Oleh pada 21 Dec 2017 kategori

Setiap 25 Disember, masyarakat Kristian di negara kita akan menyambut perayaan Krismas dengan meriah.

Walaupun sambutan Krismas hanya diraikan oleh golongan Kristian, kemeriahannya tetap dirasai oleh masyarakat beragama lain ekoran banyak promosi berkaitan Krismas diadakan di pusat-pusat membeli belah.

Siaran media juga banyak memaparkan elemen-elemen yang berkait dengan Krismas sepanjang tempoh berlangsungnya upacara ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kita semua tahu perayaan Krismas diraikan sempena mengingati hari kelahiran Jesus Christ menurut kepercayaan penganut Kristian.

Walaupun demikian, banyak pihak dalam kalangan komuniti Kristian sendiri menzahirkan rasa kurang bersetuju dengan tindakan majoriti penganut Kristian menyambut Krismas.

Alasan mereka jelas - terlalu banyak elemen dalam Krismas dilihat sebagai tidak menepati apa yang diminta oleh ajaran Kristian, dilihat terlalu bersifat komersial dalam zaman moden. Adakah tuduhan mereka berasas?

Untuk memahami tuduhan ini, kita perlu mengetahui tentang peranan Raja orang Rom, Constantine dalam pembentukan budaya baru Krismas.

'Krismas' sebelum Constantine

patung gangsa constantine

Pada abad ke 2 setiap 17 Disember sehingga 24 Disember, masyarakat dibawah Empayar Rom mengamalkan perayaan Saturnalia demi memperingati Saturn, tuhan orang Rom yang mengawal kekayaan dan pertanian.

Tidak lama selepas itu tanggal 25 Disember pula untuk durasi selama seminggu, mereka menyambut perayaan bagi memperingati kelahiran Mithras, Tuhan matahari.

Dalam menyambut kedua-dua perayaan meriah ini, masyarakat Rom akan berkumpul sesama keluarga menyediakan hidangan makan minum dan bertukar-tukar hadiah.

Melihatkan masyarakat Rom ketika itu yang masih berdegil untuk terus memegang kepercayaan lama mereka, pemimpin-pemimpin Kristian zaman tersebut bersetuju untuk mengambil pendekatan halus berdakwah.

Mereka memilih untuk melibatkan diri dalam perayaan berbentuk Pagan yang dianuti majoriti masyarakat Rom bagi mengambil hati mereka, dengan harapan masyarakat Rom yang majoriti akan terbuka untuk menerima ajaran Kristian.

Tindakan itu bagaimanapun ditentang kuat oleh golongan-golongan tertentu daripada penganut ajaran Kristian sendiri. Paling lantang bersuara adalah seorang penulis berstatus pakar kepercayaan agama bernama Tertullian, seorang penganut Katolik.

Pada tahun 230M, Tertullian menulis sanggahan dan kritikan terhadap tindak-tanduk pemimpin Kristian yang sanggup melakukan apa saja sehingga sanggup mengabaikan ajaran sebenar Jesus Christ, hanya semata-mata mahu mengambil hati masyarakat Pagan Rom ketika itu.

Ketakutan Tertullian menjadi realiti.

Masyarakat Kristian khasnya pemimpin mereka mula terikut-ikut dengan budaya perayaan Pagan yang diamalkan, berikutan populariti perayaan tersebut di kalangan masyarakat ketika itu yang sukar untuk dikekang.

Constantine pengasas sambutan Krismas?

lukisan raphael raja constantine ternampak salib

Flavius Valerius Aurelius Constantinus atau dikenali sebagai Constantine I dilahirkan pada tahun 275M, hampir 3 abad selepas zaman Jesus Christ.

Terdapat beberapa pendapat berbeza berkenaan status anutan Constantine.

Ada yang mengatakan Constantine memang sudah mewarisi ajaran Kristian daripada ibunya sejak awal lagi, namun wujud juga beberapa pendapat mengatakan Constantine bukanlah seorang penganut Kristian sebenar, sebaliknya hanya dibaptiskan di atas katil kematiannya - beberapa saat sebelum dia meninggal dunia.

Bagi pengkritik pengaruh Constantine dalam agama Kristian sendiri, Constantine didakwa masih lagi mengamalkan kepercayaan lama menyembah Tuhan-Tuhan orang Rom, sama seperti raja-raja Roman terdahulu sebelum beliau.

Namun Constantine dijenamakan semula sebagai seorang Kristian berikutan legasinya yang akan kami ceritakan sebentar lagi.

Pada tahun 312M semasa perjalanan di sepanjang Sungai Tiber (di Itali kini)  untuk menghadapi peperangan, diceritakan Constantine ternampak seakan objek berbentuk salib yang tertulis 'in hoc signo vinces' ketika sedang memandang matahari.

Ayat tersebut membawa maksud 'dengan tanda ini anda akan menakluk.'

Ekoran petanda itu yang dipercayai membantu kemenangan besar ke atas musuh beliau, Raja Constantine I dikatakan berubah menjadi seorang penyokong kuat kepada gerakan Kristian.

Dia mengembalikan semula harta benda masyarakat Kristian yang dirampas sebelum itu, membenarkan amalan agama dalam empayarnya serta giat membina gereja-gereja amalan Kristian.

