayaran pertama

Sumber Foto: landoflegendslv.com

Pada 3 Ogos 1492, Columbus bersama kru kapal memulakan pelayaran dari Sepanyol menggunakan 3 buah kapal, iaitu Nina, Pinta dan Santa Maria. Pada 12 Oktober tahun sama, kapal-kapal berkenaan membuat pendaratan, bukan di Asia, tetapi di salah sebuah pulau di Bahamas. 

Berbulan-bulan Columbus berlayar dari sebuah pulau ke pulau yang lain (di sekitar Caribbean) bagi mencari mutiara, batu berharga, emas, perak, rempah ratus serta barangan bernilai seperti yang dijanjikan beliau kepada Ferdinand dan Isabella. 

Walaubagaimanapun, pencarian tersebut hanyalah usaha yang sia-sia kerana beliau gagal menemui sebarang kekayaan untuk dibawa pulang. 

Pada Mac 1493, beliau meninggalkan 40 orang kru untuk membina penempatan di Hispaniola (hari ini Haiti dan Dominican Republic) dan beliau pulang ke Sepanyol. 

Pelayaran Demi Pelayaran Oleh Christopher Columbus

pelayaran kedua christopher columbus ke amerika

Sumber Foto: catholictradition.org

6 bulan kemudian, iaitu pada September 1493, Columbus pulang ke Amerika. Beliau kembali ke Hispaniola, dan menemui penempatan yang musnah.

Beliau meninggalkan 2 orang adik beradik lelaki beliau iaitu Bartolomeo dan Diego bersama kru-kru kapal serta ratusan hamba penduduk pribumi bagi membina semula penempatan di sana, 

Pada Mei 1498, Columbus belayar merentasi Atlantik untuk kali ketiga. Beliau sempat melawat Trinidad dan tanah besar Amerika Selatan sebelum pulang ke penempatan malang di Hispaniola.

Di sana, koloni-koloni yang terdiri daripada kru-kru kapal telah melakukan pemberontakan berdarah terhadap adik beradik Columbus kerana salah urus dan kekejaman. 

Keadaan yang teruk di sana menyebabkan pihak berkuasa Sepanyol terpaksa menghantar seorang gabenor baru bagi mengambil alih kuasa. Christopher Columbus telah ditangkap dan pulang ke Sepanyol dalam keadaan berantai. 

Pelayaran Terakhir Christopher Columbus Ke Amerika

pelayaran terakhir christopher columbus ke amerika

Sumber Foto: britannica.com

Pada tahun 1502, beliau dibebaskan daripada segala tuduhan yang serius, namun ditarik segala pangkat dan jawatan yang ada. Columbus yang sudah berumur sekali lagi memujuk raja Sepanyol untuk menaja pelayaran terakhir beliau merentasi Atlantik. 

Kali ini, Columbus belayar ke Panama, hanya beberapa batu dari Lautan Pasifik, di mana beliau terpaksa meninggalkan 2 daripada 4 kapal kerana diserang penduduk pribumi.

Pulang dengan tangan kosong, pengembara tua ini pulang ke Sepanyol, dan meninggal pada tahun 1506. 

Legasi Christopher Columbus

legasi christopher columbus

Sumber Foto: liberationschool.org

Christopher Columbus tidak menemui Amerika, dan bukan juga orang Eropah pertama yang menemui 'New World' itu. Pengembara Viking telah belayar ke Greenland dan Newfoundland sejak kurun ke-11 lagi. 

Walaubagaimanapun, pengembaraan beliau membuka jalan kepada bangsa Eropah lain untuk melakukan penerokaan dan eksploitasi ke kawasan Amerika yang lain. 

Kesan buruk daripada penerokaan ini amatlah serius kepada penduduk pribumi di kawasan yang terlibat. Penyakit berjangkit dan perubahan persekitaran menyebabkan kemusnahan dan kematian penduduk pribumi dari semasa ke semasa.

Bangsa penjajah Eropah yang lain turut mengambil peluang untuk mencuri kekayaan sumber asli daripada wilayah-wilayah ini. 

Hari ini, Columbus mempunyai legasi yang penuh dengan kontroversi. Beliau diingati sebagai seorang pengembara yang berani mengambil laluan baharu, mentransformasikan New World. 

Namun, tindakan beliau telah menyebabkan kemusnahan persekitaran semula jadi serta pembunuhan penduduk pribumi yang pasti tidak akan dilupakan. 

Rujukan:

  1. history.com
  2. todayifoundout.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)