Kebiasaannya, istana-istana di Eropah sering dikaitkan dengan perperangan. Ia menjadi benteng yang tidak dapat ditembusi musuh dan mempunyai sejarah panjang sebagai tempat pertempuran. Namun, hal-hal ini tidak berlaku dengan Istana Himeji di Jepun.

Struktur Istana Himeji ini berkembang ketika Jepun berada dalam kekacauan dan kemelut politik. Namun, bangunan yang mengagumkan tinggalan masyarakat feudal Jepun ini masih dipelihara dengan baik dan menjadi lambang keamanan negara.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tapak Warisan Dunia UNESCO

kompleks istana himeji

Istana yang terletak di bandar Himeji ini dibina di punca bukit Himeyama dan menguasai pemandangan langit Jepun sejak dari tahun 1346 lagi. Antara nama lain yang diberikan kepada istana ini adalah Shirasagiro (bangau putih) atau Hakurojo (hering putih) kerana seni bina luarannya yang menyerupai sayap haiwan itu.

Struktur sokongan utama istana ini terdiri daripada susunan ringkas dan sebahagian besarnya diperbuat daripada kayu. Tiang-tiang utama ini setinggi 87 kaki, merentas dari diameter sekitar 38 inci pada pangkalnya. Salah satunya kayu ini diperbuat daripada pohon fir dan yang lainnya pula daripada pohon siprus.

Istana Himeji masih lagi berdiri teguh sehingga hari ini kerana pertukangan yang baik dan banyak kerja membaik pulih telah dilakukan berabad-abad lamanya. Istana ini juga telah dilabelkan sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.

Hakikatnya, istana itu masih bertahan sehingga kini merupakan salah satu keajaiban bersejarah. Istana Himeji bukan sahaja terselamat ketika bandar Himeji dibom semasa Perang Dunia Kedua (kerana Amerika melihat Himeji sebagai lokasi strategik) tetapi juga ia terselamat bencana alam yang besar seperti Gempa Bumi Besar Hanshin yang berlaku pada tahun 1995.

Pembinaan asal Istana Himeji

lukisan pembinaan menara utama

Pada asalnya, bangunan yang dibangunkan di atas bukit itu pada tahun 1333 adalah sebuah kubu pertahanan dan dirobohkan 13 tahun kemudian untuk dijadikan istana. Istana ini mula dibina di situ oleh Akamatsu Sadanori, anak kepada Akamatsu Norimura iaitu Samurai dan Gabenor Daerah Harima. Bandar Himeji terletak di tengah-tengah daerah ini.

Selama beberapa abad yang mendatang, tempat itu mengalami beberapa perubahan pada pada strukturnya. Pada mulanya ia dinamakan sebagai Istana Himeyama, kemudian diubah menjadi Istana Himeji semasa pemerintahan Kuroda Shigetaka pada pertengahan abad ke-16.

Shigetaka telah memperbaiki semula tapak istana itu. Menara utama istana itu telah didirikan, kemudian telah dirobohkan semula. Pada awal abad ke-17, kawasan istana itu dibangunkan semula menjadi sebuah komplek yang dapat dilihat pelancong pada hari ini.

ikeda terumasa

Ikeda Terumasa

Semasa Ikeda Terumasa mendiami istana ini, dia telah menambah tiga lagi sistem perparitan yang dalam. Terumasa mewarisi istana ini daripada bapa mertuanya, Tokugawa Ieyasu, seorang pahlawan Jepun yang terkenal pada zamannya.

Ieyasu melihat Istana Himeji sebagai satu simbol yang hebat dalam pemerintahan zaman Edo Jepun. Dia juga dianggap sebagai seorang pemerintah yang berjaya menyatukan pelbagai kaum dan status dalam kebudayaan Jepun.

Dalam wawancara CNN pada tahun 2018, Dr. Jennifer Mitchelhill (pengarang Samurai Castles) menjelaskan bahawa Samurai bukan sahaja sekadar seorang pahlawan. Mereka juga adalah pembina istana, ahli politik dan pemimpin tempatan yang hebat.