Yang lebih penting, Constantine berazam mahu menyatukan kepercayaan penganut agama Kristian yang sudah mula berpecah belah.

Penyebaran Kristian pada zaman kegemilangan Rom

council of nicea 45v35

Kaedah yang digunakan Constantine dalam memperkukuhkan kedudukan ajaran Kristian di jajahannya dipuji penyokong terutamanya kelompok majoriti masyarakat Kristian di sebelah barat empayar Rom ketika itu.

Namun terdapat juga kritikan daripada mereka yang merasakan tindakan Constantine hanyalah satu langkah politik bagi mengekalkan sokongan rakyat kepadanya, khasnya penganut ajaran Kristian.

Demi membantu menyatukan masyarakat Rom yang pada ketika itu masih lagi berpecah di antara mereka yang mengamalkan ajaran Kristian dengan mereka yang masih lagi berpegang kepada ajaran lama berbentuk Pagan, Constantine memperkenalkan beberapa perubahan dasar kerajaan yang drastik.

Mengambil pendekatan serupa dengan pemimpin Kristian terdahulu sebelum beliau menaiki takhta, Constantine menggunakan pendekatan memujuk dan menjaja kebaikan, mendekati masyarakat Pagan agar lebih terbuka menerima ajaran Kristian.

Semua ini dibuat dengan berhati-hati dan mengambil masa yang panjang, agar tidak berlaku penolakan kepada pemerintahan beliau. Berikutan pengaruh, kedudukan serta kuasa yang ada pada Empayar Rom, langkah mengajak dengan kebaikan itu mendapat reaksi yang baik daripada masyarakat Rom.

Ajaran Kristian mula diterima baik di kalangan mereka.

Bagi memuktamadkan kejayaan itu, kerajaan Rom mengambil langkah mengumumkan Kristian sebagai agama 'kegemaran' empayar Rom dan tarikh 25 Disember bakal dipilih secara rasmi sebagai tarikh rasmi sambutan kelahiran Jesus Christ.

Pengumuman sambutan Krismas pada tanggal 25 haribulan, dibuat pertama kali pada tahun 336M bakal disambut serentak bersama dengan perayaan Saturnalia dan perayaan Pagan lain secara besar-besaran. Tarikh yang dipilih Constantine, yang sebenarnya dibuat berasaskan kepada tarikh perayaan memperingati Dewa Mithras mula menimbulkan kontroversi di kalangan pengkritik beliau.

6 Januari tarikh sebenar Krismas?

persidangan nicaea

Bukan semua pihak menyambut baik usaha Constantine itu.

Pihak penganut Kristian yang berada di bahagian timur Empayar Rom berbeza pendapat dengan keputusan yang dibuat oleh kerajaan Rom, yang disokong oleh penganut Kristian di sebelah barat.

Mereka yang tidak bersetuju meneruskan tradisi meraikan tarikh 6 Januari sebagai tarikh pembaptisan Jesus Christ yang telah mereka guna pakai selama ini, tanpa perayaan hari lahir Baginda.

Walaupun begitu atas sokongan pemerintah, tarikh yang dipilih Constantine mula diterima ramai sehingga menjadi tarikh rasmi sambutan Krismas oleh masyarakat Kristian secara majoriti.

Perayaan Pagan yang selama ini diraikan masyarakat Rom mula lenyap dimakan zaman, digantikan dengan sambutan Krismas yang semakin popular ekoran kewujudan ramai penganut baru ajaran Kristian.

Kali terakhir sambutan berbentuk Pagan direkodkan secara rasmi berlaku pada tahun 387M, 51 tahun selepas pengumuman tarikh Krismas idea Constantine.

Hakikatnya, tidak ada mana-mana individu dalam dunia ketika itu yang tahu tarikh lahir sebenar Jesus Christ.

Mengikut petunjuk-petunjuk yang terdapat dalam penerangan Bible, kebanyakan pengkaji Kristian yang menentang perayaan Krismas pada 25 Disember bersetuju tentang satu perkara penting; mustahil Jesus Christ lahir dalam bulan Disember.

Pengkritik keputusan ini sehingga kini percaya keputusan menjadikan 25 Disember sebagai sambutan hari Krismas, dilakukan kerana Constantine mahu menyeimbangkan sokongan masyarakat Kristian serta menjaga sensitiviti masyarakat yang masih berpegang kepada kepercayaan Pagan zamannya.

Bagi kumpulan-kumpulan kecil yang berpegang kepada tarikh asal, 6 Januari merupakan tarikh sambutan mereka sehingga kini.

Kumpulan ini percaya tidak ada bukti kukuh yang mampu mensahihkan tarikh hari sambutan Krismas setiap 25 Disember, adalah hari kelahiran Jesus Christ. Hanya campur tangan Constantine mengakibatkan kekeliruan ini berlaku di kalangan penganut Kristian.

Amalan sambutan Krismas ini terus berkekalan sehingga kini, disambut meriah majoriti masyarakat Kristian walaupun berdasarkan sejarah, tarikh dan sambutannya langsung tidak berkait antara kedua-duanya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)