Oleh pada 15 Mar 2018 kategori

Sejarah adalah satu subjek yang cukup menarik untuk diterokai. Sama ada diceritakan secara mulut ke mulut, direkodkan dalam bentuk bertulis atau mungkin juga dicatat dalam penemuan-penemuan artifak, setiap warisan sejarah mempunyai nilai yang tersendiri, apatah lagi apabila melibatkan institusi pendidikan di negara kita.

Disebabkan kemasukan penjajah banyak warisan sejarah di negara kita dibuat agar mencerminkan pemerintah sewaktu itu. Sehingga kini kita masih dapat melihat institusi pendidikan terus mengekalkan nama yang diberi sewaktu zaman penjajahan. Sama ada ada rasa perlu ditukar atau tidak, bergantung kepada pandangan masing-masing.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimanapun, bagi beberapa institusi pendidikan ini, nama yang digunakan pula diambil daripada tokoh-tokoh yang diakui mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat, melayakkan nama mereka diabadikan sehingga ke hari ini. Berikut adalah lima tokoh besar yang namanya kekal digunakan sebagai satu simbol penyatuan sejarah, warisan dan masa depan.

1. Sekolah Tun Fatimah

illustrasi tun fatimah dalam setem

Ada dua Tun Fatimah terkenal dalam sejarah negara kita. Tun Fatimah Hashim adalah pengerusi gerakan kaum ibu Malaya yang kini menjadi Wanita UMNO dan juga wanita pertama negara kita yang dilantik menjadi menteri. Tun Fatimah yang dipilih sebagai nama Sekolah Tun Fatimah pula hidup semasa zaman kesultanan Melayu Melaka dahulu.

Beliau adalah anak kepada Bendahara Melaka waktu itu, Tun Mutahir serta anak cucu kepada dua tokoh besar dalam sejarah Melaka semasa zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah, Sultan kelima Melaka.

Diingati kerana memainkan peranan besar dalam menyelamatkan Melaka satu masa dulu, kisah Tun Fatimah bermula selepas ayahnya yang ketika itu Bendahara, difitnah ingin merampas kuasa. Ini menyebabkan semua ahli keluarganya termasuklah suaminya sendiri dibunuh kecuali Tun Fatimah sahaja atas arahan Sultan Melaka ketika itu, Sultan Mahmud yang teringin benar memperisterikan Tun Fatimah.

Walaupun enggan, Tun Fatimah terpaksa menerima hakikat dia akan dikahwinkan dengan Sultan Mahmud. Ekoran Tun Fatimah terhadap tindakan Sultan Mahmud itu, dia bertindak menggugurkan mana-mana kandungannya di dalam perut selagi Sultan Mahmud belum berjanji akan menjadikan anak mereka sebagai pewaris kerajaan Melaka ketika itu.

Tun Fatimah dikatakan seorang yang menguasai ilmu persilatan serta pernah mengetuai askar melawan penaklukan Portugis. Selepas kejatuhan kerajaan Melaka, Sultan Mahmud mengotakan janjinya untuk melantik anaknya bersama Tun Fatimah sebagai pewaris takhta. Naiklah putera Tun Fatimah menjadi Sultan Johor yang pertama, kesinambungan Sultan Melaka yang terakhir dengan gelaran Sultan Alauddin Riayat Shah II.

Tidak ada rekod tentang usia dan tarikh Tun Fatimah ketika meninggal dunia, tetapi pengkaji sejarah percaya makam Tun Fatimah terletak di Kampar, Sumatera. (rujukan)

2. Kolej Tunku Kurshiah

tengku kurshiah college sekolah nama daripada tunku kurshiah negeri sembilan

Kolej Tunku Kurshiah atau Tunku Kurshiah College (TKC) mengambil nama daripada Tuanku Puan Besar Kurshiah binti Almarhum Tuanku Besar Burhanuddin. Suami beliau pula adalah Seri Paduka Baginda Tuangku Abdul Rahman, Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Sekiranya anda melihat wang kertas kita ketika ini, wajah itu adalah wajah suami kepada Tuanku Kurshiah.

Berasal daripada Seri Menanti, Negeri Sembilan, Tuanku Kurshiah lahir pada 16 Mei 1911. Suami baginda naik menjadi Yang Dipertuan Agong Pertama menjadi Tuanku Kurshiah sebagai Raja Permaisuri Agong pertama Malaysia dan memegang jawatan tersebut selama 3 tahun.

Tuanku Kurshiah banyak menaburkan jasa kepada masyarakat, menerusi penubuhan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia serta menjadi presiden kepada Persatuan Pandu Puteri Tanah Melayu yang kini bergelar Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Baginda mangkat pada 2 Februari 1999 pada usia 88 tahun dan disemadikan di Makam Di-Raja Seri Menanti, tanah asal kelahiran baginda.

