'The Vandals' adalah gelaran yang diberikan kepada sekumpulan orang gasar (barbarian) Germanik yang menubuhkan sebuah negara di Afrika Utara selama lebih satu abad, sebelum negara itu jatuh dijajah oleh Empayar Byzantine pada tahun 534.

Puak Vandals adalah gabungan beberapa komuniti etnik kecil. Dua puak paling besar dalam Kaum Vandals adalah suku Hasding dan Siling, yang bersetuju untuk bergabung beberapa kelompok kecil lain dalam panji yang dinamakan sebagai 'Vandili.'

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berasal daripada selatan Scandinavia, orang-orang Vandal berhijrah ke selatan sebelum menemui Empayar Rom. Penghijrahan mereka ke kawasan lain terpaksa dilakukan berikutan kedatangan suku Huns pada tahun 375, yang bertindak ganas cuba menguasai kawasan asal orang Vandals.

Penghijrahan kerana terusir bumi sendiri

sejarah orang vandal penakluk rom

Diketuai oleh dua pemimpin mereka bernama Raus dan Raptus yang menjadi suara mereka, perjanjian di antara orang Vandals dan orang Rom disepakati, lalu Rom memberikan mereka kawasan untuk didiami.

Perjanjian itu yang dilakukan oleh Jeneral Stilicho dari Rom pada tahun 401, membenarkan orang Vandals menduduki dua wilayah yang terletak di sempadan empayar Rom ketika itu, iaitu Vindelica dan Noricum.

Walau bagaimanapun selepas hampir 5 tahun mendiami kedua-dua wilayah itu, orang Vandals melanggar perjanjian yang telah dipersetujui. Pada 31 Disember 406, kumpulan orang Vandals mula bertindak memasuki wilayah Gaul yang ketika itu dibawah penguasaan Empayar Rom.

Diserang rasa tamak

sejarah orang vandals

Empayar Rom ketika itu terbahagi kepada dua, dengan satu di bahagian timur dan satu lagi bahagian barat. Gaul terletak di bawah penguasaan Empayar Rom sebelah barat, dengan Raja Honorius bertindak sebagai pemerintah tertinggi.

Kemasukan orang Vandals ke Gaul pada awalnya tidak diendahkan, kerana Honorius merasakan apa yang berlaku bukan ancaman besar kepada kestabilan Empayar beliau.

Tiada kekangan, orang Vandals mula mara lebih berani dan masuk ke Iberia (lokasi Sepanyol dan Portugal kini). Bagi memudahkan urusan, orang Vandals membahagikan gerakan mereka kepada dua - dengan etnik Siling Vandals menguasai bahagian Baetica di bahagian tengah dan Hasding Vandals menguasai Gallaecia di bahagian barat laut.

Setelah menyedari apa yang berlaku, Honorius mula mengambil langkah mempertahankan empayarnya. Etnik SIling dan Hasing terpaksa melarikan diri setelah tewas dalam pertempuran pada tahun 418, memaksa mereka bersatu semula di bahagian selatan. Penyatuan tentera mereka membawa kejayaan besar setelah mereka berjaya menawan sebuah pekan pelabuhan bernama Tarraco daripada tentera Rom.

Kejayaan menguasai Tarraco yang kini dikenali dengan nama Tarragona di selatan Sepanyol, menjadi platform kepada orang Vandals untuk terus menguasai kawasan baru. Kempen perang ke atas Seville bermula pada tahun 425 hingga 428. Hasilnya, Seville jatuh ke tangan Vandals dan empayar Vandals mula menjadi kuasa besar di kawasan selatan.

Pertabalan Raja Geiseric

sejarah orang vandal asal usul vandalisme

Atas kejayaan menawan Seville, seorang pemimpin Vandals bernama Genseric diangkat menjadi raja secara rasmi. Ekoran memiliki sebuah pelabuhan dalam wilayah mereka, Raja Genseric merancang untuk membesarkan lagi empayar mereka dengan penaklukan Afrika Utara. Situasi mereka ketika itu juga dibantu dengan perang saudara orang Rom yang saling bergaduh di antara bahagian barat dan timur, memudahkan lagi Vandals masuk ke Afrika Utara.

Afrika Utara ketika itu diperintah oleh seorang pemimpin bernama Bonafacius, seorang jeneral Rom yang bertindak sebagai Gabenor wilayah Rom di Afrika Utara. Ketika itu, Afrika Utara merupakan penyumbang terbesar bijirin dan gandum kepada Empayar Rom jadi penguasaannya dilihat oleh Genseric sebagai sesuatu yang amat kritikal untuk dipenuhi.

Penjajahan Vandals ke Afrika Utara berlaku dengan mudah disebabkan nisbah jumlah tentera Vandals adalah tiga orang berbanding seorang tentera di bawah Bonafacius. Ketika cuba menguasai Hippo Regius (Hippo Regius kini adalah lokasi bandar Annaba yang terletak dalam negara Algeria) pusat pelabuhan dan perdagangan penting Afrika Utara ketika itu - barulah orang Vandals berdepan kesukaran disebabkan kekurangan bahan makanan.

Ini memberi masa kepada Bonafacius memohon bantuan dan Empayar Rom di timur menghantar askar mereka dalam mempertahankan Hippo Regius. Mengambil keputusan untuk menyerang berdepan-depan, percaturan silap tentera Rom membolehkan orang Vandals memenangi pertempuran yang berlaku, sehinggakan orang Rom terpaksa melarikan diri daripada Hippo Regius.

Ini membolehkan bandar tersebut dikuasai orang Vandals.

Kemuncak Empayar Vandal

peta orang empayar vandal

Berjaya meluaskan empayar mereka dengan jayanya, penguasaan Vandals di Afrika memaksa Rom melakukan perjanjian sekali lagi dengan musuh mereka pada tahun 435. Empayar Rom secara aman bersetuju untuk menyerahkan wilayah mereka yang telah jatuh ke tangan Vandals dan mengiktiraf Vandals sebagai pemerintah baru kawasan itu.

Namun orang Vandals masih kekal dengan tabiat mereka. Sekali lagi orang Vandals tidak menghormati perjanjian dengan Rom, melanggar sempadan dan menawan bandar Carthage, menjadikan bandar tersebut sebagai ibu negara mereka. Orang Vandals kemudiannya bergerak lagi mahu menawan kawasan-kawasan lain di bawah penguasaan Rom.

Empayar Vandals pada zaman kemuncaknya menguasai wilayah di Afrika Utara, termasuklah lokasi Tunisia dan Algeria, kepulauan Sicily, Sardinia, Corsica, Mallorca, Malta dan Ibiza. Berikutan kedudukan Afrika Utara sebagai penyumbang bekalan bijirin ke Empayar Rom bahagian barat terjejas, orang Rom di situ mula berdepan masalah kekurangan makanan.

Bagi mencapai kata sepakat serta mewujudkan keamanan di antara kedua-dua pihak, orang Vandals merancang agar anak kepada Raja Genseric yang bernama Huneric dikahwinkan dengan seorang puteri Rom bernama Eudocia dengan pertunangan mereka dilakukan lebih awal semasa usia Eudocia baru berumur 5 tahun.

Walaupun begitu, selepas ayah kepada Eudocia, Raja Valentinian III dibunuh dan Eudocia mahu dikahwinkan dengan pengganti ayahnya, Raja Genseric mengambil langkah menyerang Rom sendiri.

Masuk ke Rom

kejatuhan rom pada vandal

Ketakutan berikutan kekuatan orang Vandal ketika itu, Empayar Rom tidak bertindak mempertahankan Rom dengan tentera dan cuba berunding dengan Raja Genseric. Mereka bersetuju untuk membenarkan Vandals masuk ke Rom, asalkan tidak berlaku sebarang insiden kekacauan dilakukan.

Raja Genseric menghormati perjanjian tersebut, menggerakkan tenteranya masuk ke Rom lalu merampas semua harta yang ada di Rom ketika itu tanpa berlakunya sebarang kerosakan pada bangunan sedia ada dan tidak ada seorang pun nyawa terkorban.

Walau demikian, beberapa kumpulan askar Rom dan orang Rom ditangkap untuk untuk dijadikan hamba. Eudocia serta ibunya turut sama dibawa kembali ke Carthage. 7 tahun berikutnya, Huneric dan Eudocia dikahwinkan.

Kejatuhan Empayar Vandals

raja genseric illustrasi

Di bawah Raja Genseric, orang Vandals berubah daripada sebuah bangsa kecil yang terusir daripada tanah sendiri sehingga menjadi empayar yang cukup luas. Selama lebih 50 tahun di bawah pemerintahannya, mereka mampu membangun dengan begitu cepat sekali.

Kematian Genseric membuatkan Huneric naik menggantikan ayahnya. Bagaimanapun, era pemerintahan beliau berdepan kesukaran akibat masalah perang saudara kerana perebutan takhta serta kesukaran ekonomi. Selain itu ancaman Empayar Byzantine yang terletak di Constantinople mula dirasai.

Walaupun pelbagai langkah cuba diperkenalkan dalam membantu meningkatkan ekonomi serta kualiti hubungan dengan negara lain, kebanyakannya menemui jalan buntu. Cucu kepada Genseric, anak kepada Huneric dan Eudocia bernama Hilderic yang memerintah pada tahun 477 hingga 484 dengan gelaran 'Raja Orang Vandals' cuba menjalin hubungan dengan Empayar Byzantine namun tidak lama selepas itu, dia sendiri digulingkan orang Vandals di bawah arahan sepupunya sendiri, Gelimer.

Ini membuka peluang kepada Byzantine menyerang Vandals berikutan ketiadaan pimpinan. Raja Justinian I menjajah Vandals dan menewaskan raja terakhir orang Vandals iaitu Gelimer sendiri.

Menyedari empayar yang telah dibina mereka sudah jatuh ke tangan musuh, Gelimer melakukan perjanjian dengan Justinian I dengan bersetuju menukar agama Kristian Arian yang dianutinya, kepada Kristian Katolik yang menjadi agama rasmi orang Rom di bawah Empayar Byzantine.

Raja Gelimer ditawarkan sebuah estet yang terletak di Galatia (Anatolia, Turki ketika ini) dan dia menghabiskan sisa hidupnya di situ sebagai Raja terakhir orang Vandals, meninggal dunia pada tahun 553.

Oleh sebab itulah, mana-mana perbuatan merosakkan harta benda awam atau kekacauan kini cukup sinonim disebut sebagai 'perbuatan vandalisme', merujuk kepada orang Vandals yang merempat, tetapi berjaya meluaskan jajahan mereka dengan cara yang agak licik dan jahat.




Hakcipta iluminasi.com (2017)