Pembinaan kompleks istana yang rumit

lukisan kompleks istana himeji

Ieyasu telah menyerahkan Istana Himeji kepada menantunya, Terumasa, sebagai ucapan terima kasih atas bantuannya semasa Pertempuran Sekigahara. Struktur istana itu kemudian menjadi lebih rumit dengan pembinaan lebih daripada 80 bangunan yang direka untuk mengelirukan penceroboh.

Pengunjung yang datang ke Istana Himeji akan menghadapi kesukaran untuk menjelajah kompleks ini dan harus mengikuti tanda yang diletakkan pada lantai supaya mereka tidak sesat.

Seorang pemandu pelancong berkata susunan bangunan di istana ini direka dengan bijak. Terdapat laluan yang luas, jalan mati, menara tersembunyi dan pintu "palsu" yang tidak boleh dilalui.

ninja di istana himeji

Salah satu ciri pertahanan yang digunakan di istana ini ialah dengan menuangkan air mendidih pada musuh yang menceroboh, bukan minyak seperti yang biasanya digunakan. Ia bagi mengelakkan sebarang kesan kotor dan kerosakan pada dinding istana dan bangunan di dalam kompleks ini.

Istana Himeji bukanlah tarikan pelancong yang biasa. Menurut Telegraph, reka bentuk istana ini sendiri mencerminkan semangat ninja dalam teknik penyembunyian dan gerakan mereka secara senyap. Pada masa dahulu, sekumpulan ninja pernah berkhidmat dan tinggal di kompleks istana ini.

Istana Himeji pernah dipopularkan melalui salah satu siri filem James Bond : You Only Live Twice yang ditayangkan pada tahun 1967. Istana itu telah digunakan sebagai persediaan latihan ninja Sean Connery yang melakonkan watak James Bond.

Kisah seram Istana Himeji

the ring 512

Seperti mana-mana bangunan kuno, Istana Himeji juga mempunyai kisah seramnya sendiri. Kisah seram Istana Himeji semakin terkenal kerana menjadi inspirasi salah satu filem Jepun paling seram iaitu The Ring atau Ringu. 

Kisah seram di istana ini bermula disebabkan cinta yang tidak kesampaian. Samurai Tessan Aoyama adalah seorang pahlawan yang telah jatuh cinta terhadap seorang pelayan istana bernama Okiku. Apabila Okiku menolak cinta Aoyama, pahlawan itu merancang satu plot kejam untuk membalas dendam terhadap wanita itu.

Ketika itu, salah satu tugas utama Okiku adalah untuk menjaga 10 piring emas yang sangat berharga milik Aoyama. Suatu hari, Samurai itu memutuskan untuk menyembunyikan salah satu daripada piring itu.

perigi okiku

Perigi Okiku

Dia memberitahu Okiku bahawa jika gadis itu tidak menerima cintanya, dia akan menyalahkan Okiku kerana mencuri piring itu. Aoyama juga mengugut akan menyeksa dan menghukum Okiku.

Apabila rancangannya untuk mengugut Okiku tetap gagal, Aoyama kemudian membunuh gadis itu dan membuang mayatnya dalam sebuah perigi. Perigi ini terletak di luar Istana Himeji dan dikenali sebagai "Perigi Okiku".

Hantu Okiku dikatakan akan muncul dari perigi itu dan berjalan menggunakan keempat-empat tangan dan kakinya untuk mengganggu Aoyama. Tidak lama selepas itu, Aoyama dilaporkan menjadi tidak waras.

sudoku dan perigi okiku

Daripada kisah inilah watak Sadako atau Samara yang berambut hitam panjang dilahirkan dan menjadi ikon menakutkan kepada peminat filem seram.

Walau bagaimanapun, Istana Himeji tetap bertahan selama beratus-ratus tahun tidak kira sejarah dan kisah yang berlaku di sebaliknya. Istana ini tetap menjadi destinasi popular bagi peminat kebudayaan dan pemburu hantu. Akan tetapi, adakah ia dapat bertahan lagi untuk beberapa abad yang akan datang?

himeji castle the ring sadako

Rujukan :

1. UNESCO

2. Bloody Disgusting

3. The Willow Web




Hakcipta iluminasi.com (2017)