3. Sekolah Sultan Alam Shah/ Kolej Islam Sultan Alam Shah/ Sekolah Menengah Sains Alam Shah

sekolah alam shah kolej islam sultan alam shah sekolah sains alam shah

Nama ketiga-tiga institusi pendidikan itu datangnya daripada individu yang sama iaitu Yang di-Pertuan Agong kedua negara kita, Sultan Hisamuddin Alam Shah ibni Al-Marhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah. Sultan Hisamuddin Alam Shah adalah Sultan Selangor ke lima, namun pada awalnya baginda tidak mempunyai peluang cerah menaiki takhta kerajaan Selangor.

Baginda sebelum ini menggunakan nama Tengku Alam Shah adalah anak ketiga dan abangnya, Tengku Musa dilantik sebagai Raja Muda. Namun campur tangan Residen British ketika itu membuatkan Tengku Musa diturunkan dan Tengku Alam Shah dilantik sebagai Raja Muda.

Baginda terpilih menggantikan Tuanku Abdul Rahman, Agong pertama negara kita dan juga suami kepada Tuanku Kurshiah. Namun, pada tarikh hari pertabalannya yang dijadualkan berlangsung pada 1 September 1960, baginda mangkat ketika berada di dalam Istana Negara.

4. Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki/ Institut Aminuddin Baki

aminuddin baki bapa pendidikan negara

Banyak institusi pendidikan menggunakan nama beliau kan, tetapi pernahkah anda tahu siapa sebenarnya individu yang bernama Aminuddin Baki? Aminuddin Baki adalah seorang lelaki yang lahir pada 26 Januari 1926 di Chemor, Perak. Merantau jauh sehingga ke London untuk menuntut ilmu, Aminuddin pulang ke negara lalu berkhidmat sebagai guru di Sekolah Inggeris Sultan Yusof, Batu Gajah.

Beliau kemudian naik pangkat menjadi pensyarah di Sultan Idris Training College atau nama sekarang Universiti Pendidikan Sultan Idris. Menjadi antara individu pengasas kepada Gerakan Pelajar Melayu Semenanjung atau GPMS, Aminuddin menjadi Presiden untuk dua penggal berbeza, meletakkan dirinya sebagai Presiden kedua dan keempat GPMS.

Buah fikirannya yang mantap membolehkan kerajaan pada waktu itu memanggilnya bagi mengubah sistem pendidikan negara. Beliau terlibat secara langsung dengan kebanyakan pergerakan yang memacu sistem pendidikan yang digunapakai, menerusi penglibatan beliau dalam Jawatankuasa Bernas, Jawatankuasa Penyata Pelajaran Razak, Jawatankuasa Rahmad Talib dan juga penubuhan Merancang Pelajaran Tinggi negara.

Kemuncak karier beliau membolehkan beliau memegang portfolio Ketua Pengawal Pelajaran yang sama dengan Ketua Pengarah Pendidikan ketika ini. Sepanjang karier beliau, Aminuddin Baki membantah pelaksanaan terus sekolah vernakular yang memecah belahkan masyarakat. Sumbangan beliau paling ketara menerusi Penyata Aminuddin Baki 1962 dan Laporan Aminuddin Baki 1964 yang banyak menjadi acuan sistem pendidikan negara kita.

Namun, usia Aminuddin Baki tidak panjang. Pada usia 39 tahun, Aminuddin Baki meninggal dunia pada tarikh 24 Disember 1965, kerana serangan sakit jantung.

5. Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma

sekolah sultanah asma nama berasal dari sultanah kedah

Salah sebuah sekolah harian yang mencatatkan keputusan baik setiap tahun, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma sebenarnya mempunyai sejarah yang panjang, dengan memegang status sebagai sekolah rendah bantuan Inggeris pertama untuk pelajar wanita di Tanah Melayu. Mengambil nama Sultanah Asma sempena nama Yang Mulia Tengku Asma Binti Tengku Sulaiman, isteri kepada DYTM Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah yang 27.

Lahir pada 25 Oktober 1917, YM Tengku Asma sebenarnya berasal daripada keluarga di-Raja Terengganu. Baginda merupakan puteri kepada Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III, Sultan ke 13 negeri Terengganu.

Naik menjadi Sultanah Kedah pada 13 Mei 1943 dengan gelaran Ke-Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kedah Darul Aman Sultanah Asma Binti Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, pasangan itu menjadi pemerintah tertinggi Kedah selama 15 tahun sebelum anak tiri baginda mengambil alih takhta kerajaan Kedah.

Sultanah Asma sepanjang hidupnya banyak meluangkan masa menjadi tetamu kehormat pada majlis anugerah yang diadakan di sekolah tersebut yang diperkenankan menggunakan namanya, selepas Sultanah Asma sendiri meletakkan batu asas pembinaan sekolah tersebut. Baginda mangkat pada 13 Mei 1996, pada usia 79 tahun dan dimakamkan di Makam Di-Raja Langgar, Kedah, meninggalkan legasi pendidikan untuk wanita Melayu yang terus menyala sehingga kini.




Hakcipta iluminasi.com (2017)