Kredit foto: Instagram Sherry Alhadad & [LIVE] Big Stage 2019 Live + (Minggu 1)
Pengacara Alif Satar akui segan dengan pujian selepas tindakannya yang dikatakan menyelamatkan Sherry Alhadad daripada menjadi mangsa komen 'body shaming' Mark Adam di konsert program realiti Big Stage, Ahad lalu.
Alif atau nama lengkapnya, Muhammad Alif Mohd Satar, 29, berkata dirinya tidak mempunyai kaitan dalam kontroversi terbabit, malah tidak cukup sempurna untuk diberi pujian melambung.
"Sebenarnya saya segan apabila menerima pujian disebabkan perkara itu tidak ada kena mengena dengan saya. Mana tahu selepas ini saya ada melakukan kesalahan, orang mengatakan saya pula dan berasa macam saya ini sempurna sangat.
"Saya tak rasa terbeban dengan perkara ini cuma segan bila orang cakap macam tu. Kita pun tak hidup atas pujian orang dan lagipun kita manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesalahan," katanya kepada portal Mstar.
Beliau membuat kenyataan sewaktu menghadiri sidang media memperkenalkan dirinya sebagai duta produk Alicafe Power Root yang berlangsung di Restauran Rebung Chef Ismail, Jalan Tanglin, Kuala Lumpur, semalam.
Terdahulu, Mark Adam yang bertindak sebagai juri undangan konsert Big Stage, dihentam netizen kerana beranggapan penyanyi lagu Amnesia itu telah mempersendakan fizikal Sherry dalam satu komen yang dilayangkannya selepas persembahan peserta, Chaleeda Gilbert.
Dalam pada itu, Aliff berpendapat, apa yang diperkatakan Mark itu barangkali tidak sengaja diluahkannya serta tanpa mempunyai niat seperti didakwa ramai.
Kredit foto: Instagram Sherry Alhadad
"Begitu juga dengan Mark Adam manusia biasa dan ramai orang suka dia. Sebagai seorang lelaki, dia pun ada minta maaf dan saya tahu dan percaya dia tidak ada niat pun nak bermaksud sedemikian," katanya.
Sementara itu, Alif memohon agar semua pihak tidak lagi menggunakan lawak yang mempunyai unsur 'body shaming' seiring dengan peredaran zaman yang semakin pesat.
"Kalau dahulu kita bergurau tentang bentuk badan atau fizikal seseorang itu rasanya tidak ada masalah. Tapi sekarang dah tahun 2019, rasanya dah boleh berhenti bergurau melibatkan ‘body shaming’ ini.
"Tidak baik berkata mengenai fizikal seseorang itu sebab kita sendiri tak tahu bagaimanapun mereka ini struggle untuk menjadi lebih baik," katanya.
Sumber berita: “Dah Tahun 2019, Hentikan Lawak Body Shaming” - Alif Satar Akui Belum Cukup Sempurna Untuk Terima Pujian