Siapa yang tidak gemarkan coklat? Antara coklat yang popular di Malaysia termasuklah Cadbury, Beryl's, Daim, Sneakers, Kit Kat dan banyak lagi.
Mungkin anda tahu kesemua jenama coklat popular di Malaysia mahupun di dunia, namun adakah anda tahu sejarah penciptaan coklat dan asal usulnya?
Sejarah Awal Coklat Sejak Zaman Purba
BESARKAN TEKS A- A+
Sumber Foto: godivachocolates.co.uk
Penciptaan coklat bukanlah sesuatu yang baharu dari dunia moden hari ini. Coklat sebenarnya mempunyai sejarah yang sangat lama, sejak lebih kurang 4000 tahun yang lalu.
Pada zaman dahulu, coklat dijadikan sebagai minuman yang pahit, berbanding makanan istimewa seperti hari ini.
Ahli antropologi telah menemui bukti bahawa coklat dihasilkan oleh masyarakat pre-Olmec yang tinggal di kawasan yang kita kenali sebagai Mexico hari ini, sejak tahun 1900 BC lagi.
Mesoamericans adalah masyarakat purba pertama yang menanam pokok koko. Pokok-pokok tersebut boleh ditemui di kawasan hutan hujan tropika di Amerika Tengah.
Hasil bijian koko ditapai, dipanggang dan dilenyek sehingga menjadi serbuk yang kemudiannya dicampur bersama air, vanila, madu, lada cili dan lain-lain rempah ratus bagi menghasilkan minuman coklat yang berbuih.
Tamadun Purba Menggunakan Coklat Sebagai Minuman Tenaga & Peransang Seksual
Sumber Foto: sabrinaslatinkitchen.wordpress.com
Tamadun Olmec, Mayan dan Aztec berpendapat bahawa minuman coklat adalah minuman yang menyegarkan dan berupaya memberi ransangan seksual. Mereka percaya bahawa coklat memiliki kuasa mistik dan rohani.
Masyarakat Mayan menyembah Tuhan Koko dan menyimpan coklat untuk golongan elit seperti pemerintah, pahlawan, paderi dan bangsawan pada upacara-upacara tertentu sahaja.
Apabila Aztec mula mendominasi Mesoamerica pada abad ke-14, mereka mengidam akan biji koko, yang tidak boleh ditanam kerana cuaca yang kering di tanah air mereka, iaitu di dataran tinggi di tengah Mexico.
Aztec sangat mendambakan biji koko, jadi mereka melakukan pertukaran melalui sistem barter dengan masyarakat Mayan. Sekitar abad ke-15, biji koko digunakan sebagai nilai mata wang. Seekor ayam belanda boleh dibeli dengan harga 100 biji koko.
Menurut beberapa sumber lain, maharaja Aztec pada abad ke-16 yang bernama Montezuma meminum 3 galon coklat setiap hari bagi menaikkan nafsu seksual baginda.
Coklat Diperkenalkan Kepada Aristokrat Eropah Oleh Sepanyol
Sumber Foto: prod.thestoryofchocolate.com
Pada abad ke-15, seorang pengembara berbangsa Sepanyol yang bernama Hernán Cortés telah berlayar ke Mexico bagi mencari emas dan perak. Sebaliknya, beliau menemui coklat.
Walaupun masyarakat Sepanyol memaniskan minuman pahit itu dengan gula dan kayu manis, satu perkara tidak berubah, coklat tetap menjadi simbol kemewahan, kekayaan dan kuasa.
Minuman coklat hanya diminum oleh kerabat diraja, dan bangsawan Sepanyol yang berkemampuan untuk membeli barang dagangan import tersebut.
Sepanyol berjaya menyimpan coklat sebagai rahsia selama hampir seabad. Apabila anak perempuan raja Sepanyol King Philip III mengahwini raja Perancis King Louis XIII pada tahun 1615, baginda membawa bersama cintanya terhadap coklat ke Perancis.
Populariti coklat sangat pantas tersebar ke kawasan lain di Eropah, dan golongan aristokrat menggunakannya sebagai penawar ajaib untuk kesihatan.
Untuk memenuhi permintaan coklat yang tinggi, kuasa-kuasa Eropah telah menubuhkan ladang di kawasan-kawasan berhampiran garisan khatulistiwa di seluruh dunia bagi penanaman koko dan tebu (gula).
Apabila wabak penyakit yang dibawa pengembara Eropah tersebar dan berjangkit dengan pekerja-pekerja penduduk asal Mesoamerica, hamba-hamba dari Afrika dibawa masuk untuk bekerja di ladang bagi memastikan penghasilan coklat tidak berhenti.
Revolusi Proses Penghasilan Coklat Melalui Mesin
Coklat terus menjadi minuman golongan elit selama beberapa abad. Pada tahun 1828, seorang ahli kimia dari Belanda yang bernama Coenraad Johannes van Houten telah mencipta 'cocoa press', merevolusikan proses pembuatan coklat.
Cocoa press berupaya memerah mentega koko lemak daripada biji koko yang dipanggang, meninggalkan lapisan kering yang boleh dihancurkan menjadi serbuk halus.
Serbuk halus koko ini kemudiannya dicampur dengan cecair dan bahan-bahan lain sebelum dituang ke dalam acuan dan mengeras menjadi coklat mudah hadam yang boleh dimakan.
Inovasi oleh van Houten membolehkan coklat era moden dijadikan sebagai bahan manisan dalam masakan, selain mengurangkan kos penghasilan coklat, membolehkan ia dijual dengan harga berpatutan kepada orang ramai.
Pada tahun 1847, sebuah syarikat coklat British iaitu J.S. Fry & Sons mencipta bar coklat pertama daripada mentega koko, serbuk koko dan gula.
Pada tahun 1879, Rodolphe Lindt mencipta sebuah mesin yang berupaya menghasilkan coklat dengan tekstur berbaldu dan rasa yang enak. Beliau turut mencipta teknik pembuatan coklat yang lemak berkrim pada skala besar.
Anda tidak perlu menjadi penggemar coklat untuk mengenali nama-nama syarikat coklat seperti Cadbury, Mars dan Hershey yang muncul sekitar penghujung tahun 1800an dan awal 1900an.
Sumber Foto: jmhafen.com
Rujukan: