Oleh pada 26 Mar 2023 kategori

Setiap kali kita masuk ke dalam kereta, perkara kedua yang biasa ramai lakukan selepas menghidupkan enjin kenderaan adalah menghidupkan sistem pendingin atau penyaman udara.

Dengan cuaca Malaysia yang bersilih ganti panas dan hujan sepanjang tahun, sistem penyejukan yang lebih kita kenali sebagai 'air-cond' merupakan kewajipan yang perlu ada. Kalau tak ada memang terbakarlah kita, khasnya kalau sangkut di jalan sesak.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda sejak bila kenderaan khususnya kereta dipasangkan dengan pendingin hawa atau air-cond sendiri? 

Anda pernah rasa kereta tanpa air-cond?

kipas dalam kereta

3 ke 5 dekad dahulu, kenderaan yang dijual secara pakej standardnya tidak mempunyai pendingin atau penyaman udara kerana sistem itu dilihat sebagai aksesori mewah. Bunyinya kedengaran aneh tetapi itu adalah sesuatu yang telah dilalui generasi terdahulu. 

Bagi kita di Malaysia sekarang, sukar kan nak membayangkan naik kereta tanpa air-cond? Air-cond wajib ada! Bagaimana agaknya mak ayah dan atuk nenek kita dulu, boleh memandu?

Biasanya ada dua cara. Yang pertama adalah dengan membuka tingkap kenderaan sepanjang perjalanan bagi membolehkan udara masuk mengalir menyejukkan semua individu di dalam kereta.

Yang kedua dan wajib dipakai semasa hujan ketika tingkap perlu dinaikkan, adalah dengan menggunakan kipas angin kecil yang dipasang di tengah konsol kereta (dashboard).

Zaman tersebut, ramailah yang berebut nak duduk di kerusi belakang bahagian tengah kerana lebih mudah kena angin. Adik-beradik yang duduk di tepi terpaksa berpanaslah sedikit

Sistem air-cond pertama kereta dunia

1940 packard clipper ac

Trend pemasangan air-cond bermula pada tahun 1940, selepas kereta keluaran syarikat Packard menjadi kereta pertama di dunia memasang air-cond sebagai peranti standard dari kilang. 

Namun sistem yang dibangunkan Packard masih lemah.

Untuk mengaktifkannya, pemandu perlu ke bahagian kompresor yang dipasang di bahagian bonet/bagasi dan memasang tali pesawat kompresor untuk menyalakan pendingin. Jika ingin tutup, tali pesawat perlu ditanggalkan semula.

Ssistem pengudaraan yang ada juga tidak sekata kerana air-cond era tersebut hanya mampu memutarkan udara di dalam kereta. Dalam zaman di mana perokok dianggap cool dan merokok dijadikan simbol status, penumpang kereta perlu menahan diri dengan asap rokok sepanjang perjalanan.

Walaupun banyak kelemahan, sistem ini diterima baik dengan syarikat Cadillac membekalkan sistem penyaman serupa kepada siri kereta keluaran mereka bermula pada tahun 1941.

Dalam tempoh lebih 10 tahun selepas itu, sistem air-cond kereta mula diterima baik sebagai aksesori pilihan yang mesti ditawarkan pengeluar. 

Pada tahun 1953, teknologi air-cond menjadi semakin praktikal selepas syarikat General Motor berjaya membangunkan sistem air-cond yang lebih kecil, mampu ditempatkan di bahagian enjin.

Pada awal dekad 1960-an, Cadillac menjadi syarikat pertama memperkenalkan sistem di mana pemandu boleh mengawal sendiri tahap kelajuan pendinginan yang berlaku digelarkan comfort control, melalui kaedah di mana udara panas dan sejuk mampu digabungkan dalam kompresor.

Berdepan kekangan pertama

hakisan ozon gas freon

Walaupun populariti air-cond di kalangan pemilik kereta meningkat, kajian penyelidik alam sekitar dekad 1970-an mendapati satu masalah besar akibat penggunaan sistem air-cond yang telah dibangunkan. 

Semua sistem pendingin hawa menggunakan cecair penyejuk Freon, sejenis gas yang menghasilkan bahan dinamakan sebagai chlorofluorocarbon atau CFC selepas tindak balasnya berlaku. Pelepasan CFC menyebabkan hakisan kepada lapisan ozon yang bertanggungjawab melindungi bumi.

Hasil daripada kesedaran terhadap bahaya dan risiko ini, usaha bertahun-tahun banyak penyelidik kimia dan pengeluar produk berjaya menemui solusinya. Sejenis gas penyejuk yang dinamakan R-134a didapati sesuai dan selamat untuk digunakan selepas melalui bermacam jenis ujian bagi menggantikan Freon.

Bagi memastikan syarikat pengeluar kereta bukan saja di Amerika Syarikat, bahkan di Eropah dan Asia menggunakan sistem baru dalam produk keluaran mereka, sebuah protokol ditandatangani di Montreal, Kanada dikenali sebagai Protokol Montreal 1986 dipersetujui 197 buah negara; termasuklah negara kita yang menandatanganinya pada tahun 1987.

Dengan persetujuan ini, semua sistem pendingin hawa berasaskan Freon akan ditamatkan penggunaannya pada tahun 1996 dan semua kenderaan baru hanya akan dipasang dengan sistem air-cond berasaskan gas R-134a.

Masih adakah kereta baru dijual tanpa air-cond?

kereta tanpa aircond

Jika anda tertanya adakah kereta masih dijual tanpa air-cond, jawapannya - ya memang ada. Namun kebanyakan pengeluar hanya menawarkan air-cond sebagai pilihan biasanya kepada model berspesifikasi rendah khususnya di negara beriklim sejuk.

Model yang turut dijual di negara kita seperti Honda Fit (Honda Jazz di sini), Mazda 3, Kia Rio, Kia Forte serta Toyota Yaris masih ditawarkan air-cond sebagai satu pilihan di Eropah dan Kanada, untuk mereka yang benar-benar ada kekangan bajet.

Majoriti pembeli kereta ketika ini sudah merasakan air-cond perlu ada, dengan hanya 1% daripada jualan kenderaan baru dekad ini adalah model tanpa air-cond. 

Membeli model sebegini memang memberikan sedikit penjimatan, tetapi kesannya model-model tanpa air-cond kurang mendapat sambutan sekiranya cuba dijual semula dek permintaan yang sangat kurang.

Tidak dapat dinafikan masih ada segelintir pembeli yang mahu kenderaan, khususnya kenderaan lasak yang 'lebih primitif'; tidak ada banyak peralatan kompleks dipasang yang akan memudahkan proses penyelenggaraannya.

Namun bagi orang Malaysia yang biasa hidup dalam cuaca panas, air-cond kereta adalah satu nikmat yang sukar dinafikan kepentingannya.

Pengeluar kereta pun faham, dengan model-model baru kini sudah mampu dihidupkan secara automatik dari jauh dan air-cond pun boleh dimulakan lebih awal sebelum tubuh kereta masuk ke dalam kenderaan.

Masuk saja terus rasa dingin. Nikmatnya memang tak terkata.




Hakcipta iluminasi.com (2017)