Setelah 12 tahun dalam industri hiburan, selebriti versatil Alif Satar semakin menempa nama sebagai seorang penyanyi, pelakon dan pengacara dalam kalangan peminat. Namun, Alif tidak mahu bersikap pentingkan diri dengan sedaya upaya mengutamakan keluarganya dan pada masa yang sama menumpukan kerjaya seninya yang kian meningkat naik.
Kalau dulu bujang boleh buat sesuka hati tetapi apabila sudah berkahwin dan mempunyai dua anak saya tidak boleh mementingkan diri.
Saya memang sibuk tetapi saya kadang-kadang tidak tahu bagaimana saya dapat cari masa dalam mengimbangi antara kerjaya dan keluarga.
Saya perlu mencari masa itu kerana keluarga adalah segala-galanya dan kalau ada peluang memang saya akan melekat dengan mereka sahaja.
Pahit maung yang terpaksa ditempuh sepanjang bergelar selebriti membuatkan Alif tidak lupa untuk bersikap rendah diri bagi memastikan dirinya sentiasa berpijak di bumi yang nyata.
Suatu ketika dahulu saya pernah mendapat bayaran hanya RM500 sahaja untuk mengadakan persembahan pentas tetapi itu bukan bererti saya boleh berputus asa.
Permulaan dalam melakukan sesuatu perkara memang tidak selalunya indah namun kita perlu terus pandang ke hadapan bagi memajukan diri.
Itu prinsip yang sentiasa saya pegang dan Alhamdulillah selepas 12 tahun dalam industri ia mula membuahkan hasil.
Antara perkembangan terbarunya ialah Alif menggalas semula tanggungjawab sebagai pengacara Clever Girl Malaysia musim kedua selain bakal muncul sebagai hero drama bersiri 'Red Velvet' bersama Neelofa tidak lama lagi. Dari segi bidang nyanyian, Alif juga masih lagi aktif dengan menampilkan single taruhan terbarunya yang merupakan lagu tema filem 'Kau Yang Satu' yang turut menampilkannya sebagai salah seorang pelakon.
Untuk info, penyanyi lagu 'Lelaki Seperti Aku' yang kini berusia 27 tahun ini mendirikan rumahtangga dengan Sha Dila Halid pada 15 September 2014 sebelum mendapat dua orang anak perempuan bernama Alisha Anugerah (2 tahun) dan Ariana Mecca (5 bulan).
Kredit foto: Instagram.com/alifsatar
Sumber berita: mStar Online