Kem radikal, kelab-kelab perjuangan, kempen benci dan rancangan rahsia untuk menyusup ke dalam parti politik utama adalah landskap bagi sayap kanan di Australia pada hari ini.
Sesetengah kumpulan, seperti Resistance Antipodean, tidak segan silu menggunakan label Nazi, dengan swastika, ucapan Sieg Heil dan poster yang menyeru penghapusan ke atas orang Yahudi Australia.
BESARKAN TEKS A- A+
Yang lainnya, termasuk Parti Pertama Australia, Barisan Patriot Bersatu, New Guard tidak secara jelas dikenalpasti dengan Nazisme tetapi mempunyai doktrin yang penuh dengan idea-idea fasis.
Gelombang perhimpunan sayap kanan baru-baru ini yang dihadiri oleh Senator Fraser Anning, telah mencetuskan kontroversi.
Tetapi Nazisme di Australia bukanlah sesuatu yang baru dan ia hampir seusia dengan asalnya dari Jerman.
"Nazisme hadir di Australia ketika Perang Dunia II dan terus wujud," kata sejarawan Jordana Silverstein.
Penyebaran Nazisme ke Australia
Pada tahun 1930-an, reputasi Adolf Hitler jauh lebih dahsyat daripada kejahatan yang dipersembahkan dalam sejarah yang kita ketahui.
Bakal Perdana menteri pada ketika itu, Robert Menzies, selepas lawatan ke Jerman pada tahun 1938, menulis bahawa "pengabaian kebebasan peribadi oleh Jerman...mempunyai sesuatu yang agak mengagumkan tentangnya".
Sentimen seperti ini, digabungkan dengan ketidakpuasan hati yang ditanggung akibat Kemelesetan Besar (Great Depression), menyuburkan tanah untuk tumbuhnya Nazisme, yang diterima baik oleh Australia.
Doktor Jerman, Johannes Becker dilantik sebagai pemegang amanah Australia untuk parti Nazi selepas dia berhijrah ke Australia Selatan pada akhir 1920-an.
Dia membina pangkalan asas yang kecil tetapi mendapat kesetiaan para loyalis Nazi dari dalam komuniti ekspatriat di Australia Selatan.
Disebabkan oleh politik parti dalaman Nazi dan tekanan agensi keselamatan Australia, kuasa Johannes Becker tidak pernah berkembang dengan baik.
Namun, Nazisme terus membiak dalam perkembangan budaya Australia.
(Percy 'Inky' Stephensen)
Tidak lama selepas perang tercetus, Percy 'Inky' Stephensen, penulis dan penerbit yang hebat, mengasaskan Gerakan Pertama Australia yang diilhamkan oleh Nazi.
Percy kemudiannya menjadi pengikut setia konspirasi dunia Yahudi.
Konspirasi ini, satu daripada tiang pemikiran Nazi, mencadangkan rancangan Yahudi untuk penguasaan global yang terperinci dalam 'Protocols of the Elders of Zion', sebuah teks palsu yang pertama kalinya dicetak di Rusia.
Kumpulan ini menyokong pseudosains of eugenik, iaitu sains dalam meningkatkan spesies manusia dengan memilih orang-orang dengan ciri-ciri keturunan yang tertentu.
Mereka juga menyokong penubuhan sebuah negara korporat nasionalis.
"Nazi Australia bukan sahaja di pinggiran tetapi terdiri daripada pelawat politik ternama, pelancong, penulis, penyair dan pemikir akademik," kata sejarawan David Bird.
Kumpulan itu akhirnya ditindas oleh agensi-agensi keselamatan Australia selepas ia memaksa perikatan politik dengan kuasa Axis yang terdiri daripada Jerman, Itali dan Jepun.
Percy Stephensen menjalani hukuman penjara selama Perang Dunia II.
Dia menghabiskan hampir 3 tahun di sebuah kem tanpa perbicaraan, satu keputusan yang digambarkan oleh sejarawan perang Australia, Paul Hasluck, sebagai "pelanggaran kebebasan individu paling berat yang pernah dibuat ketika perang".
Kebangkitan semula Nazi
Luka perang telah mencetuskan status "pariah" terhadap Nazisme, menjadikannya hampir tidak dapat disentuh oleh politik selepas itu.
Kumpulan sayap kanan, seperti Liga Hak, cenderung untuk mengelakkan dilabel Nazisme atau fasisme ketika mempromosikan politik mereka.
Namun, kurang daripada 2 dekad, seorang pelajar fizik dari University of Adelaide, Ted Cawthron, dan seorang pekerja majlis perbandaran, Don Lindsay bersidang pada tahun 1962 untuk membentuk Parti Sosialis Kebangsaan Australia.
Anti-komunis yang sangat tegar, parti itu berhujah untuk mengekalkan dasar "White Australia ", pendekatan defensif terhadap Asia dan penaklukan New Guinea.
Parti tersebut terdiri oleh Ted Cawthron dan Don Lindsay sahaja pada ketika itu, sehinggalah pada tahun berikutnya apabila mereka disertai oleh Arthur Smith, seorang tokoh politik yang terkenal dengan anti-Semitisme dan taktiknya yang agresif.
Sebagai pemimpin pertama parti, Arthur Smith berjaya meningkatkan keanggotaan dengan bergabung dengan pelbagai kumpulan ketuanan kulit putih di Melbourne.
Kemuncak publisiti parti ini muncul apabila ibu pejabatnya diserbu oleh polis pada tahun 1964. Arthur Smith telah disabitkan terhadap pemilikan senjata api, bahan peledak dan barang curi.
Apabila Arthur akhirnya muncul semula di akhir 1960-an, beberapa anggotanya telah membelot untuk membentuk Parti Sosialis Kebangsaan Australia yang baru.
Parti itu tewas dalam pilihan raya kecil Mei 1970, dan banyak lagi pilihan raya di Queensland. Kemegahan mereka memudar secara perlahan-lahan apabila keanggotaan semakin merosot.
Pada dekad-dekad terakhir abad ke-20, sayap kanan Australia terus dihidupkan oleh watak-watak seperti Ross 'the Skull' May, dan Jim Saleam dari kumpulan Tindakan Nasional.
Jim Saleam kekal sehingga kini sebagai watak yang kuat dalam sayap kanan.
Dia adalah pemimpin semasa Parti Pertama Australia, yang mempunyai dasar-dasar seperti "menamatkan dasar kepelbagaian budaya yang dibiayai dan dinsitusikan oleh kerajaan.
Neo Nazi di era internet
(United Patriots Front)
Di Australia pada hari ini, sama seperti di luar negara, sayap kanan telah diperkuat oleh internet yang membolehkan kumpulan fasis untuk mencapai jangkauan yang belum pernah terjadi sebelumnya di seluruh sempadan dunia.
"Kita sedang melihat penjelmaan moden Nazisme Australia, yang masih seperti dahulu tetapi =menyesuaikan diri dengan masa kini. Pergerakan semasa menyatukan kedua-dua Nazisme Eropah dan ketuanan putih Australia, perkauman dan kolonialisme." kata Dr Silverstein.
Penyebaran kumpulan sayap kanan yang mana hanya berbeza ideologi kecil di antara mereka, menggunakan pelbagai taktik untuk menyebarkan dan menjalankan mesej mereka.
Sebagai contoh, United Patriots Front, cuba mengatur rondaan keselamatan persendirian pada tahun lalu untuk membantu mengekalkan ketenteraman di beberapa pinggir bandar Melbourne, sebagai tindak balas kepada "Geng Afrika".
Akhir tahun lepas, siasatan oleh Background Briefing (ABC) mendedahkan percubaan terancang oleh kumpulan lain, 'Persatuan Lads', untuk menyusup masuk dan kemudian mempengaruhi golongan muda di New South Wales.
(Antipodean Resistance)
Dari semua kumpulan ini, Resistance Antipodean adalah yang paling kuat dalam memegang pandangan Nazi.
Kumpulan itu menggambarkan dirinya sebagai sebuah organisasi belia yang mematuhi Sosialisme Kebangsaan sebagai "penjelmaan nilai-nilai kesihatan" yang dipadankan dengan misi yang tidak berkesudahan untuk "mengekalkan Australia putih".
Ia ditonjolkan ke mata orang ramai apabila ia mengaku bertanggungjawab untuk satu siri poster berbahasa Cina di universiti yang mengancam pelajar Cina dengan pengusiran.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kumpulan itu telah menganjurkan satu siri 'kem radikal' di mana anggota menjalankan latihan tempur dan mengamalkan kemahiran hidup mereka dalam lawatan ke taman negara.
Gambar-gambar yang disiarkan di media sosial mereka menunjukkan lelaki muda dengan wajah yang tersembunyi dengan memakai tengkorak, satu penghormatan kepada lambang pasukan Schutzstaffel (SS) Nazi Jerman.
Rujukan:
1. ABC
2. SMH
3. Telegraph